T4 dibuka semula 13 Sep sedang permintaan perjalanan bertambah
T4 dibuka semula 13 Sep sedang permintaan perjalanan bertambah
Tambahan kapasiti Lapangan Terbang Changi mampu beri khidmat kepada 16j penumpang setahun
TERMINAL 4 (T4) di Lapangan Terbang Changi akan dibuka semula pada 13 September selepas ditutup lebih dua tahun akibat pandemik Covid-19 selepas permintaan bagi perjalanan bertambah.
Kumpulan Changi Airport (CAG) semalam berkata pembukaan semula T4 akan menambah kapasiti lapangan terbang itu, dengan terminal tersebut mampu memberi khidmat kepada sekitar 16 juta penumpang setahun.
"Sepanjang dua bulan mendatang, CAG akan menjalankan pelbagai ujian persediaan operasi dengan syarikat penerbangan dan rakan lapangan terbang bagi memastikan operasi yang dimulakan semula berjalan lancar di T4," kata pengendali lapangan terbang itu.
Ia menambah bahawa 16 syarikat penerbangan akan dipindahkan ke T4 secara bertahap.
Cathay Pacific dan Korean Air akan mula operasi penerbangan mereka di T4 pada 13 September, disusuli AirAsia Group pada 15 September.
Cebu Pacific, Juneyao Air, Jeju Air, Bamboo Airways dan HK Express akan mulakan operasi di sana pada 20 September.
Syarikat penerbangan lain, seperti Vietnam Airlines, VietJet Air dan Thai VietJet Air, akan berpindah ke T4 pada 22 September, sementara Jetstar Group pada 25 Oktober.
Naib Presiden Eksekutif pengurusan lapangan terbang CAG, Encik Tan Lye Teck, berkata:
"Pembukaan semula T4 akan menawarkan Lapangan Terbang Changi dengan kapasiti yang amat diperlukan bagi membolehkan rakan syarikat penerbangan terus berkembang dan turut serta dengan gelombang perjalanan yang kian pulih, serta menyokong keperluan perniagaan dan operasi mereka.
"Sedang kami bersiap sedia menawarkan khidmat kepada lebih ramai penumpang semasa musim cuti hujung tahun, kadar tinggi automasi di T4 akan membantu kami mengharungi cabaran pasaran buruh ketat.
"CAG akan bekerja rapat dengan syarikat penerbangan kami dan rakan lapangan terbang dalam percubaan dan ujian sistem sepanjang dua bulan mendatang bagi memastikan semua sumber siap sedia bagi perkhidmatan penumpang lancar.
"Kami menantikan ketibaan penumpang sekali lagi ke T4."
Perjalanan syarikat penerbangan di serata dunia kembali dengan lebih rancak daripada yang dijangka sedang sekatan perjalanan akibat Covid-19 dilonggarkan.
Singapura telah menetapkan sasaran bagi trafik penumpang mencecah 50 peratus tahap prapandemik menjelang 2022.
Pada Mei, sebulan selepas Singapura membenarkan perjalanan ranpa kuarantin bagi pelancong yang divaksinasi, trafik penumpang melonjak 40 peratus paras pandemik Covid-19 melanda.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menjangka empat hingga enam juta pelawat di Singapura tahun ini.
Singapura menarik pelawat seramai 1.5 juta pada enam bulan pertama tahun ini, hampir 12 kali lebih ramai daripada bilangan yang tiba dalam tempoh sama tahun lalu.
Dengan pembukaan semula T4 pada September, kesemua empat terminal Changi akan kembali beroperasi semula.

