Topic followed successfully
Go to BHkuWarga muda Singapura pastikan pesawat selamat beroperasi – dan mengapa mereka cintai kerjaya aeroangkasa
Warga muda Singapura pastikan pesawat selamat beroperasi – dan mengapa mereka cintai kerjaya aeroangkasa
Selain memerlukan pengetahuan teknikal, kerjaya dalam sektor aeroangkasa turut memberikan kepuasan dan bermakna, serta menuntut minat yang mendalam, ketelitian dan kemahiran untuk menangani cabaran.
Warga muda Singapura pastikan pesawat selamat beroperasi – dan mengapa mereka cintai kerjaya aeroangkasa
Setiap pesawat yang terbang di udara adalah hasil kepakaran kejuruteraan – dan ia memerlukan pasukan besar yang berdedikasi serta bersemangat untuk memastikan penumpang tiba di destinasi mereka dengan selamat dan lancar.
Encik Ali Fadhli Shamsuddin, 23 tahun, merupakan salah seorang daripadanya. Teksnisyen di bahagian penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih enjin (MRO) di ST Engineering itu adalah sebahagian daripada pasukan yang menyelenggara dan membaiki enjin pesawat.
Sebagai pengimpal dan juruteknik kepingan logam di kemudahan MRO enjin ST Engineering di Paya Lebar, beliau membaiki serta memasang komponen enjin pesawat. Kini, setiap kali melihat pesawat berlepas ke udara, beliau berasa bangga kerana mengetahui bahawa beliau turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Lulusan baru, Cik Lim Jia Ying, 23 tahun, turut berasa teruja apabila baru-baru ini menaiki penerbangan dan menyedari pesawat yang dinaikinya menggunakan enjin keluaran GE Aerospace.”
“Saya berasa sangat gembira mengetahui bahawa saya menaiki pesawat dengan enjin yang dihasilkan dan diselenggarakan oleh syarikat saya,” katanya.
Beliau merupakan seorang pakar di bahagian ‘FLIGHT DECK’, model operasi proprietari syarikat yang digunakan bersama pasukannya, untuk memperkemas dan menambah baik proses kerja, selain menyelesaikan masalah serta meningkatkan keselamatan dalam penyelenggaraan dan pembaikan enjin.
Menurutnya, beliau mendapat kepuasan besar daripada “mengetahui bahawa kerja yang saya lakukan membantu membentuk cara orang ramai mengembara dan mengalami dunia”.
Sektor pesat berkembang dengan peluang cerah
Kedua-dua anak muda ini adalah antara lebih 20,000 tenaga kerja dalam sektor aeroangkasa Singapura yang berkembang pesat dan bernilai sekitar $15 bilion. Sektor ini menempatkan lebih 130 syarikat aeroangkasa yang terlibat dalam pembuatan, MRO, inovasi serta perkhidmatan selepas jualan.
Jumlah penumpang udara dijangka berkembang lebih pesat di rantau ini berbanding kawasan lain di dunia dalam tempoh 20 tahun akan datang, manakala bilangan pesawat dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada lebih 21,500.
Ketahui lebih lanjut tentang trend yang membentuk sektor MRO aeroangkasa Singapura.
Keadaan ini menunjukkan prospek kukuh bagi sektor aeroangkasa, dengan syarikat-syarikat merancang mengembangkan operasi serta melabur di Singapura, termasuk mengambil lebih 2,500 pekerja dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Peluang pekerjaan merangkumi peranan teknikal, kejuruteraan, dan korporat.
Sebagai hab aeroangkasa utama Asia, perniagaan MRO di Singapura dijangka mendapat manfaat besar daripada pertumbuhan pesawat, yang seterusnya meningkatkan permintaan untuk penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih.
Pada masa ini, Singapura menyumbang sekitar 10 peratus daripada pengeluaran MRO global, serta hampir 20 peratus daripada pengeluaran MRO enjin pesawat di peringkat dunia. Ini bermakna kira-kira satu daripada setiap 10 pesawat, dan satu daripada setiap lima enjin pesawat di dunia, diselenggara di Singapura.
Namun, prospek cerah bukan satu-satunya penyebab Encik Ali Fadhli dan Cik Lim memilih sektor aeroangkasa. Mereka juga terdorong oleh rasa ingin tahu yang mendalam, tujuan kerjaya yang jelas, serta keinginan untuk memberi impak global yang bermakna.
Encik Ali Fadhli, lulusan Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), menyertai ST Engineering membolehkan beliau bekerja dan mengikuti kelas di ITE Central.
Beliau merupakan antara kumpulan pertama pelajar dalam program itu, dan baru sahaja menamatkan diploma dalam Penyelenggaraan Enjin Pesawat pada November 2025 lalu.
“Saya memang meminati sektor aeroangkasa sejak dahulu lagi,” katanya. “Sejak kecil, saya suka kerja-kerja praktikal seperti membaiki motosikal saya.”
Menurutnya, antara perkara yang paling beliau gemari dalam pekerjaannya ialah peluang bekerja dengan pelbagai jenis komponen enjin.
“Setiap hari ia memberikan saya cabaran baru, sama ada dari segi kepelbagaian kerja mahupun peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran diri,” katanya. “Saya menikmati proses menyelesaikan masalah kerana ia membolehkan saya menggunakan pengetahuan teknikal serta kemahiran praktikal yang saya miliki.”
Bagi Cik Lim pula, keputusan menyertai sektor aeroangkasa dibuat selepas beliau memperoleh diploma dalam Kejuruteraan Aeroangkasa dari Politeknik Temasek dan ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Nasional Singapura.
Ketika menjalani latihan industri dalam sektor lain, beliau sering melihat pesawat berlepas ke udara dari jendela di pejabatnya.
“Ia membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri, ‘Adakah saya benar-benar meminati sektor aeroangkasa, dan adakah ini pekerjaan pertama yang ingin saya pilih?’ Jawapannya jelas - ya,” kata Cik Lim.
Menangani cabaran serta melaksanakan projek yang bermakna
Sejak menyertai syarikatnya tahun lalu, Cik Lim terlibat dalam pelbagai projek, termasuk menambah baik ergonomik di tempat kerja bagi meningkatkan keselesaan juruteknik yang mengendalikan komponen enjin.
Beliau juga membantu memperkemas proses pembaikan dan pemasangan bagi mengurangkan langkah kerja, serta melaksanakan arahan kerja yang lebih jelas dan kaedah pembaikan yang lebih berkesan. Hasilnya, prestasi dan kadar produktiviti meningkat, manakala masa kerja semula dapat dikurangkan dengan baik.
Ketahui mengapa Singapura menduduki tempat pertama bagi kemahiran tahap tinggi dan impak bakat, serta apa maknanya untuk perniagaan anda
“Setiap proses dan cabaran memberi peluang pembelajaran baru,” kata beliau, “sama ada mendapatkan pemahaman teknikal, melihat perspektif baru daripada rakan sekerja atau mencari cara yang lebih baik untuk menggalakkan kerjasama.”
Encik Ali Fadhli bekata, beliau juga pernah terlibat dalam beberapa projek signifikan. Salah satu projek yang paling diingatinya ialah membaiki komponen enjin yang dikenali sebagai turbine frame, yang melibatkan proses kerja kepingan logam dan kimpalan yang panjang serta rumit.
“Kami berhasrat untuk mengubah proses pembaikan turbine frame supaya ia lebih efisien, dengan mengurangkan hampir separuh keperluan masa kerja,” kata Encik Ali Fadhli.
“Bersama juruteknik mapan yang lain, pasukan kami menilai semula keseluruhan aliran kerja bagi mengenal pasti peluang mengoptimumkan penggunaan sumber. Kami berjaya memperkemas proses tersebut, sekali gus meningkatkan kecekapan pembaikan dengan dengan memberangsangkan.”
Pada awalnya, beliau dan Cik Lim bimbang bahawa bekerja dalam sektor aeroangkasa akan menjadi terlalu mencabar. Mereka mendengar bahawa bidang ini memerlukan kemahiran teknikal yang kompleks dan tahap ketepatan yang sangat tinggi.
Ketelitian dan keselamatan, kata mereka, adalah perkara yang “tidak boleh dikompromi dan diabaikan”, dan “perincian sekecil mana pun boleh memberi kesan besar kepada prestasi dan kebolehpercayaan”, seperti yang dinyatakan Cik Lim.
Setelah menyertai sektor ini, kedua-duanya mendapati mereka menerima banyak sokongan untuk mempelajari serta memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran kerja yang kompleks.
Di syarikat masing-masing, mereka diberikan pelbagai peluang latihan untuk memahami peranan mereka dan menguasai kemahiran yang meningkatkan keyakinan diri.
“Pada mulanya, saya berasa agak tertekan memikirkan betapa besarnya tanggungjawab yang dipikul,” kata Encik Ali Fadhli.
“Namun, melalui pembelajaran daripada pengalaman, bimbingan mentor, dan latihan yang konsisten, keyakinan saya terus meningkat.”
Program latihan bawa perubahan
Latihan yang diterimanya menerusi program skim bekerja belajar dan diploma atau Work-Study Diploma, banyak membantu beliau menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja pembaikan enjin yang sangat mencabar.
Ketelitian, dedikasi serta keupayaannya menyelesaikan tugas dengan pantas dan cekap akhirnya melayakkan beliau menerima anugerah Best Rookie for Component Repair pada 2024. Beliau juga dipilih oleh syarikatnya untuk menjalani latihan di Perancis pada awal tahun ini.
Bekerja bersama pasukan dari pelbagai negara memberinya pengalaman langsung mengenai pelbagai kaedah kerja, teknik yang diperhalusi, dan aliran kerja yang lebih cekap. Selain mempelajari amalan terbaik, program itu turut memperluaskan pemahamannya terhadap kemahiran ini, serta membolehkan dirinya pulang dengan pengetahuan yang boleh dimanfaatkan bersama pasukannya.
Kini, selepas beralih peringkat daripada pelatih kepada juruteknik bertauliah, beliau menanam cita-cita untuk maju lebih tinggi lagi dalam kerjayanya.
“Terdapat peluang untuk menjadi juruteknik kanan, kemudian jurutera perkhidmatan,” katanya.
“Selain itu, terdapat juga laluan menuju jawatan jurutera bengkel atau peranan kepimpinan yang luas.”
Ketahui mengapa Singapura menduduki tempat pertama bagi kemahiran tahap tinggi dan impak bakat, serta apa maknanya untuk perniagaan anda
Di firma GE Aerospace pula, Cik Lim turut meraih banyak pengalaman melalui penglibatannya dalam pelbagai projek, termasuk projek bukan teknikal.
Pengalaman itu membuatkan beliau menyedari bahawa sektor aeroangkasa bukan hanya melibatkan pekerjaan teknikal semata-mata, seperti yang sering disangkakan. Ia juga membuka matanya kepada pelbagai fungsi serta peluang kerjaya dalam sektor yang merupakan antara peneraju awal dalam penggunaan teknologi, di mana banyak pekerjaan kini semakin didigitalisasikan.
Satu lagi dorongan besar bagi Cik Lim ialah Program GE Aerospace Technical Attainment Programme, yang membolehkan pekerja muda seperti beliau menimba pelbagai pengalaman dalam syarikat.
Program ini memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dan mendalami pelbagai jenis pekerjaan, meneroka minat kerjaya serta membuka laluan bagi perkembangan kerjaya jangka panjang dalam sektor ini.
Kini berada dalam tahun pertama program dua tahun tersebut, Cik Lim berharap dapat memahami dengan lebih mendalam fungsi-fungsi lain dalam GE Aerospace serta mempelajari kemahiran baru untuk memanfaatkan pertumbuhan sektor aeroangkasa pada masa hadapan.
“Saya mahu mengenal pasti di mana kekuatan dan minat saya bertemu,” katanya.
“Saya juga ingin mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah dan membimbing orang lain. Matlamat utama saya ialah menyumbang kepada inovasi yang memastikan orang ramai dapat sampai ke destinasi mereka dengan selamat.”
Kerjaya yang memuaskan
Sektor aeroangkasa Singapura telah menyaksikan pertumbuhan pekerjaan yang kukuh, dengan syarikat merancang untuk mengambil kira-kira 2,500 pekerja baru dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
“Walaupun sektor ini sangat mencabar, ia juga memberikan kepuasan yang besar dan amat bernilai,” jelas Encik Ali Fadhli. “Bagi mereka yang benar-benar meminati industri aeroangkasa dan keselamatan, kerjaya ini memberikan kepuasan diri serta makna yang jelas, sambil membantu memastikan keselamatan orang ramai.”
Ketahui bagaimana sektor aeroangkasa Singapura bermula dan bagaimana warga Singapura membina kerjaya mereka dalam syarikat global yang berpangkalan di negara ini.
Sumber: The Straits Times © SPH Media Limited. Kebenaran diperlukan untuk pengeluaran semula.

