Topic followed successfully
Go to BHkuBendera Indonesia terbalik, Kemboja mohon maaf
Bendera Indonesia terbalik, Kemboja mohon maaf
Bendera Indonesia terbalik, Kemboja mohon maaf

PHNOM PENH: Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) mengambil tindakan segera dengan memohon maaf kepada Indonesia susulan insiden bendera negara berkenaan dikibarkan secara terbalik ketika upacara pembukaan temasya itu, malam tadi.
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Indonesia menghantar surat penjelasan kepada CAMSOC dan selepas menyedari kesilapan itu, pihak tuan rumah sudah meminta maaf kepada kontinjen Indonesia.
Town Production, sebuah syarikat penyiaran dan penerbitan media Kemboja, berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu pihaknya amat menyesali "kesilapan kurang sopan" itu.
Ia menambah: "Kami bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkara ini dan dengan rendah hati ingin memohon kemaafan anda kerana mengabaikan butiran penting seperti itu daripada pasukan kami."
Setiausaha Agung NOC Indonesia, Harry Warganegara, pula berkata Kemboja mengakui kesilapan terbabit dan segera momohon maaf atas kejadian bendera merah putih yang terbalik.
Malah, mereka mengambil tindakan susulan dengan melakukan pemeriksaan di semua venue Sukan SEA bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.
"Kemboja sudah meminta maaf secara langsung kepada kami, dan bertindak cepat sehingga kejadian berkenaan tidak berulang.
"NOC Indonesia juga secara rasmi meminta CAMSOC memasang bendera Indonesia dengan betul ketika upacara pembukaan Sukan SEA Kemboja di Stadion Morodok Techno National Stadium, Phnom Penh," katanya.
Kesilapan bendera Indonesia terbalik itu berlaku ketika salah seorang penyanyi tempatan Kemboja membuat persembahan diiringi penari yang membawa bendera 11 negara yang menyertai Sukan Sea Kemboja termasuk Indonesia.
Kesilapan itu berlaku apabila penari yang membawa bendera Indonesia semuanya terbalik, menjadi seperti bendera Poland.
Sebagai rekod, kejadian terbabit turut pernah berlaku pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia sekali gus menyebabkan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin tampil membuat permohanan maaf secara terbuka kepada Indonesia. - Agensi berita

