Barcelona ke final, pasukan dikuat lagi dengan kehadiran Olmo, Victor
Barcelona ke final, pasukan dikuat lagi dengan kehadiran Olmo, Victor
JEDDAH: Barcelona dapat bernafas lega setelah dua tonggak pasukan, Dani Olmo dan Pau Victor, disahkan dapat bermain dalam final Piala Super Sepanyol.
Ini setelah kelab itu diberikan kebenaran sementara untuk mendaftarkan kededua pemain itu oleh Majlis Sukan Kebangsaan (CSD) Sepanyol.
Khabar itu tentu saja menggembirakan pengurus pasukan, Hansi Flick, dan pasukannya, setelah Olmo dan Victor menghadapi masalah pelesenan sebelum ini.
Bintang muda Barca, Gavi dan Lamine Yamal, membawa Barca – tanpa Olmo selepas lesennya untuk bermain dibatalkan – ke final kejohanan dengan kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao di Jeddah, Arab Saudi.
Penyerang handalan Sepanyol, Olmo, dibenarkan bermain semula secara sementara sebelum perlawanan separuh akhir Piala Super Sepanyol itu, tetapi keputusan tersebut terlambat untuk beliau atau Victor, yang dalam kedudukan yang sama, beraksi menentang Bilbao selaku pemenang Copa del Rey.
CSD Sepanyol membenarkan kelab La Liga itu mendaftar sementara kedua-duanya empat hari selepas pihak berkuasa bola sepak Sepanyol menolak permintaan mereka.
Jurulatih Barca Flick memuji keputusan itu.
“Seluruh kelab sangat gembira dengan keputusan yang tepat ini,” kata jurulatih asal Jerman itu yang berharap untuk memenangi piala pertamanya bersama Barca.
“Kami mahu menunjukkan bahawa kami adalah sebuah pasukan yang handal an kami juga mahu menang untuk mereka (penyokong).”
Gavi meletakkan Barcelona di hadapan selepas 17 minit manakala Yamal menjaringkan gol kedua pada awal separuh masa kedua permainan.
Dengan kemenangan itu, Barca akan menentang sama ada Real Madrid atau Mallorca dalam pertarungan akhir pada 12 Januari.
“Athletic adalah pasukan yang sangat kuat secara fizikal, yang memaksa anda banyak berlari... mereka benar-benar menghukum kami terutama pada lewat permainan tetapi kami dapat menunjukkan prestasi yang baik... dan saya sangat gembira (dengan kemenangan ini),” kata Yamal kepada Movistar.
Pemain sayap itu juga mengalu-alukan penyertaan Olmo dan Victor yang akan memperkuatkan lagi pasukannya itu.
“Anda akan gementar apabila anda dilarang bermain dan apabila anda mendapat berita seperti itu (dapat kembali bermain), anda sangat gembira,” tambah Yamal.
Penyerang veteran Poland, Robert Lewandowski, mensia-siakan peluang yang baik untuk menambah gol ketiga untuk Barca, merembat bola ke luar sasaran apabila berada dalam kedudukan yang baik.
Jurulatih Bilbao, Ernesto Valverde, yang dipecat sebagai bos Barcelona selepas kekalahan di stadium yang sama pada 2020, kemudian memasukkan Nico Williams untuk cuba mengubah haluan permainan.
Pemain sayap antarabangsa Sepanyol itu, yang banyak dikaitkan dengan Barcelona pada musim panas lalu, tidak cukup cergas untuk disertakan dalam kesebelasan utama tetapi memberi impak positif dari bangku pemain simpanan.
Beliau sempat mengumpan bola kepada Oscar de Marcos untuk merintis peluang jaringan tetapi gol jaringan pemain pertahanan Bilbao itu dibatalkan kerana ofsaid.
Gol Inaki Williams juga dibatalkan kerana ofsaid menyusuli hantaran belakang Frenkie de Jong yang lemah.
“Sayang sekali gagal memanfaatkan peluang-peluang kami... tetapi kami telah menunjukkan banyak perkara yang positif dan perlu meneruskannya,” kata Williams.
“Kami tidak kisah (siapa yang kami hadapi di final), pastinya ia satu perlawanan yang sukar tetapi yang penting ialah kami mahu memenanginya, dan pulang dengan trofi,” kata Yamal. – AFP, Reuters.

