Tiga calon pengajian Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menjadi penerima sulung tiga biasiswa yang berbeza dalam menjalankan penyelidikan lanjut mengenai isu-isu keluarga, pendidikan dan sosial dalam masyarakat.
Ini termasuk Cik Nur Riduan, 38 tahun, yang menerima Biasiswa Memupuk Masa Depan, Transformasi Bakat, bagi kajiannya mengenai kaedah keibubapaan Melayu/Islam dan kesannya ke atas kemahiran membaca anak-anak dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak di Singapura.
Menjelaskan mengapa beliau ingin mendalami topik kajian itu, Cik Nur berkata:
“Sebagai anggota masyarakat Melayu/Islam dan karyawan dalam bidang ini, saya rasa adalah penting untuk meneroka topik ini dengan lebih mendalam, terutamanya kerana kajian ke atas keibubapaan Melayu/Islam adalah terhad.
“Saya bukan menyarankan semua keluarga harus mengamalkan gaya keibubapaan yang sama, tetapi saya percaya ibu bapa boleh meraih manfaat daripada penyelidikan lebih luas dan pendidikan mengenai cara menyokong pembangunan kecelikan anak-anak mereka.”
Encik Muhammad Abu Sufian Hanafi, 41 tahun, pula menerima Biasiswa Liem Yok Bien bagi kajiannya yang bertujuan memahami bagaimana kaedah kaunseling yang berkaitan dengan budaya dapat mengukuhkan keluarga Melayu/Islam.
“Saya dapati terdapat jurang kajian dalam penyampaian kaunseling dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura, sedangkan ia telah wujud dari tahun 1950-an,” kata Encik Sufian.
“Banyak kaedah kaunseling diadaptasi dari Barat dan disepadukan dengan pendekatan tempatan. Namun, bahan kajian agak kekurangan di dalam aspek penyepaduan tersebut,” tambah beliau.
Encik Muhd Jamaldin, 48 tahun, pula dianugerahi Biasiswa Tekad Maju bagi kajian beliau dalam menilai faktor sosioekonomi, persekitaran pembelajaran dan campur tangan pemerintah dalam prestasi akademik pelajar Melayu daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ketiga-tiga penerima biasiswa itu menjalankan penyelidikan mereka itu berdasarkan dapatan satu kajian dengan kerjasama Yayasan Mendaki pada 2018, yang diketuai Profesor Madya Sylvia Chong dari SUSS. Kajian tersebut telah menyelidik isu pendidikan dan sosioekonomi keluarga dalam golongan pendapatan 10 peratus terendah dalam masyarakat.
Dalam jawapannya kepada Berita Harian (BH), Profesor Chong berkata kajian yang dijalankan beliau sebelum ini mendapati bahawa faktor seperti kedudukan sosioekonomi dan asas serta kemahiran kukuh yang diraih pada peringkat pembangunan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam pencapaian akademik pelajar.
Oleh itu, kajian lebih mendalam terhadap isu-isu tersebut adalah penting kerana ia membolehkan orang lebih memahami konteks keluarga, pendidikan dan sosial saling berkait yang membentuk hasil bagi masyarakat Melayu/Islam, melebihi “statistik pada permukaan” sahaja.
“Pengetahuan ini memperkasa penggubal dasar, pendidik dan pemimpin masyarakat untuk mereka bentuk campur tangan yang bukan hanya saksama, malah juga berasaskan budaya dan kemampanan,” kata beliau.
Canselor SUSS, Puan Halimah Yacob, berkata biasiswa tersebut adalah penting kerana ia membolehkan penjanaan ilmu yang khusus kepada masyarakat Melayu/Islam dan realiti kehidupan mereka.
“Ia memastikan pemahaman kita tentang isu-isu keluarga, pendidikan dan sosial tidak abstrak, tetapi berasaskan bukti dan dibentuk suara masyarakat itu sendiri.
“Ini adalah penting kerana ia membantu menangani isu ketidaksamaan, melakar dasar yang lebih termaklum, dan memupuk kumpulan pemimpin intelektual yang akan membimbing pembangunan masyarakat dalam jangka panjang,” kata beliau.
Tiga biasiswa tersebut dapat ditawarkan hasil sumbangan beberapa individu yang berkongsi kepercayaan dalam kuasa pendidikan untuk mempertingkat kehidupan dan memperkukuh masyarakat.
Puan Halimah berkata kajian tersebut akan memberikan agensi pemerintah dan badan bantu diri bukti yang diperlukan untuk mereka dan menilai program dengan lebih berkesan.
Ini selain mengetengahkan nuansa dan cabaran khusus yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam dan menyediakan campur tangan yang lebih responsif dan memberi impak.
“Harapan saya adalah agar kajian para sarjana ini akan melangkaui pencapaian akademik untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan cara yang bermakna seperti memperdalam pemahaman tentang cabaran yang dihadapi keluarga, dan menyediakan bukti yang memaklumkan dasar dan campur tangan yang baik.
“Paling penting, saya berharap tugas ini akan menyumbang kepada usaha mengatasi lingkaran kesusahan – supaya setiap anak, tidak kira latar belakang, boleh bercita-cita, meraih pencapaian dan berkembang maju, dari segi akademik, sosial dan emosi. Inilah cara kita membina Singapura yang lebih prihatin dan terangkum,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg