Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berat hati ramai lihat Diogo Jota pergi

Jul 5, 2025 | 6:13 PM
Jota, nahas kereta, disemadi
Sekumpulan belia Akademi Bola Sepak Diogo Jota memberi penghormatan terakhir kepada pengasas akademi itu, Jota, di kampung halamannya di Gondomar, Portugal. Jota meninggal dunia dalam satu nahas kereta di Sepanyol, bersama adiknya, Andre Silva. - Foto EPA-EFE

GONDOMAR (Portugal): Ratusan penduduk Gondomar di utara Portugal memberi penghormatan terakhir kepada pemain bola sepak Liverpool, Diogo Jota, dan adiknya, Andre Silva, di sebuah gereja kecil di kampung halaman mereka pada 4 Julai, menyusuli nahas kereta yang mengorbankan nyawa mereka sewaktu di Sepanyol.

Pada awal pagi 4 Julai, Perdana Menteri Portugal, Encik Luis Montenegro; Presiden Pasukan Bola Sepak, FC Porto, Andre Villas-Boas; Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Pedro Proenca dan ejen lama Jota, Jorge Mendes, menyertai keluarga kededuanya termasuk isteri Jota, Rute Cardoso, untuk sama-sama berkabung di gereja berkenaan.

“Ini adalah detik keperitan terbesar untuk keluarga ini, sesuatu yang tamat dengan kemalangan tragis,” kata Proenca ketika meninggalkan perhimpunan berkenaan, lapor Reuters.

Bintang Liverpool dan rakan karib Jota, Mohamed Salah, pula memendekkan percutiannya dan telah pulang ke England pada 4 Julai, bagi memberi penghormatan kepada sahabatnya itu.

Menurut laporan portal sukan Mesir, Yallakora, Salah kembali ke Liverpool lebih awal daripada jadual asal, iaitu sebelum latihan pramusim bermula 8 Julai.

Di media sosial, Salah melahirkan rasa takutnya untuk pulang bermain dengan Liverpool menyusuli pemergian temannya itu.

“Saya benar-benar kehilangan kata-kata untuk diluahkan,” jelas penyerang handalan Liga Perdana dengan jaringan terbanyak itu di Instagram.

Dalam pada itu, akhbar Record di Portugal melaporkan Liverpool berhasrat untuk membayar baki dua tahun kontrak Jota kepada keluarganya.

Ribuan peminat Liverpool pula mengunjungi Stadium Anfield untuk memberi penghormatan, manakala ramai tokoh terkemuka dalam sukan turut menyampaikan ucapan takziah, dengan pihak Liverpool turut membuka buku ucapan takziah di Anfield.

Pengarah Liverpool, Richard Hughes, serta Ketua Eksekutif, Michael Edwards, berjanji untuk memberi penghormatan kepada Jota dan keputusan untuk membayar kontraknya dianggap sebagai berita yang disambut baik oleh semua yang terkesan dengan pemergian pemain berkenaan.

“Isteri Jota, Rute, tiga anak mereka yang comel, ibu bapanya dan keluarga terdekat kini sedang menghadapi kehilangan yang tidak dapat dibayangkan. Kemalangan tragik ini bukan sahaja meragut Diogo, tetapi juga adiknya, Andre Silva,” jelas Hughes dan Edwards, dalam satu kenyataan bersama. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg