Singapura dan New Zealand berjanji pada 4 Mei untuk memastikan aliran barangan penting – seperti makanan, bahan api, dan bekalan kritikal lain – tidak terhenti, meskipun di ambang krisis.

Kesepakatan itu dimeterai melalui perjanjian yang mengikat di sisi undang-undang.

Kedua-dua perdana menteri menyaksikan penandatanganan perjanjian tersebut, sambil mengukuhkan komitmen bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan, keselamatan, penjagaan kesihatan, dan bekalan makanan.

“Kami tidak akan menutup pintu antara satu sama lain. Sebaliknya, kami akan berusaha aktif agar perdagangan terus bergerak,” ujar Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari New Zealand, Encik Christopher Luxon, yang sedang mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Singapura.

“Ini adalah perjanjian sulung seumpamanya bagi kedua-dua negara – dan juga di peringkat sejagat.

“Ia menandakan satu lagi kejayaan baru, menghantar isyarat yang jelas: Walaupun tertekan, rakan kongsi yang boleh dipercayai akan kekal setia.”

Perjanjian Perdagangan Bekalan Penting itu merangkumi perdagangan makanan, bahan api, penjagaan kesihatan, produk kimia, dan produk pembinaan ketika berlakunya krisis dan gangguan rantaian bekalan.

Dalam bidang itu, kedua-dua negara berikrar untuk tidak mengenakan sekatan eksport.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata langkah tersebut bertujuan menyuntik keyakinan dan kestabilan yang lebih besar kepada perniagaan serta pengguna di kedua-dua pihak saat rantaian bekalan terganggu.

Ia turut membentuk rangka kerja bagi kedua-dua negara mempermudah pergerakan barangan, berkongsi maklumat, dan melibatkan diri dalam perundingan, sama ada sebelum atau semasa gangguan rantaian bekalan, tambah kementerian itu.

Encik Wong menekankan bahawa dalam saat sukar, negara-negara cenderung mementingkan diri sendiri. Tindakan sedemikian akan menjejas rantaian bekalan.

“Ini adalah komitmen kami untuk bertindak secara berbeza – kami akan mengekalkan pasaran yang terbuka, memastikan barangan penting terus mengalir, dan saling menyokong, terutama pada saat paling diperlukan,” kata beliau.

New Zealand memperoleh sekitar satu pertiga daripada keperluan bahan bakarnya, termasuk diesel yang kritikal untuk pengangkutan barangan, pertanian, dan pengeluaran makanan, dari kilang penapisan Singapura.

Sementara itu, New Zealand membekalkan kira-kira 14 peratus daripada import makanan Singapura, berdasarkan Kementerian Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand.

Produk tenusu adalah eksport utama New Zealand ke Singapura, menyumbang kira-kira 31.6 peratus daripada jumlah eksportnya.

Antara eksport makanan utama lain termasuk buah-buahan dan kacang, lemak dan minyak, serta daging dan produk sampingannya.

Kedua-dua perdana menteri turut mengalu-alukan minat negara lain untuk mewujudkan perjanjian serupa.