Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura luaskan had pelepasan bagi penyaman udara, penyejukan komersial
S’pura luaskan had pelepasan bagi penyaman udara, penyejukan komersial
S’pura luaskan had pelepasan bagi penyaman udara, penyejukan komersial
Singapura akan meluaskan had pelepasan bagi peralatan penyaman udara dan penyejukan, meliputi sistem komersial berskala besar dan pendingin hawa kenderaan, dalam tempoh dua tahun akan datang.
Dalam kenyataan 28 Mei, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengumumkan bahawa larangan ke atas peralatan baharu seperti ini yang mengeluarkan gas rumah hijau tinggi, penting untuk mencapai matlamat iklim negara menjelang 2030.
Secara tradisional, alat penyejukan dan pendingin hawa menggunakan gas hidrofluorokarbon (HFC) yang kesannya beratus-ratus hingga ribuan kali ganda lebih kuat daripada karbon dioksida dalam menyumbang kepada pemanasan global.
Mulai Julai 2027, peti sejuk komersial berpusat baharu di pasar raya diwajibkan menggunakan penyejuk mesra alam dengan had Potensi Pemanasan Global (GWP) 150, suatu piawaian yang selari dengan Eropah dan Jepun.
Ini bermaksud, bagi tempoh lebih satu abad, sistem ini boleh menyumbang kepada pemanasan global pada kadar hanya sehingga 150 kali lebih tinggi berbanding karbon dioksida.
Had GWP 150 yang sama akan berkuat kuasa bagi pendingin hawa kereta penumpang baharu dan kenderaan barangan ringan mulai Julai 2028.
NEA berkata: “Tarikh mula yang lebih lewat ini memberi pembekal kenderaan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri, kerana sesetengah model yang menggunakan penyejuk GWP rendah masih belum tersedia secara meluas.
“Had GWP diselaraskan dengan piawaian yang telah diguna pakai di pasaran seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun di mana sudah tersedia alternatif GWP rendah.”
Langkah baharu ini menyusuli had GWP yang diperkenalkan pada 2022 bagi pendingin hawa domestik, peti sejuk, dan sistem penyejukan menggunakan air untuk mendinginkan bangunan besar.
Agensi tersebut menekankan bahawa had ini hanya terpakai pada peralatan baharu, membenarkan perniagaan untuk terus menggunakan sistem sedia ada bagi meminimumkan gangguan.
Bermula Julai 2027, lebih banyak syarikat yang menanggalkan peralatan penyejukan dan penghawa dingin dikehendaki mendaftar dengan NEA dan mematuhi amalan pembuangan yang ditetapkan.
Ini termasuk firma yang menguruskan sistem penyejukan komersial berpusat seperti yang digunakan untuk pasar raya dan bilik sejuk industri, penyedia alat hawa dingin untuk kereta dan kenderaan barang ringan, serta trak sejuk beku.
