Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian tekan keprihatinan S’pura terhadap isu Gaza dalam panggilan bersama pemimpin Palestin, Israel

Sep 10, 2025 | 8:52 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan - Foto ST

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menekankan keprihatinan serius Singapura terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan perlunya gencatan senjata segera.

Beliau berkata demikian kepada rakan sejawatnya di Palestin dan Israel dalam panggilan berasingan pada 9 dan 10 September, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam kenyataannya.

Panggilan itu melibatkan Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Penguasa Palestin (PA), Dr Varsen Aghabekian Shahin, pada 9 September; dan Menteri Ehwal Luar Israel, Encik Gideon Moshe Sa’ar, pada 10 September

Pemimpin tersebut telah mengadakan “perbincangan jujur dan terbuka” mengenai keadaan di Timur Tengah, di mana Dr Balakrishnan turut menggesa pembebasan semua tebusan dengan segera dan tanpa syarat.

“Dr Balakrishnan menekankan kepercayaan kukuh Singapura bahawa penyelesaian dua negara yang dirunding, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan, merupakan satu-satunya laluan berdaya maju dalam mencapai penyelesaian yang menyeluruh, adil dan bertahan lama dalam konflik berpanjangan itu.

“Dr Balakrishnan melahirkan harapan agar Israel dan PA akan kembali pada rundingan langsung ke arah penyelesaian dua negara,” kata MFA.

Dalam panggilan bersama Dr Aghabekian, Dr Balakrishnan menyatakan sokongan lama Singapura bagi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan negara mereka.

Beliau turut mengetengahkan komitmen negara ini untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Sebagai contoh, Singapura telah menyalurkan sembilan pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $22 juta ke Gaza sejauh ini.

Pemerintah juga telah menjalankan beberapa operasi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang digugurkan dari udara, termasuk yang terkini melalui pengerahan pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) ke Jordan pada Ogos.

MFA berkata Dr Aghabekian telah merakamkan penghargaan atas bantuan kemanusiaan Singapura, dan juga sokongan negara ini bagi usaha pembinaan kapasiti PA.

Usaha itu termasuk inisiatif bernilai $10 juta di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) – yang bertujuan membina keupayaan pegawai awam di Palestin.

Selain itu, terdapat program baru bersama kerajaan Jepun untuk melatih pegawai Polis Awam Palestin dalam pengawasan masyarakat dan Program Pemimpin Muda baru bagi Singapura berkongsi pengalaman dalam pentadbiran awam dan tadbir urus.

Semasa bercakap dengan Encik Sa’ar pula, Dr Balakrishnan menyampaikan keprihatinan serius Singapura mengenai perluasan operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Meskipun Israel mempunyai hak mempertahankan diri sebagai tindak balas kepada serangan keganasan Hamas pada 7 Oktober 2023, Dr Balakrishnan menekankan bahawa tindakan kententeraan yang keterlaluan sejak itu telah memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah teruk dan memanjangkan penderitaan orang awam yang tidak bersalah di Gaza.

“Dr Balakrishnan menggesa Israel agar memastikan terdapat penghantaran bantuan kemanusiaan untuk orang awam dengan segera, pantas dan tanpa halangan.

“Dr Balakrishnan turut menggesa Israel supaya tidak mengambil sebarang tindakan sebelah pihak untuk mengubah status quo yang akan menjejas prospek penyelesaian dua negara,” kata MFA.

Kementerian itu menambah bahawa Dr Balakrishnan turut mengulangi pandangan Singapura bahawa serangan udara Israel ke atas Doha “adalah pencabulan terang-terangan kedaulatan Qatar dan menjejas rundingan berterusan mengenai gencatan senjata dan pembebasan baki tebusan di Gaza”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg