Topic followed successfully
Go to BHkuZaqy: Keupayaan inovasi dalam teknologi penting buat pertahanan S’pura
Zaqy: Keupayaan inovasi dalam teknologi penting buat pertahanan S’pura
Zaqy: Keupayaan inovasi dalam teknologi penting buat pertahanan S’pura
Daripada kapal terbang kertas dan peluncur hinggalah ke sistem dron canggih, inilah yang dihasilkan kira-kira 2,500 peserta dalam Pertandingan Mesin Terbang Hebat Singapura (SAFMC) ke-17 yang berlangsung pada 11 April di Singapore Expo.
Berucap di acara pertandingan tersebut, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berkata dron merupakan bahagian penting dalam kehidupan harian.
Bahkan dengan konflik yang sedang berlaku di seluruh dunia — dari Ukraine ke Timur Tengah — adalah jelas bahawa dron kian mengubah bentuk peperangan melalui kelajuan, skala dan kemampuan.
Memandangkan Singapura tidak mempunyai kemewahan dari segi sumber asli atau bilangan penduduk yang besar, negara ini perlu mampu berfikir dengan lebih baik, bergerak dengan lebih pantas dan berinovasi dengan lebih berani berbanding yang lain, terutamanya dalam pertahanan dan keselamatan negara, ujarnya.
Oleh itu, kata Encik Zaqy, SAFMC merupakan wadah bangunkan bakat yang penting dalam menghasilkan golongan saintis, jurutera, penyelesai masalah yang kreatif bagi memacu teknologi Singapura.
“Dalam dunia di mana alat kecerdasan buatan (AI) mampu menghasilkan kod, menyusun penyelidikan dan membina prototaip huraian dengan pantas, kelebihan kini semakin berpihak kepada mereka yang tahu cara menggunakan alat tersebut dengan baik.
“Yang terbaik dalam membawa pembaharuan bukan sahaja pintar. Mereka tajam akalnya.
“Mereka melihat jurang di mana pendekatan sedia ada mengalami kelemahan, dan mereka mempunyai ketangkasan serta dorongan untuk mengisi jurang tersebut sebelum orang lain. Mutu tersebut tidak boleh diautomasikan,” jelasnya.
Dianjurkan bersama Makmal Nasional DSO dan Pusat Sains Singapura, SAFMC terus menjadi wadah bagi inovator muda untuk mengubah konsep bilik darjah menjadi huraian kejuruteraan dunia nyata.
Sewaktu acara tersebut, Encik Zaqy diperkenal kepada siri demonstrasi langsung, termasuk sekumpulan 25 dron yang melaksanakan misi mencari dan menyelamat.
Antara peserta ialah Omar Zarrar, 12 tahun, dari Sekolah Rendah Springdale yang merupakan naib johan Anugerah Persembahan Kapal Terbang Kertas.
“Daripada pertandingan ini, saya belajar sikap berdaya bingkas.
“Saya juga belajar untuk tidak berputus asa apabila perlu cuba banyak kali untuk menerbangkan kapal terbang kertas saya namun tidak berjaya pada mulanya,” katanya yang bercita-cita menjadi usahawan.

