SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Antonelli menang kali kedua, pendahulu termuda kejuaraan dunia

Antonelli menang kali kedua, pendahulu termuda kejuaraan dunia

Rebut peluang menang di Grand Prix Jepun selepas Oliver Bearman alami kemalangan
Mar 29, 2026 | 5:58 PM

Antonelli menang kali kedua, pendahulu termuda kejuaraan dunia

Pemandu Mercedes, Andrea Kimi Antonelli meraikan kemenangannya di litar Suzuka di Jepun bersama pasukannya.
Pemandu Mercedes, Andrea Kimi Antonelli meraikan kemenangannya di litar Suzuka di Jepun bersama pasukannya. - Foto REUTERS

Pemandu kereta Mercedes, Andrea Kimi Antonelli menang dalam perlumbaan kedua berturut-turut dalam kejohanan lumba kereta Formula Satu (F1) pada 29 Mac, sekali gus menjadi pendahulu termuda kejuaraan dunia musim ini.

Kemenangannya di Grand Prix Jepun yang diadakan di litar Suzuka itu bak ‘hadiah’ tidak diduga, selepas tempoh kereta keselamatan yang tercetus apabila pemandu Haas, Oliver Bearman mengalami kemalangan teruk.

Antonelli, 19 tahun, belum lagi membuat pemberhentian pit pada ketika itu, tetapi pemandu yang menjadi persaingan utama untuknya, Oscar Piastri dari Mclaren dan rakan sepasukan George Russell telah pun berhenti sebelum kemalangan berlaku.

Keadaan itu membolehkan Antonelli, seorang warga Italy, membuat pemberhentian pit semasa tempoh kereta keselamatan dan kembali menyertai perlumbaan di posisi pertama.

Russell, yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas mengakhiri perlumbaan di posisi keempat di belakang Piastri dan Charles Leclerc dari Ferrari meluahkan perasaannya melalui radio kepada pasukannya.

“Amat tidak boleh dipercayai,” kata beliau selepas sedar rakan sepasukannya yang lebih muda telah menewaskannya dalam perlumbaan kedua berturut-turut.

Antonelli kini bukan sahaja menjadi pemandu termuda dalam sejarah untuk mendahului kejuaraan F1, malah mendahului rakan Russell dengan kelebihan sembilan mata.

“Tentu sekali saya berasa amat gembira, tapi adalah terlalu awal untuk memikirkan tentang kejuaraan.... perjalanan masih jauh,” kata Antonelli selepas perlumbaan.

“Sejujurnya, saya memulakan perlumbaan dengan kurang baik... tapi mujurlah ada tempoh kereta keselamatan yang membolehkan saya mendahului kereta lain dan selepas itu saya hanya perlu memandu dengan pantas dan bijak.”

Insiden yang dimaksudkan itu berlaku di pusingan ke-22.

Bearman, yang sedang bersaing dengan pemandu Alpine, Franco Colapinto untuk posisi ke-17 memecut kereta terlalu laju semasa kededua pemandu menghampiri selekoh bahaya bernama Spoon Curve.

Dengan Bearman pantas mengejarnya, Colapinto mengemudi keretanya keluar dari garisan perlumbaan ke arah tengah jalan raya, dekat dengan Bearman.

Dalam percubaan Bearman untuk mengelak pelanggaran, beliau tersasar ke petak rumput dan hilang kawalan kenderaannya, dengan kereta berpusing-pusing dan bertembung dengan adangan yang dipasang di permulaan selekoh tersebut.

Difahami, Bearman sedang memandu kenderaan dengan kelajuan 307 kilometer sejam apabila beliau merempuh adangan itu.

Namun beliau berjaya berjalan keluar dari kenderaan dan dibawa ke pusat perubatan di mana beliau menjalani prosedur rawatan sebelum dilepaskan.

Sebelum insiden itu, kemenangan perlumbaan dijangka disaing antara Piastri dan Russell.

Antonelli telah mundur ke posisi keenam sejurus selepas perlumbaan bermula dan Piastri telah mengambil alih posisi di tempat pertama.

Russell, yang memandu kereta dengan pantas kemudian memotong Lando Norris dari McLaren dan Leclerc untuk merebut posisi kedua dengan perlumbaan berusia empat pusingan.

Russel and Piastri mula saling memotong kenderaan masing-masing, sehingga sekitar pusingan ke-17 apabila Leclerc memasuki pit.

Piastri memasuki Pit pada pusingan selanjutnya, sementara Russell dipanggil ke pit pada pusingan ke-21.

Menyusuli itu, Russell keluar dari pit di belakang Piastri, sementara Antonelli, yang belum memasuki pit, kini berada di posisi pertama.

Sejurus selepas itu, kemalangan melibatkan Bearman berlaku, mencetus arahan supaya kenderaan keselamatan keluar ke litar dan memberi Antonelli membuat pemberhentian pit dalam keadaan kelajuan yang terkawal.

Beliau keluar dari pit di posisi pertama dan tidak melepaskan kedudukannya sehingga garisan penamat.

Piastri, yang mengakhiri perlumbaan di posisi kedua berkata beliau kecewa tetapi akur kelajuan yang ditunjukkan keretanya itu memberinya keyakinan bagi perlumbaan di masa depan.

“Sebenarnya, kita juga boleh bersaing asalkan kita kekal dalam perlumbaan sehingga ia berakhir,” ujar Piastri, seorang warga Australia. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg