Usaha untuk meneroka potensi haba bumi sebagai sumber tenaga kini semakin rancak, dengan Singapura bakal menjalankan kajian kebolehlaksanaan menggunakan sistem tenaga geoterma di negara ini.

Langkah itu diambil dalam usaha Singapura meneroka pelbagai pilihan untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor tenaganya, seperti penggunaan hidrogen serta teknologi penangkapan karbon.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 28 April berkata mereka akan mengeluarkan Permohonan bagi Cadangan (RFP) untuk satu kajian menyeluruh bagi menilai sejauh manakah sistem tenaga geoterma sesuai dilaksanakan di Singapura.

Tenaga geoterma merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang menggunakan haba daripada teras bumi, yang dianggarkan berada sekitar 2,900 kilometer di bawah permukaan tanah.

Sistem tenaga geoterma lazimnya dibina di kawasan yang mempunyai suhu tinggi secara semula jadi, serta mempunyai akuifer dan formasi batuan yang telap air

Akuifer merujuk pada lapisan batuan, pasir, atau kerikil di bawah tanah yang mengandungi air dan boleh mengalirkan air tersebut.

Sistem seperti itu biasanya ditemui di kawasan aktif secara geologi seperti zon gunung berapi, menjadikan Singapura berkemungkinan besar tidak mempunyai sumber semula jadi sebegitu.

Namun, kemajuan teknologi geoterma sejagat baru-baru ini telah membuka peluang baru untuk memanfaatkan haba di bawah permukaan bumi bagi menjana kuasa, serta keperluan pemanasan dan penyejukan, ujar EMA.

Kajian kebolehlaksanaan itu akan menilai aspek teknikal, alam sekitar, dan komersial bagi pelaksanaan sistem geoterma generasi baru di Singapura.

Perunding yang dilantik akan ditugaskan untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan kajian lanjut, selain mencadangkan kerangka dasar bagi projek geoterma yang berpotensi dijalankan, tambah EMA.

Kajian itu merupakan kesinambungan kepada tinjauan geofizik tanpa penggalian di seluruh negara yang dijalankan atas usulan EMA pada 2024. 

Tinjauan tersebut bertujuan mengenal pasti kawasan di Singapura yang berkemungkinan mempunyai sumber tenaga geoterma.

Gabungan tinjauan serta kajian itu bertujuan memberi penilaian menyeluruh terhadap potensi tenaga geoterma di Singapura, jelas EMA.

“Ini akan memberi asas kepada pemerintah untuk memutuskan langkah seterusnya dalam usaha membangunkan sistem tenaga geoterma di Singapura,” tambah EMA.

Perunding bagi kajian kebolehlaksanaan itu dijangka dilantik pada 2026. 

Tempoh kajian pula akan bergantung kepada cadangan perunding serta skop dan tahap kerumitan kerja yang diperlukan.

Pihak yang berminat boleh mengemukakan cadangan mereka selewat-lewatnya pada 4 petang, 30 Jun, kata EMA.

Kajian telah dijalankan di Singapura sebelum ini untuk meneroka sumber serta potensi tenaga geoterma.

Pada Julai 2025, pasukan penyelidik melaporkan penemuan kedua suhu tinggi di kawasan bawah tanah Sembawang, yang menunjukkan potensi bagi penjanaan elektrik.

Sebelum ini, pada Mac 2023, pasukan penyelidik daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Tumcreate – platform penyelidikan pelbagai bidang di bawah Universiti Teknikal Munich – telah menemui suhu setinggi 70 darjah Celsius pada kedalaman 1.12 kilometer di kawasan Admiralty.

Selain Sembawang dan Admiralty, satu lagi kawasan panas yang dikenal pasti adalah di Pulau Tekong, di mana terdapat kolam air panas yang terletak di kawasan utara Unum.

Buat masa ini, Singapura bergantung kepada gas asli – sejenis bahan api fosil – bagi memenuhi sekitar 95 peratus daripada keperluan tenaga negara.

Bagi mencapai matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050, Singapura perlu mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor tenaganya, yang menyumbang sehingga sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelepasan negara.