SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

BT dinamakan sebagai rakan penyampai bagi kejohanan golf Terbuka S’pura 2026

BT dinamakan sebagai rakan penyampai bagi kejohanan golf Terbuka S’pura 2026

Mar 24, 2026 | 8:34 PM

BT dinamakan sebagai rakan penyampai bagi kejohanan golf Terbuka S’pura 2026

Kejohanan Terbuka Singapura dianjurkan di Singapore Island Country Club pada edisi 2025, selepas ditiadakan buat tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
Kejohanan Terbuka Singapura dianjurkan di Singapore Island Country Club pada edisi 2025, selepas ditiadakan buat tiga tahun berturut-turut sejak 2022. - Foto PERSATUAN GOLF SINGAPURA

Pertandingan Terbuka Singapura mengumumkan pada 24 Mac bahawa akhbar The Business Times (BT) telah dipilih sebagai rakan penyampai bagi kejohanan golf edisi 2026 tersebut.

Bakal dianjurkan di Kelab Golf Sentosa di Padang Serapong dari 23 hingga 26 April, pertandingan Terbuka Singapura yang menawarkan hadiah bernilai AS$2 juta ($2.6 juta) itu merupakan sebahagian daripada Siri Antarabangsa dan salah satu acara utama dalam Jelajah Asia.

Ini merupakan kali pertama sebuah penerbitan berita menjalin kerjasama dengan skala sebesar ini dengan acara tersebut.

Editor BT, Cik Chen Huifen, menyifatkan kerjasama strategik dengan Jelajah Asia melalui pertandingan Terbuka Singapura ini sebagai “sinergi sempurna antara dua disiplin yang mementingkan strategi dan pandangan jauh”.

Sempena sambutan ulang tahun BT yang ke-50 pada 2026, Cik Chen berkata:

“Selama setengah abad, kami telah berkhidmat sebagai akhbar harian kewangan utama Singapura, bukan sekadar melaporkan berita pasaran, malah memartabatkan kecemerlangan melalui pelbagai anugerah perniagaan yang mencerminkan keutamaan ekonomi negara kita.

“Dengan mengukuhkan kedudukan kami dalam litar peringkat serantau yang berprestij ini, kami membuktikan komitmen untuk melangkaui sempadan – selaras dengan evolusi kami dalam membawa pandangan kewangan yang dipercayai kepada pangkalan audiens lebih luas.”

Sejak diperkenalkan pada 1961, kejohanan ini telah menarik pelbagai penaja besar, termasuk bank Britain, Barclays; serta institusi kewangan Jepun, Sumitomo Mitsui Banking Corporation.

Kejohanan ini mencatat rekod hadiah kemenangan tertinggi pada 2012, ketika Barclays menjadi penaja utama dengan hadiah kemenangan mencecah AS$6 juta.

Mengulas mengenai kerjasama baru ini, Pesuruhjaya dan Ketua Eksekutif Jelajah Asia, Encik Cho Minn Thant berkata:

“Hubungan baru antara Terbuka Singapura dengan BT – dua jenama paling kuat di negara ini – adalah sesuatu yang mengujakan dan menjanjikan manfaat bagi kedua-dua pihak.

“Ini adalah satu perkembangan luar biasa bagi Terbuka Singapura dan Jelajah Asia, kerana ia bermakna kami dapat menjangkau lebih ramai audiens melalui rangkaian media dan rakan kerjasama SPH Media yang luas, baik di Singapura mahupun di seluruh rantau Asia Tenggara.”

Terbuka Singapura merupakan sebahagian daripada litar golf profesional pertama di Asia, yang merangkumi beberapa kejohanan lain di Hong Kong, Filipina, Malaysia, dan Jepun.

Ia menjadi acara tetap dalam Jelajah Australasia selama tiga musim bermula dari 1993, sebelum menyertai Jelajah Asia pada 1996.

Kejohanan ini dianjurkan setiap tahun sehingga 2002, namun ditiadakan selama tiga tahun berikutan masalah kekurangan penajaan.

Acara tersebut kembali dalam kalendar Jelajah Asia pada 2005.

Seterusnya, ia dianjurkan secara bersama dengan Jelajah Eropah – kini dikenali sebagai Jelajah Dunia DP – dari 2009 hingga 2012, dan kemudian dengan Jelajah Golf Jepun dari 2016 hingga 2022.

Ketua Eksekutif Persatuan Golf Singapura, Encik Joshua Ho, percaya bahawa ia penting bagi kejohanan tersebut menjalin kerjasama dengan “rakan tempatan yang kukuh”.

Beliau berkata: “BT mempunyai jangkauan luas dan menyediakan platform yang dipercayai untuk berkongsi kisah-kisah lebih bermakna – daripada aspek pemain dan persaingan, hingga kepada impak ekosistem golf yang lebih besar di Singapura.

“Kerjasama ini akan membantu memperkukuh hubungan kejohanan dengan masyarakat niaga, di samping meluaskan interaksi bersama peminat golf di seluruh rantau ini.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg