SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura kaji piawaian keselamatan nuklear antarabangsa dalam 3 kajian

S’pura kaji piawaian keselamatan nuklear antarabangsa dalam 3 kajian

Idea bina loji nuklear ditolak; ikut rapat perkembangan teknologi nuklear canggih, reaktor modular kecil
Mar 26, 2026 | 2:33 PM

S’pura kaji piawaian keselamatan nuklear antarabangsa dalam 3 kajian

keselamatan nuklear, tenaga nuklear, Singapura
Kajian ini akan meneliti piawaian keselamatan yang digunakan oleh organisasi antarabangsa dan pengawal selia kebangsaan dalam tenaga nuklear. - Foto ST

Piawaian keselamatan reaktor nuklear antarabangsa akan menjadi fokus sebahagian kajian yang ditugaskan oleh pengawal selia nuklear Singapura.

Kajian itu bertujuan mempersiapkan negara menghadapi masa depan di rantau yang mungkin memiliki stesen janakuasa nuklear.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menawarkan tender bagi tiga kajian. Salah satunya akan meneliti piawaian keselamatan nuklear antarabangsa dan kebangsaan.

Ia merangkumi reka bentuk dan pengendalian reaktor yang selamat, sistem keselamatan, serta pencegahan kemalangan, kata NEA pada 26 Mac.

Walaupun belum memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear, Singapura sedang menilai kesesuaiannya dari pelbagai sudut.

Idea membina loji nuklear berskala besar telah ditolak, namun Singapura mengikuti rapat perkembangan teknologi nuklear canggih, seperti reaktor modular kecil.

Kajian kedua akan menumpukan pada piawaian alam sekitar dan kerangka kawal selia antarabangsa untuk kemudahan nuklear.

Kajian ketiga pula akan mengkaji aspek alam sekitar bagi kemungkinan penggunaan tenaga nuklear di Singapura dan rantau ini, dengan penekanan pada perlindungan kesihatan awam dan alam sekitar.

Gabungan kajian ini dan usaha membina bakat nuklear tempatan akan memastikan Singapura memiliki ilmu dan kepakaran teknikal untuk menilai potensi tenaga nuklear secara selamat.

Ia juga akan membolehkan Singapura menyertai perbincangan serantau dan membuat persiapan awal, tambah NEA.

Kajian NEA akan melengkapi usaha Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) untuk menilai keselamatan dan kesesuaian teknologi nuklear canggih.

Kededua agensi membentuk pasukan khas pada 2025.

Ini susulan ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang menekankan penumpuan lebih besar kepada pembangunan keupayaan tenaga nuklear.

EMA menilai kesesuaian teknologi nuklear canggih untuk menjana tenaga. Mereka telah melantik firma perunding, Mott MacDonald untuk mengkaji keselamatan dan kesesuaian teknologi seperti reaktor modular kecil.

Sementara itu, NEA, selaku pengawal selia keselamatan radiasi dan nuklear, menubuhkan pasukan khas untuk memperdalam kepakaran dalam keselamatan, sekuriti, dan perlindungan nuklear.

Singapura menimbang tenaga nuklear sebagai jalan untuk menjamin keselamatan tenaga dan kos yang munasabah, sambil mengekalkan iklim yang mesra.

Dengan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang terhad, tenaga nuklear berpotensi membantu mencapai sasaran sifar bersih dan mengukuhkan keselamatan tenaga negara.

Negara ini juga sedang membuat persediaan awal, termasuk melalui kerjasama antarabangsa dan pelaksanaan kajian.

Selain bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), NEA turut menjalinkan hubungan dengan badan pengawal selia di Finland, Perancis, Amerika Syarikat, dan negara-negara serantau.

NEA juga menubuhkan Panel Penasihat Keselamatan Nuklear, yang dipengerusikan oleh Profesor Laurence Williams, untuk memberikan nasihat bebas tentang keselamatan, sekuriti, dan perlindungan nuklear.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg