Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian raih Pingat Kehormatan NTUC
Vivian raih Pingat Kehormatan NTUC
Kesatuan sekerja digesa jadi sumber idea bantu bentuk dasar baru pemerintah
Vivian raih Pingat Kehormatan NTUC
Kesatuan sekerja boleh menjadi sumber idea bagi membentuk dasar baharu pemerintah, lebih-lebih lagi sedang pekerja berdepan dengan cabaran yang kian berubah dalam ekonomi digital masa kini, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Penerima Pingat Kehormatan pada majlis Anugerah Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) 2026 itu menukil Model Gaji Progresif (PWM) bagi sektor pembersihan sebagai salah satu contoh.
Mengimbas kembali pengalamannya bergiat dalam Gerakan Pekerja sepanjang lebih 20 tahun dan sebagai penasihat di beberapa kesatuan sekerja, beliau berkata PWM merupakan cetusan idea berlandaskan usaha mendiang G Muthukumarasamy pada 2008.
Mantan Setiausaha Agung Kesatuan Gabungan Pekerja Awam Bergaji Hari (AUPDRW), yang lebih dikenali sebagai Kumar itu, memulakan usaha mengolah semula pekerjaan untuk pekerja pembersihan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), ujar Dr Balakrishnan.
Mendiang Kumar menyandang jawatan itu dari 2002 sehinggalah beliau meninggal dunia pada 2019.
Hasil usaha mendiang Kumar, kata Dr Balakrishnan, memberi cetusan idea kepada beliau – yang ketika itu Menteri Sekitaran dan Sumber Air dari 2011 hingga 2015 – bagi membentangkan rang undang-undang pindaan terhadap Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar (EPHA) di Parlimen pada 2014.
Pindaan itu tertumpu pada pelaksanaan gaji minimum dan seterusnya kenaikan gaji secara progresif yang terkait dengan peningkatan kemahiran bagi pekerja pembersihan. Ia diluluskan dan dikuatkuasakan pada tahun yang sama.
Beliau berkata: “Saya terkenang (mendiang) Kumar, tatkala beliau memulakan usaha mengolah semula kerja untuk pekerja pembersihan di NEA pada 2008 untuk meningkatkan daya penghasilan dan gaji mereka.
“Saya teruja mengetengahkan rang undang-undang (terkait dengan gaji progresif) di Parlimen untuk mewujudkan PWM bagi pekerja pembersihan pada 2014.
“Setiap kali PWM dibincangkan hari ini, saya masih terkenangkan beliau (mendiang Kumar).”
Dr Balakrishnan merupakan antara penerima anugerah sempena majlis anugerah anjuran NTUC, yang diadakan di Orchid Country Club pada 13 Mei.
Dalam satu kenyataan pada 13 Mei, NTUC berkata sebanyak 188 anugerah diberikan kepada individu dan pertubuhan di majlis yang dihadiri lebih 1,200 tetamu itu.
NTUC berkata Dr Balakrishnan telah dianugerahkan Pingat Kehormatan – anugerah terunggul majlis itu – kerana semangat kentalnya dalam perjuangan Gerakan Pekerja.
Ini antara lain, merangkumi “bimbingan pekerja yang melalui peralihan perusahaan utama dan memperjuangkan kedudukan Singapura di pentas dunia”.
NTUC menambah Dr Balakrishnan turut menyumbang sebagai penasihat kepada beberapa kesatuan sekerja – khususnya dalam sektor minyak, petrokimia, tenaga dan kimia – seperti Kesatuan Sekerja Shell Singapura (SSEU).
Apabila syarikat minyak Shell menjual cabang Taman Kimia dan Tenaga di Pulau Bukom pada 2024, beliau menyelaras usaha bersama pelbagai pihak bagi memastikan pekerja mendapatkan hasil dan sokongan saksama semasa tempoh peralihan, kata NTUC.
Mengulas penglibatannya ketika itu, Dr Balakrishnan berkata: “Ini bukan sekadar transaksi korporat. Ia menjejas mata pencarian, keluarga, dan tenaga kerja yang telah membina keupayaan yang mendalam selama bertahun-tahun lamanya.
“Dalam situasi itu, adalah penting untuk campur tangan lebih awal, bekerja rapat dengan semua pihak, dan memastikan pekerja diberikan layanan secara adil serta mereka sentiasa dimaklumkan sepanjang proses (peralihan) itu.”
Menjangkau sumbangan dalam negara, NTUC menyifatkan bakti Dr Balakrishnan selaku Menteri Ehwal Luar telah membantu Singapura “mengekalkan aliran perdagangan dan pelaburan yang menyokong kesinambungan perniagaan, pekerjaan bermutu dan peluang jangka panjang”.
Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, berkata: “Komitmen beliau kepada pekerja tidak terletak pada kata-katanya semata-mata, ia dinilai melalui dedikasi lebih dua dekad bersama kesatuan sekerja dan rakan kerjasama tiga pihak untuk memajukan kepentingan dan kebajikan pekerja.
“Melalui integriti dan keazamannya, beliau telah memperkukuh hubungan tiga pihak dan membuat perubahan yang bermakna kepada pekerja dalam pelbagai sektor.”
