LOS ANGELES: Allyson Felix, atlet wanita paling banyak memenangi pingat dalam sejarah atletik Sukan Olimpik dengan 11 pingat, berkata beliau merancang kembali beraksi sekalipun pada usia melebihi 40 tahun dengan menyertai temasya Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Beliau memberitahu majalah Time dalam satu artikel yang diterbitkan dalam talian pada 27 April bahawa beliau sedang bersiap sedia untuk apa yang diharapkan menjadi temasya Olimpik keenamnya di tanah airnya sendiri ketika beliau berusia 42 tahun.

“Ini adalah pengalaman pulang ke tanah air yang hanya berlaku sekali seumur hidup,” katanya tentang impian Olimpiknya.

“Dan ia adalah satu-satunya perkara yang cukup kuat untuk menarik saya kembali.

“Ramai antara kita telah diberitahu untuk tidak melakukan perkara yang besar dan berani. Pada usia ini, mungkin saya sepatutnya duduk di rumah dan menjaga anak saja... tapi, kenapa tidak?”

Felix adalah srikandi Olimpik Amerika Syarikat yang paling banyak memenangi pingat dalam sukan itu.

Beliau meraih emas solo satu-satunya dalam acara 200 meter di London pada 2012; menambah emas dalam acara berganti-ganti 4x400 meter pada 2008 di Beijing; 2012 di London; 2016 di Rio de Janeiro; dan 2021 di Tokyo; serta memenangi gelaran 4x100 meter pada temasya 2012 dan 2016.

Beliau turut meraih perak bagi perlumbaan 200 meter pada 2004 dan 2008, perak 400 meter pada 2016 dan gangsa 400 meter di Tokyo.

Atlet Amerika itu juga telah menjadi pejuang bagi wanita yang kembali bersaing selepas melahirkan anak. Beliau melahirkan anak pada 2018 dan 2024.

Baru-baru ini, beliau menghadiri Olimpik Paris 2024 sebagai penonton dan mendapati dirinya merindui hari-hari bersaing.

Beliau mendedahkan bahawa beliau telah mendapat inspirasi daripada atlet yang terus bersaing dan memasuki usia 40-an tahun, termasuk Tom Brady, LeBron James dan Lindsey Vonn.

Felix juga memenangi rekod 20 pingat di Kejohanan Dunia, terbanyak bagi mana-mana wanita atau lelaki, termasuk 14 gelaran. 

Beliau menjuarai 200 meter pada 2005, 2007 dan 2009 serta 400 meter pada 2015, di samping tiga gelaran 4x100 meter, gelaran campuran 4x400 meter pada 2019 dan enam emas wanita 4x400 meter, termasuk acara perpisahannya, Kejohanan Dunia 2022 di Eugene, Oregon.

Sebagai ahli suruhanjaya atlet untuk jawatankuasa penganjur Olimpik LA 2028, beliau bersikap realistik tentang harapannya itu.

“Saya tahu pada usia 40, saya tidak berada di kemuncak prestasi saya. Saya tidak ada sebarang ilusi tentang itu,” akui Felix.

“Saya sangat jelas tentang apa yang saya dambakan dan apa yang ingin saya capai.”

Mendapat sokongan daripada penonton tempatan adalah sebahagian matlamatnya.

“Ketika saya bersaing, sorakan yang kuat kedengaran untuk atlet negara tuan rumah di Olimpik. Saya ingin merasakan lagi pengalaman itu,” tambahnya.

Namun tempat Felix di Sukan Los Angeles tidak dijamin. Beliau perlu melalui sistem kelayakan atletik Amerika yang sangat bersaing terlebih dahulu. 

Namun sekadar membuat percubaan untuk bersaing di Olimpik LA sudah merupakan satu kemenangan baginya.

“Saya mungkin akan berasa kecewa dengan diri sendiri jika saya tidak mencubanya,” katanya.

“Walau apa pun keputusannya, saya tetap akan berada di sana bersama anak-anak saya, bersantai dan memberi sokongan kepada semua orang.” – Agensi berita.