Lapangan Terbang Changi bakal menyaksikan satu lagi fasa transformasi besar dengan pengumuman kerja naik taraf utama bagi Terminal 3 (T3) untuk meningkatkan tampungannya dalam mengendali penumpang.

Ini dilakukan sedang pelaburan terus dibuat untuk mempersiap lapangan terbang itu bagi pertumbuhan masa depan, walaupun di tengah-tengah gangguan yang berlaku.

Langkah itu diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, semasa berucap di majlis Anugerah Syarikat Penerbangan Changi yang diadakan di Hotel Shangri-La pada 29 April.

Menurutnya, tender bagi projek naik taraf T3 itu akan dibuka pada separuh kedua 2026.

Ia mungkin kerja peningkatan lapangan terbang utama yang terakhir sebelum Terminal 5 (T5) – dibuka secara berperingkat mulai pertengahan 2030-an.

Pada 2024, Changi Airport Group (CAG) telah mengumumkan pelaburan $3 bilion untuk menaik taraf Terminal 1 hingga 4 sebagai sebahagian usaha memastikan hab penerbangan Singapura kekal berdaya saing.

Sebahagian besar pelaburan itu akan diperuntuk bagi pembaharuan sistem dan peralatan utama seperti Skytrain yang menghubungkan Terminal 1, 2 dan 3.

Terminal 3 mula beroperasi pada 2008 dan belum menjalani sebarang kerja peningkatan utama sejak dibuka.

“Matlamat utama peningkatan ini adalah untuk mempertingkat kapasiti daya pemprosesan penumpang, terutama semasa waktu sibuk.

“Ini kerana kita tahu bahawa antara sekarang dengan T5, trafik penumpang akan terus meningkat.

“Kami mahu memastikan penumpang Changi terus menikmati tahap keselesaan dan perkhidmatan sama seperti yang biasa mereka alami,” kata Encik Siow, yang juga Menteri Negara Kanan (Kewangan).

Selain mempertingkat kapasiti kendalian penumpang, kerja peningkatan T3 itu akan menyepadukan lebih banyak penggunaan teknologi digital dan robotik bagi khidmat daftar masuk layan diri, pemeriksaan keselamatan, bahkan, pembersihan tandas.

Encik Siow berkata beberapa huraian itu akan berfungsi sebagai landasan ujian untuk dilaksanakan secara lebih meluas apabila T5 beroperasi.

Secara berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CAG, Encik Yam Kum Weng, dalam ucapannya berkongsi butiran lanjut mengenai kerja peningkatan T3.

Ia termasuk peningkatan kepada sistem kendalian bagasi yang akan meningkatkan kapasiti penyimpanan beg awal sebanyak 65 peratus, dan tambahan pintu bas daripada tiga kepada tujuh supaya penumpang dapat dibawa dari pintu tersebut ke tempat letak pesawat yang jauh dengan lebih lancar.

Secara keseluruhan, Lapangan Terbang Changi mengendalikan 70.4 juta penumpang dalam tempoh 12 bulan lalu – satu rekod baru, dan jauh lebih tinggi daripada kapasiti 10 juta penumpang setahun apabila lapangan terbang itu kali pertama beroperasi pada 1981.

Pada masa sama, Encik Siow berkata Changi sedang mengembangkan sektor kargo udaranya, termasuk dengan menarik lebih banyak rakan pengangkutan udara untuk menyertai pemain sedia ada seperti DHL, FedEx, UPS dan SF Group.

“Ini akan membantu Singapura memainkan peranan lebih besar dalam laluan pengangkutan barangan utama, seperti antara Australia dengan Asia,” kata Encik Siow.

Singapura merupakan hab kargo udara kesembilan tersibuk di dunia.

Bagi suku pertama 2026, lebih setengah juta tan kargo udara dikendalikan di Changi, mencatat pertumbuhan hampir 8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun sektor penerbangan berdepan cabaran ekoran konflik yang berterusan di Timur Tengah, Lapangan Terbang Changi menunjukkan daya tahan yang tinggi.

Daripada mengurangkan operasi, Encik Siow berkata pihak lapangan terbang telah bekerjasama dengan rakan syarikat penerbangan untuk melancarkan lebih 90 penerbangan alternatif pada Mac ke destinasi seperti Eropah dan Australia.

Ini bukan sahaja membantu syarikat penerbangan mengurangkan impak gangguan, malah memberi lebih banyak pilihan destinasi kepada penumpang serta mengoptimumkan kapasiti lapangan terbang, tambah beliau.

“Singapura sedang melakukan pelaburan ini sekarang sebagai persediaan demi masa depan kita bersama. Inilah semangat Anugerah Syarikat Penerbangan Changi – satu komitmen terhadap apa yang kita bina bersama.

“Selagi kita mempunyai rakan kongsi yang berani menggapai impian bersama kami, Changi akan dapat terus melampaui pencapaian sendiri, tahun demi tahun,” kata Encik Siow.