SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Sokongan, tekad ubah nasib bantu keluarga bangkit

Sokongan, tekad ubah nasib bantu keluarga bangkit

Dapat naik taraf hidup menerusi skim pemerintah sediakan insentif kewangan
Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Sokongan, tekad ubah nasib bantu keluarga bangkit

comlink+, insentif kewangan, naik taraf hidup, bantuan, sokongan
Encik Mohamad Saleh (kiri) dan isteri, Cik Sukmawati Sudra (tengah), bersama tiga anak mereka – Cik Emilia Mohamad (dua dari kiri), Mohamad Nur Satria Mohamad (dua dari kanan) dan Encik Mohamad Nur Arjuna Mohamad (kanan) – merupakan antara keluarga yang menerima sokongan di bawah inisiatif ComLink+. Encik Mohamad disertakan di bawah Pakej Kemajuan bagi Pekerjaan, di mana beliau menerima insentif kewangan untuk terus bekerja, sekali gus membantu meringankan lagi beban bagi keluarga seperti beliau. - Foto BM oleh KHALID BABA

Biar sakit mana pun tubuh badannya, Encik Mohamad Saleh akan bangkit dari tidur tepat pada 7 pagi setiap hari, untuk menjalankan tanggungjawab sebagai satu-satunya pencari nafkah keluarga.

Bapa tiga anak berusia 59 tahun itu tenang orangnya dan tidak banyak bercakap, namun tiada siapa sangka bahawa sekitar lima tahun lalu, tragedi telah menimpa hidupnya.

Tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada 2020, beliau dikhabarkan berita menghidap barah usus, mengakibatkan beliau perlu menjalani pembedahan dengan segera dan seterusnya kemoterapi.

Keadaan kesihatannya telah beransur pulih sejak itu, namun sehingga hari ini, Encik Mohamad masih terasa sakit dan kekejangan pada badannya.

Walaupun kadangkala rasa sakit itu hampir tidak tertahan, beliau tetap menguatkan semangatnya untuk terus bekerja demi mencari rezeki untuk isteri dan tiga anaknya.

“Dulu sebelum ada kanser… saya boleh kerja terus. Tetapi sekarang, sejak ada kanser, dah sini sakit, sana sakit, semua sakit,” kata beliau kepada wartawan Berita Minggu (BM) yang meluangkan sehari bersama keluarganya di flat sewa dua bilik mereka di kawasan Tiong Bahru baru-baru ini.

“Tetapi saya sebagai bapa perlu bekerjalah untuk tanggung mereka semua kerana mereka perlukan wang untuk sekolah, beli barang apa yang perlu semua.

“Kalau tak kerja, tak bolehlah,” tambahnya.

Pendapatan tidak cukup

Namun, dengan pendapatan bulanan sekitar $1,200, Encik Mohamad terpaksa berjimat cermat demi kelangsungan hidup keluarganya.

Begitu juga dengan keluarga Cik Siti (bukan nama sebenar) yang menghadapi tugas berat membesarkan sembilan anak di sebuah flat sewa, dengan bergantung pada pendapatan tunggal suaminya.

Bagi pasangan Cik Nur Habibah Ramlah Mohd Ishak dan Encik Muhammad Yazid Muhammad Amin pula, tahun-tahun awal perkahwinan mereka dibelenggu rintangan dengan masalah kewangan dan Encik Yazid tidak mempunyai pekerjaan yang stabil.

Kehidupan tiga keluarga ComLink+ ini mungkin penuh berliku dengan cabaran, namun masing-masing telah menunjukkan ketabahan dan keazaman untuk meningkatkan keadaan hidup, dibantu oleh skim pemerintah itu yang menyokong keluarga berpendapatan rendah, melalui insentif kewangan dan sokongan padu di bawah empat pakej kemajuan, agar mereka dapat meraih impian mereka.

Ini termasuk dalam mendapatkan dan kekal dalam pekerjaan stabil, memastikan anak-anak menghadiri prasekolah secara konsisten, menggalakkan simpanan bagi memiliki rumah sendiri, atau membantu melangsaikan hutang – semua dengan bimbingan erat pembimbing keluarga atau pekerja kes.

BM telah mewawancara tiga keluarga ComLink+ pada lewat 2025 dan awal 2026, namun sejak Februari 2026, beberapa peningkatan telah diumumkan kepada inisiatif pemerintah itu.

Terdapat sekitar 11,000 keluarga di bawah inisiatif ComLink+ hari ini.

PAPAR SEMANGAT DAYA TAHAN

Cik Sukmawati melambai-lambai mengucapkan selamat jalan kepada suaminya, Encik Mohamad, yang pergi ke kerja. Encik Mohamad bekerja sebagai petugas valet, membawa pulang sekitar $1,200 sebulan, yang dikira sebagai cukup makan bagi menampung kehidupan keluarganya yang tinggal di flat sewa.
Cik Sukmawati melambai-lambai mengucapkan selamat jalan kepada suaminya, Encik Mohamad, yang pergi ke kerja. Encik Mohamad bekerja sebagai petugas valet, membawa pulang sekitar $1,200 sebulan, yang dikira sebagai cukup makan bagi menampung kehidupan keluarganya yang tinggal di flat sewa. - Foto BM oleh KHALID BABA

Bagi Encik Mohamad – yang bekerja sebagai petugas valet – cabaran terbesarnya bukan hanya dalam soal kesihatannya, namun tanggungjawabnya terhadap tiga anaknya.

Ini terutamanya anak sulung beliau, Cik Emilia Mohamad, 30 tahun, yang kurang upaya dan mengalami kelewatan perkembangan global, atau global developmental delay (GDD).

Cik Emilia merupakan anak daripada hasil perkahwinan Encik Mohamad sebelum ini, tetapi dijaga dengan penuh kasih sayang oleh isterinya, Cik Sukmawati Sudra, 51 tahun, seperti ibu kandung.

Encik Mohamad dan Cik Sukmawati mempunyai dua anak lelaki daripada perkahwinan mereka – Mohamad Nur Arjuna Mohamad, 16 tahun, penuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central; dan Mohamad Nur Satria Mohamad, 14 tahun, pelajar di Sekolah NorthLight.

Cik Sukmawati membantu menyiapkan Cik Emilia sebelum beliau dihantar pusat penjagaan siang hari bagi orang kurang upaya. Cik Emilia mengalami kelewatan perkembangan global, atau ‘global developmental delay’ (GDD), dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian – tugas yang sebahagian besarnya dipikul Cik Sukmawati.
Cik Sukmawati membantu menyiapkan Cik Emilia sebelum beliau dihantar pusat penjagaan siang hari bagi orang kurang upaya. Cik Emilia mengalami kelewatan perkembangan global, atau ‘global developmental delay’ (GDD), dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian – tugas yang sebahagian besarnya dipikul Cik Sukmawati. - Foto BM oleh KHALID BABA
Encik Mohamad dan Cik Sukmawati membantu menyuapkan makanan untuk anak mereka, Cik Emilia. Cik Emilia mengalami kelewatan perkembangan global, atau ‘global developmental delay’ (GDD), dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian.
Encik Mohamad dan Cik Sukmawati membantu menyuapkan makanan untuk anak mereka, Cik Emilia. Cik Emilia mengalami kelewatan perkembangan global, atau ‘global developmental delay’ (GDD), dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian. - Foto BM oleh KHALID BABA
Cik Sukmawati menantikan kedatangan pengangkutan yang menghantar anaknya, Cik Emilia, ke pusat penjagaan siang hari bagi orang kurang upaya.Cik Emilia mengalami kelewatan perkembangan global, atau ‘global developmental delay (GDD)’, dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian.
Cik Sukmawati menantikan kedatangan pengangkutan yang menghantar anaknya, Cik Emilia, ke pusat penjagaan siang hari bagi orang kurang upaya.Cik Emilia mengalami kelewatan perkembangan global, atau ‘global developmental delay (GDD)’, dan memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian. - Foto BM oleh KHALID BABA

Jika Encik Mohamad bangun pada 7 pagi setiap hari, isterinya, Cik Sukmawati pula terjaga dua jam lebih awal – sekitar 5 pagi – untuk mengejutkan anak-anak dan membantu mereka bersiap sedia ke sekolah.

Cik Emilia, yang dihantar ke sebuah pusat jagaan siang hari bagi orang kurang upaya, memerlukan bantuan sepenuhnya untuk kegiatan harian seperti mandi, makan dan berpakaian – tugas yang sebahagian besarnya dipikul Cik Sukmawati.

Cik Sukmawati, warga Indonesia yang memegang Pas Lawatan Jangka Panjang (LTVP) dan telah menetap di sini selama 13 tahun, tidak bekerja.

“Waktu kali pertama saya lihat Emilia semasa beliau kecil dulu… saya kasihan dengan beliau.

“Walaupun beliau bukan anak saya sendiri, saya sayang sekali sama beliau.

“Saya dah anggap Emilia sebagai anak saya sendiri.

“Sekarang walaupun saya sudah punya anak sendiri, saya tetap sayang Emilia,” kata beliau.

Dengan gaji Encik Mohamad sekitar $1,200 sebulan, keluarga tersebut jarang makan di luar, dengan Cik Sukmawati sering masak di rumah.

Setiap kali ke pasar, Cik Sukmawati cukup berhemat dalam berbelanja.

Walaupun teringin memenuhi selera suami dan anak-anak, beliau akan sentiasa meneliti harga terlebih dahulu.

Jika harganya terlalu mahal, hasrat itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

Gaji yang dibawa pulang Encik Mohamad digunakan bagi membayar sewa rumah, bil dan keperluan lain, dengan beliau cuba menyimpan sekitar $200 setiap bulan.

Bantuan dapat ringankan beban

Keluarga tersebut menerima bantuan kewangan ComCare dan juga daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), selain daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi keperluan anak mereka, Cik Emilia.

Sebagai keluarga ComLink+, Encik Mohamad turut mendapat insentif kewangan tambahan di bawah Pakej Kemajuan bagi Pekerjaan – yang membantu meringankan lagi beban bagi keluarga seperti beliau.

Pakej tersebut menggalakkan anggota keluarga dewasa dalam keluarga ComLink+ untuk mendapatkan dan kekal dalam pekerjaan, dengan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dengan gaji sekurang-kurangnya $1,600 sebulan bagi membina kestabilan kewangan.

Sekiranya syarat itu dipenuhi, setiap mereka akan menerima tokokan kewangan antara $450 hingga $600 dalam gabungan wang tunai dan sumbangan CPF setiap suku tahun, sehingga $30,000 dalam jumlah pembayaran.

Semasa Belanjawan 2026 baru-baru ini, peningkatan diumumkan bagi ComLink+ dalam bentuk pembayaran baru dan lebih banyak insentif wang untuk pakej kemajuan bagi prasekolah dan pekerjaan, mulai suku ketiga 2026.

Ini termasuk bayaran perkongsian baru sebanyak $500 setiap suku tahun ($200 tunai dan $300 dalam CPF) kepada keluarga yang terus bekerjasama dengan pembimbing keluarga atau pekerja kes.

Sementara itu, pencapaian pertengahan akan diperkenalkan bagi kehadiran ke kelas prasekolah dan kestabilan pekerjaan, supaya lebih banyak keluarga layak menerima bayaran.

Bagi aspek pekerjaan, keluarga akan dinilai berdasarkan pendapatan isi rumah secara keseluruhan berbanding pendapatan individu.

Setiap isi rumah dengan pendapatan bulanan antara $1,000 hingga kurang daripada $2,000 akan menerima $500 setiap suku tahun ($200 wang tunai dan $300 dalam CPF).

Isi rumah dengan pendapatan sekurang-kurangnya $2,000 pula akan menerima $1,250 setiap suku tahun ($500 tunai dan $750 CPF).

Bagi aspek prasekolah pula, setiap anak yang mencatat kehadiran ke kelas prasekolah sekurang-kurangnya 75 peratus bagi setiap suku tahun, akan menerima $250, iaitu $100 wang tunai dan tokokan $150 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA).

Bagi kanak-kanak yang mencatat kehadiran ke kelas prasekolah sekurang-kurangnya 50 peratus tetapi kurang daripada 75 peratus akan menerima $150 berupa $60 wang tunai dan tokokan $90 ke dalam CDA bagi tempoh yang sama.

Jumlah maksimum bayaran yang boleh diterima oleh setiap keluarga di bawah semua pakej pula telah dinaikkan kepada $50,000.

Satria mengambil seragam sekolahnya yang digantung dari siling di ruang tamu rumahnya. Setiap hari, ibunya, Cik Sukmawati akan membantu menggosok dan kemudian menggantung semua seragam kerja dan sekolah suami dan anak-anaknya di siling ruang tamu mereka.
Satria mengambil seragam sekolahnya yang digantung dari siling di ruang tamu rumahnya. Setiap hari, ibunya, Cik Sukmawati akan membantu menggosok dan kemudian menggantung semua seragam kerja dan sekolah suami dan anak-anaknya di siling ruang tamu mereka. - Foto BM oleh KHALID BABA

Walaupun hidup serba sederhana, keluarga Encik Mohamad tetap rasa syukur dengan apa yang mereka nikmati hari ini dan tidak rasa kekurangan.

Anak-anak mereka, Arjuna dan Satria, masing-masing berharap dapat mengecapi kejayaan di masa hadapan supaya dapat membantu mempertingkat kehidupan keluarga mereka.

Tumpuan Encik Mohamad kini adalah pada keadaan kesihatannya supaya beliau dapat pulih sepenuhnya dan terus menggalas tanggungjawabnya sebagai pencari nafkah keluarga dengan baik.

“Kalau saya tak ada, macam mana dengan anak saya Emilia dan juga anak-anak yang lain?

“Isteri saya pula orang luar negara. Itu yang saya bimbangkan, tapi saya harap tak ada apa-apa yang berlaku pada saya,” ujar beliau.

TABAH HARUNGI CABARAN

Ibu sembilan cahaya mata, Cik Siti (bukan nama sebenar) pula, setiap harinya sibuk dengan menguruskan hal rumah tangga dan anak-anaknya di rumah sewa dua bilik mereka.

Anak-anaknya berusia antara tiga dengan 21 tahun – daripada peringkat prasekolah hingga ke politeknik.

Suami beliau, seorang pegawai keselamatan kanan, merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga dan melakukan kerja syif selama 12 jam dari malam hingga pagi.

Tanggungjawab Cik Siti, 40 tahun, sebagai seorang isteri dan ibu itu perlu dipikul sedang beliau turut menempuh cabaran kesihatan, iaitu barah buah dada di tahap tiga.

“Penyakit barah ini sukar diramal. Tetapi kami sekeluarga pernah duduk berbincang dan Alhamdulillah, suami dan anak-anak saya bersikap positif dan mereka selalu memberi galakan kepada saya apabila saya perlu pergi kemoterapi atau pemeriksaan kesihatan,” kata beliau.

Meski kerja syif selama 12 jam, suami Cik Siti turut menyingsing lengan dengan membantu menghantar anak-anak mereka yang lebih kecil ke sekolah setelah pulang dari kerja pada sebelah pagi.

Anak-anak yang lebih besar pula menolong melakukan kerja-kerja di rumah, dengan ibu bapa Cik Siti juga kadangkala datang ke rumah untuk tolong masak dan menjaga anak-anak, terutamanya jika terdapat kecemasan atau Cik Siti perlu ke hospital.

Namun, bukan Cik Siti seorang diri sahaja yang tidak sihat – seorang anaknya yang berusia 17 tahun menghidap penyakit lupus yang memerlukannya ubat-ubatan dan pemeriksaan setiap bulan.

Sementara itu, suaminya pula mengalami penyakit jantung dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan.

Dengan keadaan kesihatannya yang kurang baik itu, Cik Siti kadangkala menghadapi cabaran menghantar anak-anak kecilnya ke sekolah, terutamanya apabila beliau sakit.

Dua anak kecilnya yang kini di prasekolah dan tadika didaftarkan dalam Pakej Kemajuan bagi Prasekolah sejak Ogos 2024.

Di bawah pakej ini, keluarga yang mendaftarkan anak mereka di prasekolah akan menerima tokokan sebanyak $500 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA).

Seterusnya, mereka juga akan menerima tokokan $200 ke dalam CDA setiap suku tahun jika anak memenuhi syarat kehadiran sekurang-kurangnya 75 peratus di prasekolah.

“Pakej ini banyak membantu kerana tokokan wang yang diberikan itu boleh digunakan untuk keperluan budak-budak.

“Kita cuba pastikan kehadiran anak di prasekolah kekal pada 75 peratus tetapi ia tidak mudah, kerana ada masa saya tidak sihat. Ada masa juga anak pula tidak sihat. Jika kita berdua sama-sama sakit, memang susah nak hantar ke sekolah,” kata beliau.

Dengan beberapa ahli keluarga menghidapi penyakit yang berbeza, gaji suami Cik Siti yang sekitar $2,000 setiap bulan “kadang tak cukup”, lebih-lebih lagi jika ada antara mereka yang perlu ke jabatan kecemasan hospital.

Namun mujur, selain sokongan ComLink+, keluarganya menerima bantuan kewangan di bawah ComCare dan juga Muis. Keperluan perubatan dan rawatan beliau dan anaknya yang menghidapi lupus pula diliputi di bawah bantuan kewangan lain dan sokongan MediFund.

Sementara itu, kesemua anak-anaknya juga mendapat bantuan kewangan bagi pendidikan mereka.

Meskipun perjalanan hidup mereka tidak mudah, anak-anak Cik Siti yang lebih besar kesemuanya bertekad memberikan yang terbaik dalam akademik mereka.

Bahkan, salah seorang anaknya muncul sebagai pelajar terbaik bagi dua tahun berturut-turut di ITE dan akan melanjutkan pengajian ke politeknik.

“Saya dan suami tidak pernah beri tekanan kepada anak-anak (dalam pembelajaran). Saya hanya beritahu mereka untuk buat yang terbaik demi masa depan mereka sendiri.

“Ibu dan ayah cuma tumpang gembira sahaja. Alhamdulillah, anak-anak sendiri ambil serius pendidikan mereka,” kata beliau.

Walaupun keluarganya bercita-cita memiliki rumah sendiri pada satu hari nanti, Cik Siti berkata buat masa ini, tumpuannya adalah untuk mencapai tahap kesihatan yang lebih baik untuk diri sendiri dan juga anak serta suaminya.

Suaminya juga kini sedang mempertimbangkan mengambil kursus penyelia supaya dapat mempertingkatkan kemahiran dan meraih pendapatan yang lebih tinggi.

“Kalau boleh, kami tidak mahu tinggal di flat sewa terlalu lama. Rancangan (memiliki rumah sendiri) belum lagi, tetapi kami sedang fikirkannya.

“Tetapi sekarang kami lebih tertumpu pada kesihatan – pada pemulihan saya, pemulihan anak saya juga supaya lebih mudah bagi saya juga menjalani rawatan,” kata beliau.

TIDAK PUTUS ASA UNTUK TERUS MAJU

Cik Nur Habibah Ramlah Mohd Ishak (bertudung) dan suami, Encik Muhammad Yazid Muhammad Amin (tiada dalam gambar) berjaya mengharungi cabaran kehidupan dan bakal berpindah dari flat sewa ke flat BTO milik sendiri di Tengah pada 2027. Bersama Cik Habibah dalam gambar adalah tiga anaknya, (dari kiri) Muhammad Zidan; Nur Hannah; dan Muhammad Uwais.
Cik Nur Habibah Ramlah Mohd Ishak (bertudung) dan suami, Encik Muhammad Yazid Muhammad Amin (tiada dalam gambar) berjaya mengharungi cabaran kehidupan dan bakal berpindah dari flat sewa ke flat BTO milik sendiri di Tengah pada 2027. Bersama Cik Habibah dalam gambar adalah tiga anaknya, (dari kiri) Muhammad Zidan; Nur Hannah; dan Muhammad Uwais. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sekitar lapan tahun yang lalu, kehidupan Cik Nur Habibah Ramlah Mohd Ishak, 31 tahun, dan suami, Encik Muhammad Yazid Muhammad Amin, 41 tahun, bermula dalam keadaan yang sederhana.

Selepas kelahiran anak pertama mereka, mereka berpindah ke sebuah flat sewa dua bilik kerana menginginkan privasi dan ruang sendiri untuk membesarkan anak.

Pada waktu itu, keadaan kewangan mereka sangat terhad.

Encik Yazid melakukan apa sahaja kerja yang sedia ada, daripada penghantar makanan hingga ke pekerja di pasar dan pengawal sekolah pada hujung minggu.

Cik Habibah juga berusaha menambahkan pendapatan keluarga dengan melakukan kerja sambilan dan juga jualan secara langsung (live).

Pernah bajet harian mereka mencecah serendah $30 sehari, yang termasuk tambang pengangkutan dan makan harian untuk suaminya.

“Dulu, saya selalu masak di rumah, dan nak beli barang pun rasa ragu-ragu.

“Saya juga ada satu tabiat untuk selitkan dan sembunyikan duit sana sini di rumah. Jika terjumpa kembali duit itu, itu kirakan seperti bonus, ‘Oh! Ada duit!’,” ujar Cik Habibah.

Namun, keadaan kehidupan mereka kini berbeza.

Titik perubahan besar dalam hidup berlaku apabila Encik Yazid berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pegawai keselamatan, dan Cik Habibah pula memutuskan untuk mengambil kursus sijil lanjutan dalam pendidikan awal kanak-kanak secara dalam talian.

Walaupun terpaksa membahagikan masa antara pengajian, kerja rumah, dengan menjaga anak-anak, beliau berjaya menamatkan pengajiannya pada April 2025 dan mendapatkan pekerjaan sebagai guru penjagaan bayi.

Hari ini, pasangan itu – yang mempunyai tiga anak berusia tiga, lima dan tujuh tahun – membawa pulang gabungan gaji sekitar $5,500 sebulan, meringankan beban kewangan yang dialami.

Kedua-dua mereka disertakan dalam Pakej Kemajuan bagi Pekerjaan sejak Jun 2025, manakala anak mereka yang berusia tiga dan lima pula berada di bawah pakej bagi prasekolah.

“Alhamdulillah, sekarang kami dah tak perlu terfikir-fikir lagi bila nak beli pakaian atau makan luar.

“Hubungan keluarga kami juga lebih kukuh, kami sentiasa gembira kerana boleh lakukan banyak kegiatan di luar, boleh melancong dan sebagainya. Dah tak rasa stres sangat sebab tak perlu fikir soal duit lagi,” ujar Cik Habibah.

Bahkan, impian terbesar pasangan itu juga hampir menjadi kenyataan.

Mereka akan mengambil kunci dan bakal berpindah ke rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) empat bilik mereka di Tengah pada tahun depan.

“Tipu kalau saya katakan saya dan suami tak pernah rasa nak putus asa. Namun, saya dan suami sering mendengar keluhan dan kebimbangan satu sama lain.

“Kami juga bersyukur dengan apa yang kami ada dan hidup mengikut kemampuan. Tetapi kami juga tidak henti untuk terus memperbaiki hidup demi anak-anak,” kata beliau.

SEKILAS SOKONGAN DI BAWAH COMLINK+

Pakej Prasekolah

Sekarang:

  1. Tokokan $500 sekali sahaja ke CDA apabila anak didaftarkan ke prasekolah pada usia 3 tahun.
  2. Tokokan $200 ke CDA setiap suku tahun jika kadar kehadiran anak di prasekolah sekurang-kurangnya 75%.

Mulai suku ketiga 2026:

  1. Bayaran $150 setiap suku tahun bagi setiap anak ($60 tunai, $90 ke CDA) jika kadar kehadiran anak di prasekolah antara 50%-74%.
  2. Bayaran $250 setiap suku tahun ($100 tunai, $150 ke CDA) jika kadar kehadiran anak di prasekolah adalah 75% dan ke atas.

Pakej Pekerjaan

Sekarang:

  1. Bayaran $450-$550 setiap suku tahun bagi setiap dewasa bekerja dengan gaji kasar bulanan sekurang-kurangnya $1,600 (berdasarkan rekod CPF). Sehingga 2 dewasa setiap isi rumah boleh layak. Jika kedua-dua dewasa bekerja, setiap daripadanya terima tambahan $50 setiap suku tahun.

Mulai suku ketiga 2026:

  1. Bayaran $500 setiap suku tahun ($200 tunai, $300 ke CPF) bagi isi rumah dengan pendapatan kasar bulanan $1,000-$1,999.
  2. Bayaran $1,250 setiap suku tahun ($500 tunai, $750 ke CPF) bagi isi rumah dengan pendapatan kasar bulanan $2,000 atau lebih.

Pakej Langsaikan Hutang

  1. Padanan 1-ke-1 bagi pembayaran balik kepada pemiutang, untuk jumlah hutang sehingga $5,000 (iaitu, keluarga lunaskan hutang $2,500 kepada syarikat berlesen, manakala penderma akan padankan baki $2,500). Ini bantuan sekali sahaja.

Pakej Pemilikan Rumah

  1. Padanan 2-ke-1 – bagi setiap $1 caruman yang dibuat ke akaun CPF ahli keluarga secara sukarela, tokokan $2 akan dibuat ke Akaun Biasa CPF ahli keluarga yang sama.

Pembayaran Perkongsian

  1. Bayaran $500 setiap suku tahun ($200 tunai, $300 ke CPF), mulai suku ketiga 2026, bagi keluarga yang terus bekerjasama dengan pembimbing keluarga atau pekerja kes Pusat Perkhidmatan Keluarga ke arah mencapai matlamat mereka.

Program Perintis Sokongan Peningkatan Kemahiran ComLink+ 

  1. Insentif $500 setiap suku tahun, jika individu kembali menuntut sepenuh masa atau menjalani latihan vokasional.

Pendaftaran Healthier SG

  1. Penduduk ComLink+ berusia 25-39 yang layak boleh daftar dalam Healthier SG, dan nikmati manfaat seperti pelan kesihatan peribadi bersubsidi dan akses kepada ubat-ubatan terpilih untuk penyakit kronik di klinik Healthier SG pada harga setanding poliklinik.

Dulu sebelum ada kanser… saya boleh kerja terus. Tetapi sekarang, sejak ada kanser, dah sini sakit, sana sakit, semua sakit. Tetapi saya sebagai bapa perlu bekerjalah untuk tanggung mereka semua kerana mereka perlukan wang untuk sekolah, beli barang apa yang perlu semua.
Encik Mohamad Saleh.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg