MIAMI (Amerika Syarikat): Kempen Piala Dunia Cape Verde akan tercatat dalam sejarah – dan pasukan itu kini berada di ambang untuk melangkah lebih jauh.

Pasukan itu telah menghasilkan salah satu kejutan terbesar sepanjang zaman apabila seri dengan Sepanyol – yang 65 tangga lebih tinggi dalam ranking dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) – dalam penampilan sulung mereka di kejohanan itu.

Dengan gelaran The Blue Sharks, Cape Verde sekali lagi menunjukkan keupayaan mereka di pentas terbesar sukan itu pada 22 Jun dengan mengikat seri juara dua kali, Uruguay, dan terus berada dalam persaingan sengit untuk mara ke tempat pusingan kalah mati kelak.

Mereka kreatif, menghiburkan dan yakin dalam mencatat keputusan seri 2-2 yang mendebarkan, dan juga tampak penuh keazaman sehingga mampu mengejutkan Sepanyol dalam perlawanan yang cukup memukau.

Negara di kepulauan Lautan Atlantik itu, dengan penduduk hampir 525,000, kini telah mampu bersaing menentang dua pasukan gergasi Piala Dunia.

Tiada aksi memukau diperlukan daripada penjaga gol, Vozinha – yang bermula dengan 40,000 pengikut Instagram sebelum perlawanan menentang Sepanyol itu tetapi naik mendadak kepada lebih 15 juta pengikut – kali ini apabila mereka mengehadkan Uruguay kepada hanya dua percubaan tepat.

Sementara itu, pemain Mesir, Mohamed Salah, menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi peluang gol ketika Mesir bangkit daripada ketinggalan gol untuk menewaskan New Zealand dan memastikan kemenangan Piala Dunia pertama mereka.

Kemenangan 3-1 itu juga memastikan kumpulan Pharaohs (gelaran bagi pasukan Mesir) itu bersedia untuk melepasi persaingan peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah mereka.

New Zealand mendahului pada separuh masa pertama apabila Finn Surman menanduk masuk sepakan sudut Tim Payne pada minit ke-15.

Pasukan Kiwi itu sebelum ini telah mensia-siakan pendahuluan dua kali dalam perlawanan pembukaan mereka dengan Iran, dan akhirnya melakukan perkara yang sama kali ini.

Mesir menjaringkan tiga gol dalam tempoh 24 minit separuh masa kedua untuk menduduki tempat teratas Kumpulan G selepas beberapa perubahan taktikal daripada pengurus, Hossam Hassan.

Mostafa Zico – yang dinamakan sempena pemain Brazil yang hebat – menanduk masuk hantaran lintang Mohamed Hany pada minit ke-58.

Salah kemudian bermain hantaran satu-dua yang kemas dengan Zico di kawasan penalti sebelum menemui sudut bawah untuk meletakkan Mesir di hadapan.

Dan bekas penyerang Liverpool itu kemudiannya berjaya melakukan sepakan sudut untuk pemain gantian Mesir, Trezeguet, menanduk masuk gol pada minit ke-82.

Kemenangan pertama Mesir dalam Piala Dunia keempat mereka itu bermakna mereka akan memenangi peringkat kumpulan jika menewaskan Iran pada 27 Jun. – Agensi berita.

Keputusan Perlawanan pada 22 Jun

Sepanyol 4 Arab Saudi 0
Belgium 0 Iran 0

Uruguay 2 Cape Verde 2
New Zealand 1 Mesir 3