Sudah kira-kira seminggu Piala Dunia melabuhkan tirainya.

Bagi peminat bola sepak seperti saya, sudah mulalah merasakan ‘kekosongan’, meskipun saya menghargai waktu tidur yang lebih stabil.

Dengan berakhirnya temasya sukan terbesar dunia di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico, tamat jugalah aksi mendebarkan di padang yang menggamit imaginasi dunia, sekali gus memberi kita masa untuk melakukan refleksi melebihi perspektif sukan.

Hakikatnya, Piala Dunia lebih daripada sekadar bola sepak.

Ia adalah pentas yang menghimpunkan pelbagai bangsa, budaya, agama, bahasa dan fahaman dalam satu ruang yang sama.

Di atas padang, kita melihat persaingan untuk menjulang trofi.

Di luar padang pula, adakalanya kita melihat gambaran sebuah dunia yang sedang kita diami hari ini – sebuah dunia yang semakin berpecah, sarat dengan persaingan kuasa, konflik geopolitik, manipulasi dan perebutan pengaruh.

Bagi saya, perlawanan akhir Piala Dunia baru-baru ini menjadi cerminan yang amat jelas tentang hakikat tersebut.

Di satu sudut, kita disajikan dengan mutu bola sepak yang mengagumkan.

Sepanjang kejohanan, jutaan insan daripada pelbagai latar belakang berkongsi detik kegembiraan, kekecewaan dan harapan yang sama.

Bola sepak sekali lagi membuktikan kemampuannya menyatukan manusia, walaupun hanya untuk 90 minit.

Namun pada sudut yang lain, kejohanan ini turut memperlihatkan sisi gelap kemanusiaan.

Kontroversi pengadilan, provokasi, insiden selepas perlawanan, campur tangan politik, pengkomersialan yang semakin melampau serta perebutan perhatian oleh tokoh-tokoh berpengaruh seolah-olah mengingatkan kita bahawa tiada lagi ruang yang benar-benar bebas daripada pertarungan ego dan kuasa.

Ironinya, dunia hari ini juga bergerak dalam nada yang hampir sama.

Ketika konflik bersenjata masih berterusan di beberapa wilayah, kuasa besar saling menguji pengaruh, manakala media sosial pula menjadi gelanggang menyebarkan kemarahan, teori konspirasi dan polarisasi.

Piala Dunia turut memantulkan realiti tersebut. Seolah-olah seluruh dunia membawa bersama segala keresahan dan perpecahannya ke dalam sebuah kejohanan sukan.

Namun, jika hanya itu yang kita lihat, kita mungkin terlepas sesuatu yang lebih penting.

Di tengah-tengah segala kekecohan itu, masih wujud detik-detik yang mengingatkan kita tentang sifat terbaik kemanusiaan.

Sebagai seorang beragama Islam, melihat bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, sujud berdoa sebagai meraikan kejayaan adalah satu gambaran yang cukup menyentuh.

Dalam dunia yang sering meraikan individu secara berlebihan, beliau memilih untuk mengembalikan segala pujian kepada Penciptanya.

Lebih mengesankan ialah saat bintang veteran Argentina, Lionel Messi, mendakap Yamal selepas wisel penamat.

Walaupun kecewa dengan kekalahan dan menghampakan harapan seluruh negara yang dipikulnya, Messi masih bersedia untuk menunjukkan rasa hormat kepada generasi muda yang bakal mengambil alih pentas bola sepak dunia daripada beliau dan rakan-rakan seangkatannya.

Begitu juga Yamal, yang tidak meraikan kemenangan dengan penuh kesombongan, sebaliknya menghormati seorang legenda yang selama ini menjadi inspirasi kepada jutaan pemain muda.

Mungkin itulah pengajaran terbesar daripada Piala Dunia kali ini.

Kita menyaksikan bahawa sifat tamak, marah, dendam dan kerakusan kuasa memang wujud dalam diri manusia.

Tetapi pada masa yang sama, begitu juga nilai rendah hati, kerohanian, belas ihsan dan rasa hormat.

Akhirnya, Piala Dunia bukan sekadar menentukan siapa juara dunia.

Ia menjadi cermin yang memancarkan siapa diri kita sebagai insan.

Dalam dunia yang semakin ‘bising’ dengan kebencian dan perpecahan, kita masih mempunyai pilihan untuk menunjukkan kematangan, menghormati lawan, mengiktiraf jasa orang lain dan kekal berpegang pada nilai yang lebih besar daripada kemenangan semata-mata.

Barangkali itulah kemenangan sebenar yang paling diperlukan dunia hari ini.

Dalam dunia yang semakin ‘bising’ dengan kebencian dan perpecahan, kita masih mempunyai pilihan untuk menunjukkan kematangan, menghormati lawan, mengiktiraf jasa orang lain dan kekal berpegang pada nilai yang lebih besar daripada kemenangan semata-mata.
Penulis.