Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerus jadikan masjid ruang terbuka, selamat bagi belia
Kegiatan di masjid bantu belia bina keyakinan, identiti; persiap diri bagi masa depan
Terus jadikan masjid ruang terbuka, selamat bagi belia
Berita tentang dua adik-beradik yang menjadi mangsa penderaan seksual dan rogol amat meruntun hati.
Lebih memilukan, perbuatan itu berlaku di sebuah masjid dan dilakukan oleh seseorang yang berada dalam kedudukan yang sepatutnya dipercayai.
Ramai antara kita pasti tertanya-tanya: Bagaimana sesuatu yang sepatutnya menjadi tempat selamat boleh menjadi tempat berlakunya perbuatan sedemikian?
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengecam perbuatan tersebut dan menyatakan beberapa langkah untuk memperkukuh keselamatan masjid.
Ini termasuk meningkatkan rondaan, memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) serta meneliti semula langkah perlindungan bagi kegiatan tidak rasmi yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Langkah-langkah ini penting dan sememangnya perlu.
Namun, dalam kita memperketatkan kawalan dan memperkukuh keselamatan, masjid mesti terus menjadi ruang yang terbuka, selamat dan bersifat terangkum untuk anak muda.
Saya berkata demikian, bukan sekadar sebagai wartawan yang mengikuti isu masyarakat, tetapi kerana saya pernah menjadi seorang anak yang memerlukan masjid setelah pemergian ayah saya semasa kecil dahulu.
Ayah saya meninggal dunia akibat penyakit barah pada 1996 dan ketika itu, saya baru berusia lapan tahun.
Saya anak kedua daripada empat beradik lelaki. Abang saya baru sembilan tahun, manakala adik bongsu belum pun mencecah usia setahun.
Ibu saya, seorang jururawat, tiba-tiba menjadi pencari nafkah tunggal. Syif panjang, kerja tambahan dan panggilan kecemasan menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Beliau berusaha sedaya upaya membesarkan kami.
Bagi seorang budak lelaki berusia lapan tahun, kehilangan ayah bukan sekadar kehilangan seorang pencari nafkah.
Saya kehilangan seorang ayah untuk dijadikan tempat bertanya, tempat mendapatkan nasihat, tempat mencari contoh dan panduan ketika saya mula mengenali dunia.
Di sinilah masjid memainkan peranan yang amat besar dalam hidup saya.
Tidak lama selepas pemergian ayah, seorang ustaz dari Masjid Darul Makmur di Yishun datang bertemu ibu saya. Beliau mengetahui tentang keadaan keluarga kami melalui laporan di Berita Harian (BH).
Beliau bukan sekadar membawa kata-kata simpati, malah beliau membuka pintu masjid dan mendapatkan sokongan masyarakat seperti makanan, bantuan kewangan, tuisyen dan pelbagai bentuk sokongan lain untuk kami.
Dari 1996 hingga 2000, Masjid Darul Makmur menjadi “tempat selamat” saya.
Saya mengenali setiap sudut masjid itu. Saya bermain kejar-kejar dan sembunyi-sembunyi bersama abang selepas kelas madrasah.
Jika tiada apa hendak dilakukan di rumah, saya akan ke masjid. Kadangkala sekadar lepak, memerhatikan jemaah bersolat dan kakitangan menjalankan tugas.
Saya berbual dengan asatizah dan mengenali kakitangan dan sukarelawan di situ.
Mereka mungkin tidak menyedari ketika itu, tetapi kehadiran mereka membantu membentuk seorang budak yang sedang membesar tanpa ayah.
Apabila ibu saya berkahwin lagi pada 2001 dan keluarga saya berpindah dari Yishun ke Hougang, saya pula menemui Masjid En-Naeem.
Dari 2001 hingga 2009, masjid itu menjadi tempat saya membesar, berkhidmat dan mengenali diri sendiri.
Belia masjid menjadi seperti saudara manakala asatizah menjadi guru dan juga figura ayah yang saya perlukan.
Apabila saya mempunyai persoalan, mereka membantu mencari jawapan. Apabila saya berdepan masalah peribadi, mereka memberikan nasihat.
Akhirnya, saya sendiri menjadi sukarelawan belia.
Di situ saya bukan sahaja belajar membantu orang lain. Saya belajar tentang diri saya sendiri, khususnya tentang kebolehan, tanggungjawab dan bagaimana saya boleh menyumbang kepada masyarakat.
Pengalaman itu akhirnya membawa saya ke jalan yang tidak pernah saya bayangkan.
Selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS), saya mahu bekerja di masjid, namun seorang mak cik yang bekerja di masjid menasihatkan saya supaya meneroka dunia di luar.
Beliau menasihatkan saya untuk membawa pengalaman yang saya peroleh daripada kerja sukarelawan di masjid untuk membantu lebih ramai anggota masyarakat di luar.
Kata-kata itu yang mendorong saya untuk memulakan pekerjaan sepenuh masa pertama saya di sebuah kelab masyarakat (CC) agar dapat terus dekat dengan masyarakat.
Selama lapan tahun saya bekerja di empat buah CC sebelum dihantar ke pejabat M3 yang ditubuhkan pada 2019 untuk lebih mendekati masyarakat Melayu/Islam.
Saya kemudian bekerja di sebuah majlis bandaran untuk lebih memahami tentang isu perbandaran, sebelum akhirnya memilih untuk menceburi bidang kewartawanan.
Minat dalam perihal masyarakat mendorong saya untuk menjadi seorang wartawan dengan Berita Harian, di mana saya dapat melaporkan berita yang menarik dan penting kepada masyarakat Melayu/Islam.
Hari ini, saya bukan lagi seorang kanak-kanak yang tidak berdaya tanpa seorang ayah seperti 30 tahun yang lalu. Saya kini seorang suami dan ayah kepada dua orang anak.
Apabila saya merenung kembali, saya sedar: Saya tidak mungkin sampai ke tahap ini sekiranya masjid tidak membuka pintu kepada saya dan keluarga saya di saat kami amat memerlukan dahulu.
Masyarakat juga telah banyak membantu kami.
Sebab itu, kes baru-baru ini tentang dua adik beradik itu, yang tidak mempunyai seorang ayah untuk membimbing mereka, benar-benar menyayat hati saya.
Dalam kita memastikan masjid lebih selamat, jangan sampai pintunya terasa semakin tertutup kepada anak-anak muda.
Masjid tidak boleh hanya menjadi tempat untuk orang dewasa dan pesara. Ia juga tidak boleh dilihat sebagai ruang yang hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai latar belakang agama sahaja.
Ketika saya menjadi belia masjid dahulu, kami diberi kepercayaan untuk merancang dan menjalankan kegiatan sendiri.
Dengan bimbingan pegawai pembangunan belia dan asatizah, kami diberi ruang untuk menarik lebih ramai anak muda, termasuk mereka yang tidak mempunyai latar belakang agama.
Kepercayaan seperti itu perlu diteruskan.
Anak muda memerlukan batas dan perlindungan tetapi mereka juga memerlukan ruang untuk bernafas, bertanya, mencuba, gagal, belajar dan mengenali diri sendiri.
Tanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai ruang selamat bukan sahaja jatuh kepada kakitangan dan asatizah di masjid.
Para relawan, lebih-lebih lagi belia seangkatan dan juga ahli keluarga, memainkan peranan penting untuk memantau dan memastikan ruang masjid terus selamat untuk anak muda yang lain.
Marilah kita pastikan masjid terus menjadi tempat untuk mereka datang bukan hanya ketika mahu bersolat atau belajar agama.
Masjid perlu jadi tempat mereka datang ketika mereka kesunyian, berasa keliru, memerlukan seorang dewasa untuk mendengar atau mencari seorang abang, kakak, guru atau figura ayah.
Dan mungkin, seperti yang pernah saya alami, masjid juga boleh jadi “tempat selamat” bagi mereka yang ingin berasa bahawa mereka tidak keseorangan.
Masjid mesti kekal selamat tetapi dalam keselamatan itu, jangan kita hilangkan rasa diterima.
Kerana kadangkala, sebuah pintu masjid yang terbuka boleh mengubah seluruh kehidupan seorang anak.
“
Dalam kita memastikan masjid lebih selamat, jangan sampai pintunya terasa semakin tertutup kepada anak-anak muda. Anak muda memerlukan batas dan perlindungan tetapi mereka juga memerlukan ruang untuk bernafas, bertanya, mencuba, gagal, belajar dan mengenali diri sendiri. Tanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai ruang selamat bukan sahaja jatuh kepada kakitangan dan asatizah di masjid. Para relawan, lebih-lebih lagi belia seangkatan dan juga ahli keluarga, memainkan peranan penting untuk memantau dan memastikan ruang masjid terus selamat untuk anak muda yang lain.