Topic followed successfully
Go to BHkuXueling: Kekurangan tempat letak kereta boleh berlaku jika ruang itu diubah
Xueling: Kekurangan tempat letak kereta boleh berlaku jika ruang itu diubah
Xueling: Kekurangan tempat letak kereta boleh berlaku jika ruang itu diubah
Mengubah fungsi ruang meletak kereta kepada kegunaan lain pada peringkat awal projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) boleh menyebabkan kekurangan tempat letak kereta pada masa akan datang, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, pada 7 April.
Berucap di Parlimen, Cik Sun berkata adalah terlalu awal untuk mempertimbangkan perkara itu di projek HDB yang permintaan tempat meletak keretanya belum lagi stabil.
Beliau turut menegaskan bahawa kehilangan pendapatan akibat penukaran tersebut tidak termasuk dalam faktor yang dipertimbangkan.
Cik Sun berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok).
Encik Hoe bertanya mengenai faktor yang mungkin menghalang penukaran tempat letak kereta bertingkat (MSCP) HDB yang kurang digunakan kepada ruang masyarakat – selain daripada faktor permintaan, potensi gangguan, keselamatan kebakaran, kapasiti laluan keluar dan beban struktur bangunan.
Encik Hoe turut bertanya sama ada faktor-faktor itu menghalang penukaran MSCP di Clementi Peaks – sebuah projek HDB di bawah kawasan undi Clementi kendaliannya – kepada kegunaan lain.
Cik Sun menjelaskan bahawa projek Clementi Peaks baru selesai dibina kurang empat tahun lalu, iaitu pada Julai 2022.
“Keperluan tempat letak kereta belum lagi stabil sepenuhnya, dan terlalu awal untuk mempertimbangkan penukaran ruang meletak kereta kepada kegunaan lain buat masa ini,” katanya.
Ketika ditanya oleh Encik Hoe mengenai cara Kementerian Pembangunan Negara (MND) menilai sama ada keperluan ruang meletak kereta telah stabil, Cik Sun menjelaskan bahawa permintaan boleh berubah dari masa ke masa, terutama di estet baru.
Ini kerana perubahan dalam saiz isi rumah juga boleh mempengaruhi keperluan tempat meletak kereta.
“Itu sebabnya mengapa permintaan tempat letak kereta di estet baru boleh mengambil masa beberapa tahun untuk stabil, dan itu merupakan situasi yang berlaku di Clementi Peaks,” katanya.
Cik Sun menambah bahawa HDB tidak menyarankan penukaran ruang meletak kereta pada awal projek. Ini bagi mengelak kekurangan sekiranya permintaan meningkat kelak.
Mengenai kenyataannya bahawa pendapatan bukan faktor penentu dalam pertimbangan penukaran, Cik Sun berhasrat untuk “menjelaskan perkara ini supaya orang ramai mendapat fakta betul dan tidak membentuk tanggapan salah”.
Cik Sun merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) pada Mac.
Profesor Lim memberitahu Parlimen pada 5 Mac bahawa MND kadangkala menjadikan pendapatan melepas sebagai alasan untuk menolak permintaan penukaran ruang meletak kereta.
Pendapatan melepas merujuk kepada potensi pendapatan yang dilepaskan apabila sesuatu pihak memilih satu alternatif berbanding yang lain.
Ketika disoal Cik Sun pada 7 April mengenai asas kenyataannya itu, Profesor Lim berkata maklumat tersebut datang daripada kakitangan majlis bandaran, sambil menambah beliau bersedia menarik balik kenyataannya jika beliau tersilap.
Sebagai respons, Cik Sun merujuk kepada e-mel pegawai HDB kepada Profesor Lim pada 2021, susulan permintaannya membina taman permainan dan dapur awam di MSCP Sengkang.
Dalam e-mel tersebut – yang turut disalinkan kepada kakitangan majlis bandaran – pegawai berkenaan berkata HDB akan meneliti permintaan penukaran ruang meletak kereta kepada kegunaan alternatif di tapak yang sesuai, dengan syarat keperluan meletak kereta masih dapat dipenuhi selepas penukaran dilakukan.
Pegawai itu turut menyebut bahawa MSCP tidak direka untuk menyokong kemudahan bukan meletak kenderaan dari segi beban struktur.
Oleh itu, kebolehlaksanaan teknikal setiap penukaran perlu dinilai terlebih dahulu, di samping pertimbangan lain.
Cik Sun berkata e-mel tersebut “menjelaskan dengan cukup tentang pertimbangan yang diambil kira HDB”.
“Dalam usulan anda untuk mengubah MSCP tersebut bagi kegunaan masyarakat, sekiranya anda mampu memenuhi pertimbangan HDB, saya rasa kami akan berbesar hati menyokong pelaksanaan permohonan tersebut,” kata Cik Sun.

