BARCELONA: Kejuaraan La Liga Sepanyol kedua berturut-turut Barcelona berlaku menerusi kempen penuh debaran apabila pasukan kendalian Hansi Flick menggabungkan serangan bertenaga dan bakat muda dalam kempen yang memikat peminat.

Kemenangan pertandingan El Clasico ke atas Real Madrid pada 10 Mei, yang memastikan kejuaraan Barcelona dengan baki tiga perlawanan, menjadi kemuncak musim yang dibina atas rentak cemerlang, keberanian dan komitmen menyerang walaupun dalam keadaan bahaya.

Bagi Real pula, musim ini berakhir dengan kekecewaan.

Kelab itu sekali lagi gagal memenangi gelaran utama, menjadikan dua musim tanpa kejayaan besar sejak ketibaan penyerang, Kylian Mbappe, menimbulkan persoalan tentang hala tuju mereka.

Musim kedua Flick bersama Barcelona juga bukan mudah.

Jurulatih Jerman itu terpaksa mengharungi kecederaan panjang beberapa pemain utama, termasuk Lamine Yamal, Pedri, Frenkie de Jong dan kapten, Raphinha, pada tempoh berbeza sepanjang musim.

Beliau turut melalui kemerosotan prestasi Robert Lewandowski.

Penyerang Poland berusia 37 tahun itu hanya menjaringkan 18 gol musim ini berbanding 42 musim lalu.

Beliau bukan lagi penyerang hebat di kotak penalti seperti dahulu.

Namun Barcelona tetap mengawal perebutan kejuaraan.

Walaupun jarang dapat menurunkan kesebelasan terbaik, Flick berjaya memanfaatkan kekuatan skuadnya, dengan penyerang Ferran Torres menyumbang 16 gol, manakala pemain sayap Yamal menghasilkan 16 gol dan 11 bantuan gol.

Yamal, walaupun bergelut dengan kecederaan pangkal paha pada awal musim, berkembang menjadi pemain paling menyerlah Barcelona dan sering menjadi pencetus inspirasi pasukan.

Kejuaraan itu juga mengeratkan hubungan Flick dengan penyokong Barcelona yang menghargai gaya menyerangnya.

Pasukan itu bermain secara berani, garang dan menghiburkan sepanjang musim.

“Ia perlawanan yang sukar dan saya tidak akan melupakan hari ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada skuad dan semua yang menyokong kami.

“Perkara paling penting ialah saya sangat bangga memiliki pasukan yang begitu baik. Terima kasih atas segalanya,” kata Flick ketika sambutan kejuaraan di stadium Camp Nou.

Beliau turut memuji semangat juang pemainnya, sambil menyifatkan kemenangan ke atas Real dalam El Clasico sebagai sesuatu yang mengujakan.

Barcelona menjaringkan 91 gol dalam 35 perlawanan liga, 21 lebih banyak daripada Real, membuktikan kekuatan serangan mereka walaupun pertahanan kadangkala rapuh.

Garisan pertahanan tinggi Flick mendedahkan Barcelona kepada serangan balas, manakala pengkritik menyifatkan pasukannya terlalu mudah dijangka dan enggan menyesuaikan falsafah permainan mengikut lawan atau keadaan.

Pendekatan ini membantu Barcelona memenangi La Liga dan Piala Super Sepanyol di Arab Saudi, tetapi mereka gagal menyerlah di pentas lain.

Selepas mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Barcelona musim ini tewas kepada Atletico Madrid dalam separuh akhir Copa del Rey dan turut tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara.

Bagi kelab yang masih memburu kembalinya mereka ke puncak bola sepak Eropah, penyingkiran itu amat memeritkan.

Real pula melalui musim bergelora.

Xabi Alonso, ketua jurulatih gagal mengulangi kejayaannya semasa bersama Bayer Leverkusen sebelum ini, dan akhirnya dipecat di pertengahan musim.

Penggantinya, Alvaro Arbeloa, juga gagal mengubah keadaan apabila Real tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich.

Kini timbul ketidaktentuan sama ada beliau tepat untuk membimbing mereka ke era seterusnya.

Ketegangan memuncak pada 7 Mei apabila kapten, Federico Valverde, dimasukkan ke hospital.

Ini selepas pemain itu bergaduh dengan rakan sepasukan, pemain tengah, Aurelien Tchouameni, di bilik persalinan, menambah tekanan terhadap kelab yang biasa mengukur kejayaan menerusi trofi. – Agensi berita.