Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teroka perayaan bersama anak, buat eksperimen dan baca buku bertema Deepavali

Nov 7, 2023 | 5:30 AM
EKSPERIMEN MENARIK: Kanak-kanak dapat meraikan Deepavali sambil melakukan eksperimen bertema perayaan itu. Ini merupakan usaha Dyson untuk memberikan sumber pendidikan dan bengkel percuma kepada kanak-kanak.
EKSPERIMEN MENARIK: Kanak-kanak dapat meraikan Deepavali sambil melakukan eksperimen bertema perayaan itu. Ini merupakan usaha Dyson untuk memberikan sumber pendidikan dan bengkel percuma kepada kanak-kanak. - Foto YAYASAN JAMES DYSON FOUNDATION

TEROKA: Eksperimen bertemakan Deepavali

Muruku, snek yang diperbuat daripada tepung beras, bukan sekadar makanan perayaan, malah ia juga menjadi inspirasi bagi kegiatan menyeronokkan yang mengajar kanak-kanak tentang konsep kejuruteraan dan sains.

Kanak-kanak boleh memotong lingkaran kertas yang menyerupai muruku dan apabila mereka mengangkatnya, mereka akan tertarik dengan cara bentuk heliks berputar mengikut gerakan mereka.

Ditujukan kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas, ini merupakan salah satu daripada tiga eksperimen bertema Deepavali yang dibangunkan oleh Yayasan James Dyson.

Ini merupakan badan amal pengilang perkakas Dyson, yang menawarkan sumber pendidikan dan bengkel percuma untuk kanak-kanak.

Dalam kegiatan lain yang diilhamkan oleh warna perayaan yang terang, kanak-kanak boleh mengikut arahan dan panduan untuk mempelajari bagaimana gula mempengaruhi ketumpatan air.

IKUTI: Pesta Deepavali di Hab Sukan Singapura

Selain itu, ibu bapa juga boleh meluangkan masa bersama anak-anak mereka di OCBC Square di Hab Sukan Singapura pada Jumaat dan Sabtu dari 4 petang hingga 10 malam.

Terdapat kegiatan percuma seperti seni ‘rangoli’ tradisional, dengan peserta boleh mereka corak pada permukaan rata menggunakan tepung beras berwarna.

Peserta juga boleh melukis ‘diya’ – lampu minyak yang diperbuat daripada tanah liat – dan membawanya pulang.

Pesta itu akan dimeriahkan lagi mulai 4.45 petang dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian ‘karagam’ dan merak.

Terdapat juga gerai-gerai makanan hidangan lazat termasuk ‘pani puri’, sejenis pastri goreng yang diisi dengan kentang berempah.

Anda juga boleh menaiki bas dua tingkat terbuka yang akan membawa anda ke Little India untuk menyaksikan perayaan Deepavali.

BACA: Buku bergambar ‘Peacocks Around Little India’

Terdapat juga buku bergambar bertemakan Deepavali tentang seorang kanak-kanak perempuan yang sedang mereka corak dengan beras berwarna di ruang tamu flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), sementara ibunya menghiasi rumah dengan bunga marigold, daun mangga dan lampu minyak dan ayahnya pula menggoreng snek muruku di dapur. Semua orang sedang bersiap meraikan Deepavali.

Ditulis oleh Cik Valerie Pereira dan dilukis oleh Cik Mithula Palanivel, buku Peacocks Around Little India itu memperkenalkan pembaca muda kepada tradisi Deepavali tempatan.

Ini adalah tajuk ketiga Cik Pereira dalam siri buku bergambar, Celebrations In Singapore, selepas Stars On Orchard Road (2022) dan Dragons In Chinatown (2023).

Ibu kepada dua anak berusia empat dan tujuh tahun itu berharap siri tersebut akan dapat membantu kanak-kanak memahami cara rakan mereka daripada kaum dan agama lain merayakan perayaan berbeza.

Anak-anak muda juga boleh bercerita tentang pengalaman mereka.

Cik Pereira, 33 tahun, yang sedang menulis buku terakhir siri berkenaan Hari Raya, berkata: “Inti setiap cerita mengingatkan kita tentang kepentingan kebersamaan dan tradisi keluarga.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg