Topic followed successfully
Go to BHkuSubsidi hingga 70% bagi ujian genetik barah buah dada, rahim keturunan
Subsidi hingga 70% bagi ujian genetik barah buah dada, rahim keturunan
Subsidi hingga 70% bagi ujian genetik barah buah dada, rahim keturunan
Pemerintah akan meneruskan subsidi ujian genetik bagi Barah Buah Dada dan Rahim Keturunan (HBOC) mulai Disember 2026.
Warga dan penduduk tetap Singapura yang layak akan menerima subsidi sehingga 70 peratus, bergantung pada kemampuan mereka.
Warga emas daripada Generasi Perintis dan Generasi Merdeka juga layak menerima subsidi tambahan.
Individu juga boleh memanfaatkan had MediSave yang ditingkatkan bagi Pencegahan dan Penjagaan Penyakit Kronik untuk mengimbangi lagi kos ujian genetik selepas subsidi.
Pesakit yang berumur 60 tahun ke atas juga boleh menggunakan Flexi-MediSave untuk menampung sepenuhnya kos yang perlu dibiayai sendiri.
Seorang daripada 150 warga Singapura membawa mutasi gen berkaitan HBOC, yang meningkatkan risiko mereka menghidap barah buah dada dan rahim secara ketara.
Ini adalah keadaan berkaitan baka, bermakna ia boleh diwarisi dalam keluarga.
Wanita dengan varian gen berkaitan HBOC menghadapi risiko seumur hidup sehingga sekitar 60 peratus bagi barah buah dada, dan sehingga sekitar 50 peratus bagi barah rahim.
Ini berbeza dengan risiko sehingga 13 peratus (bagi barah buah dada); dan sehingga 2 peratus (bagi barah rahim); dalam kalangan penduduk wanita secara umum, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya pada 5 Mac berkata wanita yang mempunyai varian gen berkaitan HBOC akan diberi kaunseling genetik sebelum dan selepas ujian.
“Jika mereka disahkan positif, kami juga akan menawarkan ujian tersebut kepada ahli keluarga terdekat mereka.
“Kami menjangkakan lebih 2,000 individu layak menjalani ujian tersebut setiap tahun,” kata Encik Ong.
Pada masa ini, apabila seorang wanita dikenal pasti mempunyai mutasi keturunan dalam gen berkaitan HBOC melalui ujian genetik, individu itu disyorkan menjalani mamogram secara lebih kerap bagi mereka yang berisiko menghidap barah buah dada keturunan atau langkah pengurangan risiko lain seperti pembedahan yang mengurangkan risiko.
Doktor juga akan mengusulkan agar ahli keluarga turut menjalani ujian genetik yang sama supaya mereka juga mendapat campur tangan awal jika didapati positif.
Memandangkan campur tangan pencegahan bagi individu berisiko tinggi dilihat semakin diperlukan dari segi perubatan bagi mencegah rawatan lebih intensif, perlindungan pembiayaan untuk pembedahan yang mengurangkan risiko juga akan diperkukuh.
“Kami akan melanjutkan MediShield Hayat dan MediSave untuk meliputi pembedahan pencegahan bagi HBOC pada akhir tahun (2026) ini. Saya harus menambah bahawa pembinaan semula buah dada juga dilindungi, tidak berbeza dengan hari ini.
“Ini akan lebih menyokong wanita dalam memanfaatkan kemajuan dalam genomik untuk menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik,” jelas Encik Ong.

