SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tindakan disiplin lebih tegas tangani salah laku pelajar termasuk buli jelang 2027

Tindakan disiplin lebih tegas tangani salah laku pelajar termasuk buli jelang 2027

MOE: Pelajar boleh dirotan, digantung sekolah; semua sekolah mesti laksanakan tindakan disiplin lebih tegas, diseragamkan
Apr 15, 2026 | 7:24 PM

Tindakan disiplin lebih tegas tangani salah laku pelajar termasuk buli jelang 2027

Mulai 2027, semua sekolah mesti melaksanakan tindakan disiplin lebih tegas dan diseragamkan untuk menangani salah laku pelajar, termasuk membuli.

Pelajar melakukan kesalahan serius buat kali pertama boleh ditahan sekolah selepas kelas sehingga tiga hari atau digantung sekolah – atau kedua-duanya – di samping penyesuaian gred tingkah laku mereka, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada 15 April.

Pelajar lelaki dalam sekolah rendah atasan dan selanjutnya yang melakukan kesilapan serius buat kali pertama juga boleh dikenakan satu sebatan rotan, manakala pesalah berulang boleh dikenakan sehingga tiga sebatan rotan.

Menurut MOE, hukuman dikenakan adalah berdasarkan jenis kesalahan dibuat iaitu kesalahan serius dan amat serius, dengan kes buli dinilai berdasarkan faktor seperti kesan, niat, dan kesalahan berulang.

Kesalahan serius termasuk membuli, menipu, berjudi, penggunaan vape, dan kesalahan yang melanggar undang-undang.

Kesalahan amat serius adalah seperti membakar harta dengan sengaja, penyalahgunaan dadah, bergaduh, penggunaan vape dengan etomidate, dan kesalahan melanggar undang-undang atau jenayah lain menyebabkan kecederaan parah.

Langkah ini adalah sebahagian daripada hasil Kajian Tindakan Menyeluruh MOE terhadap buli, yang merangkumi sembilan saranan dalam empat bidang utama. Ia dibangunkan selepas sesi perbincangan dan tinjauan mendalam dengan lebih 2,000 pendidik, ibu bapa, pelajar, profesional, dan anggota masyarakat sejak Ogos 2025.

Pendekatan baru ini bertujuan untuk memperkukuhkan respons kolektif dalam menangani buli melalui kerjasama yang lebih erat antara sekolah, keluarga, dan komuniti.

Bercakap kepada media semasa lawatan di Sekolah Rendah Teck Ghee pada 15 April, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menekankan peri-pentingnya melibatkan pelbagai pihak dalam melaksanakan langkah proaktif untuk membentuk perwatakan pelajar.

“Kami ingin memupuk pendekatan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kerjasama antara sekolah dan keluarga, yang dapat menguruskan salah laku, buli, dan mengurangkan kesan buruk dengan lebih berkesan sambil memanfaatkan interaksi harian sebagai detik pengajaran. Kami akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memantau pelancaran dan kesan langkah ini,” ujarnya.

“Dengan adanya proses penyeragaman, semua pihak lebih yakin bahawa sekolah mempunyai garis panduan yang sama, bertujuan untuk memastikan amalan dan pelaksanaan tindakan disiplin lebih selaras dan adil.”

Namun, Encik Lee berkata sekolah diberi kebebasan untuk mengambil tindakan tambahan jika diperlukan, kerana “sekolah paling memahami keadaan dan keperluan pelajar masing-masing”.

Menurut MOE, tingkah laku menyakitkan termasuk komen tidak sensitif yang berlaku sekali-sekala dan pergaduhan fizikal, manakala buli melibatkan tindakan menyakitkan yang berterusan dan sengaja.

Sekolah-sekolah juga akan mengambil kira usia, kematangan, keperluan pendidikan khas, atau kesejahteraan mental pelajar sebelum menjatuhkan hukuman rotan.

Mengulas lebih lanjut pertanyaan Berita Harian (BH), MOE berkata pelajar yang dihukum akan menerima sokongan seperti sesi kaunseling dan pemulihan. Ini termasuk langkah untuk membina semula hubungan dengan pelajar yang terjejas oleh salah laku mereka.

Menurut data terkini MOE, jumlah kes buli naik sedikit. Antara 2021 dengan 2025, kadar kejadian naik daripada dua kepada tiga kes bagi setiap 1,000 pelajar di sekolah rendah, dan daripada enam kepada lapan kes bagi setiap 1,000 pelajar di sekolah menengah.

Tinjauan yang melibatkan lebih 2,000 pihak berkepentingan merakamkan bahawa pelajar sering menghargai peluang untuk menyelesaikan konflik kecil dengan rakan bersendirian.

Walaupun pelajar dan ibu bapa akur tentang pendirian sekolah terhadap buli, mereka masih bimbang tentang keupayaan sekolah untuk menangani kes-kes kompleks dengan tepat dan adil, kata MOE.

MOE turut menyatakan bahawa menangani buli dan menggalakkan kebaikan sepatutnya melibatkan sekolah, isi rumah, dan masyarakat secara keseluruhan.

MOE juga menyarankan beberapa langkah lain, termasuk memperkukuhkan pendidikan mengenai nilai, proses sekolah dan sokongan untuk pendidik.

Encik Lee menambah MOE akan menyediakan wadah dalam talian untuk pelajar melaporkan insiden buli dan tingkah laku menjelang 2027.

Lebih maklumat mengenai langkah ini akan didedahkan pada masa hadapan, kata Encik Lee.

Kes-kes buli siber pula boleh dilaporkan kepada platform media sosial yang berkaitan, serta kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian yang akan ditubuhkan akhir Jun 2026, tambah MOE.

Pihak sekolah juga akan berusaha memberi kemas kini kepada ibu bapa dengan lebih cepat dan konsisten semasa menyiasat inisiden buli dan salah laku, terutamanya mengenai keselamatan dan kesejahteran anak-anak mereka.

“Untuk membantu para pendidik menangani isu buli di samping tugas mengajar, MOE juga akan menyediakan lebih sokongan tenaga manusia, mengikuti keperluan setiap sekolah,” tambah Encik Lee.

Langkah-langkah lain termasuk memperkenalkan lebih banyak aktiviti lakon peranan dan senario realistik dalam Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE), untuk memupuk budaya saling mengambil berat antara rakan sebaya, menentang tingkah laku negatif, serta menyokong mereka yang terkesan oleh perbuatan sedemikian.

Langkah ini juga merangkumi latihan untuk para pendidik dalam mengurus tingkah laku pelajar dan bekerjasama dengan ibu bapa dengan lebih baik, serta memperkukuhkan kerjasama dengan lapisan masyarakat lain, termasuk Agensi Perkhidmatan Sosial dan pertubuhan masyarakat.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg