Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timbalan Presiden DPPMS antara 9 NMP terima watikah pelantikan dari Presiden Tharman

Jan 8, 2026 | 6:29 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam, Azhar Othman, NMP
Presiden Tharman Shanmugaratnam (tengah) bergambar bersama Pengerusi Eksekutif, syarikat tenaga dan data, Enercon Asia, yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Azhar Othman (kiri), dan isterinya di Istana pada 8 Januari susulan penyampaian watikah pelantikan Encik Azhar sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP). - Foto ZAOBAO

Presiden Tharman Shanmugaratnam menyampaikan watikah pelantikan kepada sembilan individu yang telah dipilih untuk berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) bagi penggal Parlimen ke-15 dalam satu majlis penyampaian yang diadakan di Istana pada 8 Januari.

Sembilan individu tersebut termasuk Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Azhar Othman, yang juga Pengerusi Eksekutif, syarikat tenaga dan data, Enercon Asia.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) pada 8 Januari, Encik Azhar berkata beliau bersyukur, namun terkejut pada awalnya apabila mendapat tahu namanya dipilih daripada senarai 57 nama lain yang dikemukakan untuk dilantik.

Beliau turut menambah pencalonannya sebagai NMP dihantar oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan DPPMS.

Selain Encik Azhar, individu lain yang dilantik sebagai NMP termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sing Lun Holdings, Encik Mark Lee Kean Phi; Presiden Akuatik Singapura, Profesor Madya Kenneth Goh; doktor perubatan, Dr Haresh Singaraju; dan tokoh akademik, Profesor Terence Ho.

Selain itu, Profesor di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Kenneth Poon; Pengarah Urusan, Legal Clinic LLC, Cik Kuah Boon Theng; Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), Encik Sanjeev Kumar Tiwari; serta Pengasas yang juga CEO, NEO Aeronautics, Dr Neo Kok Beng, turut dilantik.

Kesemuanya merupakan NMP baru, kecuali Encik Lee, yang kembali buat penggal kedua selepas berkhidmat sebagai NMP dari 2023 hingga 2025.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu hantaran Facebook pada 8 Januari berkata bahawa perspektif yang akan diberikan sembilan NMP itu akan memperluaskan perbahasan di Parlimen.

“Saya menanti-nantikan sumbangan mereka, sedang kita mengharungi dunia yang semakin kompleks dan melakarkan fasa pembangunan Singapura yang seterusnya,” kata Encik Wong.

Sembilan individu itu dipilih oleh Jawatankuasa Pilihan Khas, yang dipengerusikan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, susulan proses penilaian 57 nama yang dicadangkan oleh orang awam dan kumpulan berfungsi.

Encik Seah, dalam satu kenyataan pada 2 Januari, berkata jawatankuasa itu berpuas hati kesemua calon itu memenuhi keperluan Perlembagaan.

Beliau turut memuji sumbangan cemerlang sembilan calon itu kepada masyarakat dan dalam bidang masing-masing.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu mengundang orang awam dan kumpulan berfungsi pada 8 Oktober 2025 agar mengemukakan nama individu untuk dipertimbangkan bagi pelantikan NMP.

Sebanyak 57 borang cadangan diterima sebelum tarikh tutup penyerahan pada 4.30 petang, 6 November 2025.

Dalam satu kenyataan pada 2 Januari, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, yang juga anggota jawatankuasa tersebut, berkata sembilan individu itu memberikan sumbangan ketara dalam pekerjaan dan masyarakat, selain cemerlang dalam bidang masing-masing.

Menurutnya, usaha memilih daripada senarai calon berkelayakan tinggi yang memohon peranan itu merupakan satu tugas mencabar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg