Singapura dan Vietnam akan mempertingkatkan pertukaran dan latihan antara pegawai pemerintah kedua-dua negara, serta memperluas kerjasama teknologi.

Perkara itu dirasmikan di luar acara Dialog Strategik Singapura-Vietnam yang pertama pada 25 Ogos, apabila kedua-dua negara menandatangani perjanjian mengenai lawatan kajian untuk pegawai kanan Vietnam dan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai strategi ketersambungan teknologi.

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, mempengerusikan bersama dialog itu dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Encik Tran Cam Tu. 

Encik Chan berkata forum peringkat tinggi baharu itu membuktikan keutuhan hubungan dua hala yang kukuh membolehkan kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu merancang masa depan bersama.

Berucap kepada peserta dialog itu di Hotel Conrad Singapore Marina Bay, Encik Chan berkata Singapura dan Vietnam berkongsi persahabatan erat dan lama kerana generasi pemimpin yang silih berganti telah melabur dalam mengukuhkan hubungan dan membina kepercayaan bersama.

Kedua-dua pihak mahu generasi pemimpin akan datang turut membina hubungan, dan wadah baharu itu merupakan ruang untuk mereka bertukar pandangan tentang cabaran yang muncul serta mengenal pasti bidang yang boleh mereka usahakan bersama, tambahnya.

“Banyak peluang yang kita bincangkan hari ini akan mengambil masa untuk direalisasikan,” kata Encik Chan.

“Para pemimpin di dalam bilik ini, serta mereka yang mengikut jejak kita nanti, perlu terus bekerjasama.”

Dialog strategik itu ditubuhkan semasa lawatan negara oleh Presiden Vietnam, Encik To Lam, ke Singapura pada Mei, dan menyusul selepas kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik pada 2025 kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP). 

CSP itu ialah pakatan meluas untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan, serta bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.

Ia juga merupakan perjanjian pertama Singapura dengan sebuah negara Asean. 

Encik Tu, yang merupakan ahli tetap Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV), berkata dialog itu adalah yang pertama bagi Vietnam dengan rakan asing, dan mencerminkan tahap kepercayaan politik yang semakin mendalam serta kepentingan hubungan antara kedua-dua negara.

Semasa berucap, Encik Chan menambah, kecekapan, mutu dan kewibawaan pemerintah akan menjadi pembeza utama yang memisahkan negara berjaya dengan yang lain.

Ini kerana negara kini beroperasi dalam persekitaran yang lebih kompleks.

Banyak faktor yang pernah membantu ekonomi mereka berkembang kini semakin lemah, manakala sempadan antara dasar ekonomi, dasar teknologi dan keselamatan negara semakin kabur.

Menurut Encik Chan, masyarakat juga semakin mempunyai pelbagai aspirasi.

Sementara itu, kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain membawa peluang besar, tetapi turut mencetuskan risiko dan jurang baharu.

Pendekatan Singapura adalah untuk melabur dalam kepimpinan sebagai satu keupayaan strategik negara, serta memberi penekanan besar dalam mengenal pasti dan membangunkan pemimpin yang mempunyai integriti, pertimbangan dan naluri untuk mengutamakan kepentingan jangka panjang negara, tambahnya.