Topik diikuti
Pergi ke BHkuZhulkarnain: Perancangan Legasi Islam kini keperluan semua, bukan hanya warga emas
Zhulkarnain: Perancangan Legasi Islam kini keperluan semua, bukan hanya warga emas
Zhulkarnain: Perancangan Legasi Islam kini keperluan semua, bukan hanya warga emas
Perancangan Legasi Islam bukan lagi isu yang hanya relevan untuk warga emas atau golongan berada.
Sebaliknya, ia semakin dilihat sebagai satu keperluan penting bagi keluarga Muslim di Singapura untuk memastikan ketenangan dan mengelakkan konflik selepas pemergian seseorang.
Demikian antara perkara yang diketengahkan dalam satu perbincangan panel bertajuk Perancangan Legasi Islam: Bagaimana Nak Mula? sempena acara pertama Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) di kawasan perumahan yang berlangsung di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 9 Mei.
Acara tersebut menarik penyertaan sekitar 250 individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk anak muda usia 20-an tahun.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), berkata isu yang dikemukakan dalam perbincangan panel merupakan antara kebimbangan utama yang masih wujud dalam masyarakat hari ini.
Menurut beliau, ramai dalam masyarakat masih mempunyai salah tanggapan tentang siapa yang layak mewarisi harta, perbezaan antara wasiat dan faraid, serta manfaat sebenar membuat perancangan legasi lebih awal.
“Banyak kekhuatiran dan kebimbangan masyarakat yang kita telah leraikan hari ini, terutamanya apakah itu wasiat, siapa waris yang boleh mewarisi melalui faraid dan apa manfaatnya membuat perancangan legasi,” kata beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang.
Perbincangan panel tersebut juga menampilkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Naib Kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Hidayat Ismail; serta Naib Presiden ILPW, Encik Suhaimi Salleh.
Sesi tersebut yang dikendalikan moderator, Ketua Pendidikan Awam dan Penglibatan bagi Dasar dan Pembangunan Agama, Pejabat Mufti, Cik Zauwiyah Majid, membincangkan tentang pelbagai instrumen perancangan legasi Islam termasuk wasiat, faraid, hibah, nominasi CPF dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), selain pertimbangan agama yang perlu difahami masyarakat.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Encik Zhulkarnain menjelaskan masih ramai yang beranggapan perancangan legasi hanya penting untuk warga senja atau golongan berada, sedangkan pasangan muda, keluarga dengan anak kecil, anak istimewa serta golongan mualaf juga memerlukan perancangan tersebut.
“Perancangan ini bukan sahaja untuk ketenangan diri sendiri, tetapi juga untuk ketenangan orang yang ditinggalkan,” katanya.
Tambahnya, pendekatan menganjurkan acara seperti ILPV di kawasan kejiranan bertujuan mendekati masyarakat secara lebih dekat serta memudahkan mereka mendapatkan akses kepada pakar perundangan, asatizah dan karyawan kewangan Islam.
Sejak Perancangan Legasi Islam (ILP) dibentuk pada 2024, sekitar 6,000 peserta telah menghadiri program berkaitan perancangan legasi Islam di seluruh Singapura.
Selain itu, buku panduan elektronik, ‘The Final Amanah’, yang dilancarkan tahun lalu (2025) turut mencatat lebih 14,000 muat turun setakat ini.
Bagi peserta, Encik Sulaiman Kitto, 64 tahun, sesi tersebut membantu menjelaskan pelbagai persoalan yang jarang dibincangkan secara terbuka termasuk isu melibatkan anak tiri, anak luar nikah dan keluarga bukan Islam.
“Kadang-kadang orang mungkin tidak mahu buat semua ini (wasiat) sebab rasa susah dan takut timbul masalah keluarga.
“Tapi bila saya datang sesi seperti ini, banyak perkara jadi lebih jelas dan menekankan kepentingan mengapa kita harus melakukannya,” kata pengerusi operasi di Sekolah Northlight itu.
Turut hadir bersama Encik Sulaiman adalah anak lelakinya, Encik Noor Hakim Sulaiman, 27 tahun yang mengakui beliau sebelum ini kurang memahami tentang isu berkaitan wasiat dan LPA.
“Sebelum ini saya tidak tahu banyak tentang wasiat dan LPA.
“Tapi bila datang bersama ibu bapa ke acara ini, saya lebih memahami dan boleh bantu mereka membuatnya juga kalau diperlukan,” kata eksekutif kanan di Pusat Inovasi bagi Urusan Rantaian Bekalan di Politeknik Republic (COI-SCM).
“Pada masa yang sama, ia juga mendorong saya untuk membuat perancangan legasi yang awal juga,” tambahnya.
Siri acara di kawasan kejiranan ini menandakan satu lembaran baharu bagi inisiatif ILP yang kali pertama diperkenalkan Muis pada 2024.
Melalui siri tersebut, khidmat berkaitan perancangan legasi Islam akan dibawa lebih dekat kepada masyarakat menerusi beberapa sesi yang dirancang di pelbagai lokasi pada Julai, September dan November 2026.
