Beliawanis di kawasan kejiranan yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak kini boleh menyertai program bola sepak khas untuk perempuan anjuran Akademi Bola Sepak ActiveSG (AFA).

Mulai Julai 2026, AFA akan menawarkan program khas bola sepak untuk beliawanis di Sekolah Menengah Tampines dan Sekolah Menengah Ang Mo Kio, selain program sedia ada mengikut kumpulan umur bagi peserta berusia tiga hingga 16 tahun.

Program baru itu menawarkan laluan lebih jelas untuk pemain perempuan mengembangkan kemahiran di peringkat akar umbi sebelum berpeluang melangkah ke peringkat lebih mencabar.

Demikian menurut kenyataan daripada Majlis Sukan Singapura (SportSG), pada 24 Mei.

Pengumuman itu dibuat semasa Fiesta Bola Sepak AFA, di Our Tampines Hub (OTH) yang dihadiri Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, sebagai tetamu kehormat.

Lebih 1,000 kanak-kanak menyertai fiesta dwitahunan yang berlangsung pada 16 dan 24 Mei sempena ulang tahun ke-10 AFA.

AFA bermula dengan 500 kanak-kanak di lima pusat pada 2016 dan kini mempunyai lebih 4,000 pemain, termasuk 600 perempuan, di 17 pusat serantau.

Pengetua AFA yang juga bekas pemain antarabangsa Singapura, Aleksandar Duric, berkata:

“Sejak kami memulakan AFA pada 2016, minat terhadap bola sepak wanita semakin berkembang.

“Kami memulakan program perintis khas perempuan di Tampines tahun lalu (2025) dan selepas melihat sambutan menggalakkan, kami memutuskan untuk memperluaskannya ke dua pusat dan semua kumpulan umur.”

Turut hadir ialah pemain bola sepak wanita negara, Irsalina Irwan, yang memulakan perjalanan bola sepaknya bersama AFA.

Pemain tengah pasukan wanita Lion City Sailors yang berusia 19 tahun itu berkata program berkenaan memupuk minatnya terhadap bola sepak sehingga membolehkannya meraih Biasiswa Bola Sepak Luar Negara Unleash The Roar! (UTR!) di IMG Academy di Amerika Syarikat serta tempat tetap dalam skuad Lioness (pasukan nasional wanita Singapura).

Irsalina, yang menyertai AFA ketika berusia sembilan tahun dan kekal selama empat tahun, berkata:

“AFA benar-benar membentuk saya sebagai pemain dan individu. Bermain bersama pemain lelaki mencabar saya menjadi lebih kuat, yakin dan berdaya saing.

“Namun, mempunyai persekitaran khas buat kaum perempuan berlatih juga penting kerana ia memberi ruang selesa dan sokongan kepada pemain perempuan serta menggalakkan lebih ramai menyertai sukan ini.”

“Ia langkah bermakna bagi AFA kerana menunjukkan sejauh mana AFA berkembang sejak 10 tahun lalu serta kesungguhannya mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita dalam bola sepak.

“Ia juga mengujakan apabila lebih banyak sokongan dan laluan pembangunan diwujudkan bagi generasi baru pemain wanita.”

Program itu juga sebahagian daripada sokongan AFA terhadap projek bola sepak nasional UTR! mengembangkan dan memperkukuh bola sepak wanita di Singapura, termasuk kategori khas perempuan dalam Liga Belia Singapura (SYL) dan peluang latihan luar negara bagi pemain wanita berbakat, dengan pemain paling cemerlang berpeluang meraih biasiswa bola sepak ke Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Kapten pasukan bola sepak wanita negara, Rosnani Azman, 29 tahun, dijangka antara jurulatih program wanita AFA.

Rosnani, yang juga jurulatih, di pusat AFA Sekolah Menengah Queensway, berkata:

“Matlamat program AFA adalah menyediakan wadah bagi anak perempuan mempelajari dan menikmati bola sepak.

“Kami berharap dapat menerapkan asas bola sepak yang baik serta nilai teras seperti saling menghormati, daya tahan dan semangat berpasukan yang akan membantu mereka di dalam dan luar padang.”

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat pendaftaran mulai Jun di laman media sosial AFA.

Program itu ditawarkan pada harga $130 setiap penggal bagi anggota ActiveSG.