Topic followed successfully
Go to BHkuTeroka krisis alam sekitar sejagat menerusi ‘Sands of Times’
Teroka krisis alam sekitar sejagat menerusi ‘Sands of Times’
Pelajar SP bangun pameran simulasi di Stesen Janakuasa Pasir Panjang demi didik masyarakat tentang kesan genting kekurangan pasir dunia
Teroka krisis alam sekitar sejagat menerusi ‘Sands of Times’
Meskipun projek tahun akhirnya, Sands of Times, bukan projek pilihan pertamanya, minat Cik Syuhrah Huwaida Yamanhizas terhadap perihal sumber pasir yang kian kekurangan dan kesannya terhadap alam sekitar kian bangkit.
Cik Syuhrah, 20 tahun, mula mendalami topik tersebut dengan gigih bagi mencipta pameran muzium simulasi di Stesen Janakuasa Pasir Panjang yang dapat menggambarkan dapatan kajiannya tentang pasir.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Syuhrah menyifatkan proses pembelajarannya sepanjang menjayakan projek Sands of Times itu sebagai pengalaman membuka mata dek peluang meraih perspektif baharu tentang alam sekitar.
Bakal lulusan Politeknik Singapura (SP) yang mengikuti jurusan Diploma Reka Bentuk Dalaman itu berkata:
“Pada awalnya, projek ini bukanlah pilihan pertama saya kerana saya kurang berminat dan kurang pasti tentang topik projek ini.
“Namun, selepas mencari maklumat dan mengkaji dengan lebih mendalam, saya menjadi lebih terpanggil dan bersemangat untuk menyebarluaskan topik berkenaan pasir ini.”
Tatkala menyedari betapa gentingnya masalah kekurangan pasir serta kesannya kepada manusia dan alam sekitar, Cik Syuhrah menyifatkan dirinya sebagai ‘pejuang’ baharu yang ingin berdepan dengan masalah tersebut.
“Di serata dunia termasuk di Singapura, kita amat bergantung pada pasir bagi hal pembinaan dan penambakan tanah. Jadi, permintaan bagi pasir itu sangat tinggi.
“Namun, kita kurang sedar akan kesan terhadap alam sekitar daripada pengambilan pasir berlebihan ini.
“Seperti contoh, apabila banyak pasir diambil daripada sistem perairan, ia bakal menyebabkan pencemaran ekosistem perikanan dan juga penghakisan tanah di beberapa tempat di dunia,” jelas anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu.
Bagi Cik Syuhrah, pengetahuan demikian merupakan maklumat baharu yang diraih apabila beliau membaca banyak buku dan menonton dokumentari berkenaan fenomena pasir.
Justeru, beliau dapati ramai dalam kalangan masyarakat yang kurang peka dan faham tentang situasi pasir serta masalah geografi yang sedang melanda.
“Sewaktu membuat kajian lapangan di Stesen Janakuasa Pasir Panjang, saya sempat menemu bual beberapa orang.
“Ternyata, apabila ditanyakan tentang keadaan kekurangan pasir, ramai yang masih kurang faham akan isu ini,” ujarnya.
Malah, setelah lebih memahami masalah pasir serta kurangnya kesedaran orang ramai, jiwa beliau menjadi lebih terjentik dan terkesan emosinya.
“Apabila saya sedar ini merupakan masalah genting, saya lebih emosi kerana saya prihatin akan kesannya terhadap dunia,” jelasnya.
Bertitik tolak daripada hal itu, beliau memasang hasrat membangkitkan kesedaran tentang fenomena ini kepada masyarakat.
“Tujuan saya menghasilkan projek Sands of Times ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang isu ini dengan memberi mereka pencerahan terperinci mengenai keadaan dan kesannya.
“Saya juga menggunakan elemen emosi untuk membuat pengunjung rasa terkesan dan prihatin akan isu pasir yang sedang melanda ini,” jelas beliau.
Kini, Cik Syuhrah yang merancang untuk melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang reka bentuk dalaman berharap projek ini dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang ramai akan kepentingan masalah tersebut.


