LONDON: Dekat, tapi jauh.
Mikel Arteta sedar persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana England (EPL) sudah berakhir bagi Arsenal sebelum perlawanan terakhir musim pada 19 Mei bermula.
Sebagai bekas pembantu Pep Guardiola, pengurus Manchester City, beliau tahu kebolehan pesaing Arsenal itu.
Untuk memperoleh kejuaraan liga pertama dalam 20 tahun, Arsenal mengharapkan City tewas pada perlawanan terakhir, namun harapan itu berakhir apabila City mendahului West Ham pada awal permainan.
Dalam wawancara selepas perlawanan di Stadium Emirates, Arteta dan pemainnya tidak mengambil masa untuk menerima realiti – dan berpandangan positif daripada kempen yang mengagumkan.
Arsenal menamatkan persaingan dengan 89 mata, kedua terbanyak dalam sejarah kempen EPL mereka.
Walaupun terlepas menjadi juara, kapten Martin Odegaard, menekankan hal-hal positif daripada pasukan itu.
“Saya rasa kami semua agak kecewa,” katanya dalam ucapan kepada peminat di Stadium Emirates selepas wisel penamat.
“Kami telah berjuang begitu lama untuk mencapai impian besar ini. Kami begitu hampir mencapainya. Saya sangat bangga akan setiap pemain, pasukan, peminat dan kemajuan yang kami capai.
“Kami telah mengubah kelab ini dan saya yakin anda kini mempercayai kami.”
Terdapat banyak bakat muda dalam skuad Arsenal yang menyokong komen Odegaard.
Di bahagian pertahanan, penjaga gol David Raya berjaya mengatasi detik-detik gementar untuk memenangi Sarung Tangan Emas EPL kerana meloloskan jumlah gol paling sedikit.
Di hadapannya, William Saliba, menjadi pemain pertama, selain penjaga gol, yang beraksi setiap minit bagi Arsenal dalam satu kempen EPL.
Arteta berharap Jurrien Timber boleh menyertai Saliba untuk mengukuhkan lagi pertahanan Arsenal musim depan.
Pada perlawanan terakhir menentang Everton, Timber membuat penampilan kedua dalam liga selepas mengalami kecederaan serius semasa penampilan pertamanya pada hari pembukaan liga.
Beliau mengharapkan Bukayo Saka dapat beraksi menentang Everton, namun pemain sayap itu terlepas kerana masalah otot.
Walaupun Arsenal menamatkan musim ini tanpa trofi, Arteta telah membina sebuah pasukan yang kelihatan berupaya mencabar City sekali lagi pada 2025.
“Arsenal adalah sebuah kelab yang menghadapi isu kurang keyakinan bagi tempoh yang panjang dan Arteta telah mengembalikan keyakinan itu,” kata pemenang enam kali EPL, Rio Ferdinand, kepada TNT Sports.
“Beliau mempunyai peminat yang benar-benar percaya. Ya, mereka tidak mencapai beberapa sasaran yang mereka tetapkan musim ini, tetapi beliau telah mencipta sebuah pasukan bola sepak peminat mahu sokong.”
Arteta menyahut cabaran mengejar City – kelab Inggeris pertama memenangi empat kejuaraan liga berturut-turut.
“Saya tahu apa yang berlaku dan ini tahapnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan. Tiada siapa perlu menjelaskan tahap itu kerana saya berada di sana empat tahun dan saya tahu apa yang perlu kami lakukan jika kami ingin sampai ke sana.
“Namun kami berada di landasan yang betul dan saya tidak pernah lihat evolusi yang berlaku begitu cepat sekali sebelum ini. Kami berada di trajektori betul dan kini kami perlu mengatasinya tanpa ragu kerana kami benar-benar mahukannya.”
Guardiola tahu ini bukan kali terakhir beliau akan mendengar daripada bekas jurulatih nombor duanya dan pemain muda Gunners.
“Sebelum ini, Liverpool mendorong kami, dan kini, pada dua musim terakhir, (ia adalah Arsenal),” kata pengurus Manchester City itu.
“Pengurus muda yang berbakat besar. Mereka menghantar mesej kepada kami bahawa kami perlu berhati-hati pada tahun-tahun mendatang.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg