Mulai 1 Oktober 2024, sehingga 1.1 juta penduduk Singapura akan menerima subsidi penjagaan kesihatan pemerintah yang lebih tinggi, termasuk di hospital awam, klinik pakar dan pusat dialisis.
Mengumumkan demikian semasa melancarkan diploma bekerja sambil belajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam kejururawatan pada 30 September 2024, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata subsidi itu akan diperluaskan kepada rakyat Singapura daripada keluarga berpendapatan lebih tinggi.
Menurut satu kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 30 September, had pendapatan per kapita isi rumah (PCHI) bagi setiap peringkat subsidi akan dinaikkan sebanyak $100 hingga $800.
Misalnya, subsidi 80 peratus bagi wad C dan B2 di hospital awam akan diberikan kepada mereka yang mempunyai had PCHI sehingga $2,100, berbanding $1,800 sebelum ini.
Lebih ramai orang juga akan layak menerima kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru, dengan had PCHI dinaikkan daripada $1,200 kepada $1,500.
Pemegang kad Chas sedia ada yang layak mendapat kad Chas dengan subsidi lebih tinggi juga akan akan diberikan kad baru secara automatik selepas 1 Oktober.
Had PCHI untuk layak menerima subsidi premium insurans kesihatan Medishield Life tertinggi juga akan meningkat daripada $1,200 kepada $1,500, dengan kadar subsidi sehingga 50 peratus.
Dalam pada itu, Encik Ong berkata MOH juga sedang membuat beberapa perubahan untuk meningkatkan kemampuan pesakit dan memudahkan mereka yang sesuai untuk penjagaan dengan meningkatkan rangka kerja subsidi penjagaan paliatif dan rangka kerja subsidi hospital masyarakat.
Mulai 1 Oktober juga, MOH berkata mereka akan menyelaras peratusan subsidi pesakit dalam hospital masyarakat dengan hospital akut dan selaras dengan had PCHI bulanan yang disemak.
Di bawah rangka kerja subsidi hospital masyarakat yang dipertingkatkan, rakyat Singapura akan menerima subsidi sekurang-kurangnya 50 peratus secara minimum, naik daripada 30 peratus di bawah rangka kerja sekarang.
MOH akan menyelaraskan kadar subsidi bagi penjagaan paliatif dengan hospital akut, dengan minimum 50 peratus, dan sehingga 80 peratus mulai 1 Oktober.
Senarai perkhidmatan diagnostik bersubsidi di hospital masyarakat juga akan diperluaskan secara progresif, dengan tujuan menyelaraskannya dengan senarai perkhidmatan diagnostik bersubsidi di hospital akut, kata MOH.
Ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh hospital masyarakat mulai 1 Disember.
Mengulas tentang memperluaskan jaminan sokongan kewangan pemerintah, Encik Ong berkata:
“Paradigma kini telah beralih. Kita harus memberi subsidi untuk penjagaan masyarakat sekurang-kurangnya pada tahap yang sama dengan penjagaan di hospital, jika tidak lebih daripada itu. Dengan cara itu, kami menggalak kemasukan pesakit ke pusat jagaan.
“Malah, adalah lebih baik bagi pesakit untuk segera berpindah kepada jagaan masyarakat di mana mereka boleh mendapatkan pemulihan yang betul dan sokongan sosial, iaitu perkara yang mereka paling memerlukan pada peringkat pemulihan mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg