SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura lancar program $37.9j bantu penuaan sihat dengan teknologi

S’pura lancar program $37.9j bantu penuaan sihat dengan teknologi

Mar 29, 2026 | 1:53 PM

S’pura lancar program $37.9j bantu penuaan sihat dengan teknologi

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, melawat reruai pameran semasa Hari Tulang dan Otot (Muskuloskeletal) NHG Health di Hospital Woodlands pada 28 Mac.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, melawat reruai pameran semasa Hari Tulang dan Otot (Muskuloskeletal) NHG Health di Hospital Woodlands pada 28 Mac. - Foto ST

Alat kecerdasan buatan (AI) yang boleh meramal risiko patah tulang dalam beberapa saat serta alat deria yang boleh dipakai untuk menilai risiko jatuh adalah antara huraian yang sedang dibangunkan menerusi program baru bernilai $37.9 juta yang bertujuan menyokong penuaan sihat rakyat Singapura melalui teknologi.

Kesihatan sistem muskuloskeletal atau tulang dan otot serta daya bergerak adalah antara tiga bidang tumpuan di bawah program Teknologi Kesihatan Masa Hadapan 2 (FHT2) itu.

Selain menilai risiko jatuh yang boleh menyebabkan tulang patah, projek tersebut turut menggunakan organoid tulang, iaitu kultur tisu yang dihasilkan daripada sel tunjang di makmal, untuk meramalkan tindak balas pesakit terhadap ubat.

Ini membantu doktor meningkatkan strategi pencegahan bagi individu berisiko lebih tinggi.

Ketua Eksekutif Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik John Lim, berkata keadaan tulang dan otot sering dilepas pandang walaupun menjadi punca utama keadaan kurang upaya sedunia, menjejas lebih 1.7 bilion orang.

“Penyelidikan dan inovasi penting untuk memperkukuh pemahaman kita tentang kesihatan tulang dan otot,” katanya semasa pelancaran program pada 28 Mac.

Beliau menambah FHT2 bertujuan menerapkan hasil penyelidikan AI dan robotik dalam kesihatan tulang dan otot, kesejahteraan mental dan pemulihan ke dalam amalan klinikal menjelang 2030, sambil memberi tumpuan kepada pengesanan awal, pencegahan dan pemulihan dalam masyarakat.

Program ini diusahakan oleh Pusat Singapore-ETH, yang merupakan hasil kerjasama antara NRF dan Universiti Switzerland, ETH Zurich.

Bidang tumpuan kedua ialah kesejahteraan mental dan kesihatan kognitif, termasuk pembangunan platform yang menggabungkan model bahasa besar atau large language model (LLM) sains tingkah laku dan data dunia sebenar untuk menghasilkan huraian khusus bagi menangani kebimbangan, kemurungan dan tekanan dalam kalangan belia.

Bidang tumpuan ketiga ialah pemulihan, termasuk penggunaan teknologi untuk pemulihan anggota tubuh bahagian atas selepas seseorang diserang angin ahmar.

FHT2 ialah fasa kedua usaha Teknologi Kesihatan Masa Hadapan (FHT).

Fasa pertama, yang berlangsung dari 2020 hingga Mac, menghasilkan inovasi seperti alat saringan awal demensia dan aplikasi ‘chatbot’ untuk membimbing gaya hidup sihat.

NRF melabur $30.5 juta dalam program tersebut, manakala ETH Zurich, NHG Health dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menyumbang selebihnya.

Penolong Profesor Bryan Tan yang juga pengarah bersama program FHT2, berkata fasa kedua bertujuan mempercepatkan pelaksanaan klinikal supaya pesakit dapat meraih manfaat secara langsung daripada teknologi baru.

FHT2 dilancarkan di Hospital Woodlands sempena Hari Tulang dan Otot 2026 anjuran NHG Health.

Di acara itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung menekankan usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan dalam masyarakat di Woodlands, termasuk peningkatan di 11 reruai khidmat kesihatan di pusat penuaan aktif.

Perkhidmatan tersebut, antara lain menyokong pesakit kencing manis dan semput, serta mereka yang berisiko rendah selepas menjalani saringan kolonoskopi.

Jika berjaya, usaha ini akan diperluaskan ke kawasan lain di bawah NHG Health dan akhirnya ke rangkaian kesihatan lain, kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

“Matlamat kami adalah menjadikan gaya hidup sihat sebahagian daripada kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata kawasan utara seperti Yishun, Sembawang dan Woodlands mencatat kadar penyakit kronik lebih tinggi daripada purata nasional.

NHG Health turut memperkenalkan prototaip “pod kesihatan” yang menyediakan ruang perundingan dengan jururawat masyarakat serta kemudahan perundingan jarak jauh dengan pakar diet, ahli farmasi atau jururawat.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg