S’pura amat prihatin campur tangan AS di Venezuela
Singapura amat prihatin terhadap campur tangan Amerika Syarikat pada 3 Januari di Venezuela, kata Kementerian Luar Negeri (MFA) dalam satu kenyataan pada 4 Januari.
Kementerian itu menegaskan bahawa Singapura amat komited terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Perlembagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjaga kemerdekaan, kedaulatan, dan kewibawaan wilayah semua negara, terutama negara-negara kecil.
MFA berkata Singapura menggesa semua pihak supaya mengawal perasaan dan berharap agar situasi di Venezuela dapat diselesaikan secara aman mengikut undang-undang antarabangsa dan prinsip Perlembagaan PBB.
“Singapura sentiasa menentang sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa oleh mana-mana pihak, termasuk campur tangan ketenteraan asing di mana-mana negara,” katanya.
Tiada warganegara Singapura yang berdaftar secara elektronik dengan MFA di Venezuela, katanya, sambil menambah bahawa warganegara Singapura juga dinasihatkan menangguhkan semua perjalanan ke Venezuela.

