Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan bagi atlet Team S’pore diperkukuh susulan pindaan akta

Khusus tingkat taraf industri sukan, perkukuh sukan orang kurang upaya; iktiraf secara rasmi sukan minda seperti catur dan e-sukan
Jan 14, 2026 | 6:47 PM
Sokongan sukan, Team S’pore, Parlimen, David Neo
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo. - Foto MDDI

Atlet Team Singapore boleh mengharapkan sokongan pendidikan dan kerjaya yang lebih menyeluruh bagi mencapai aspirasi sukan mereka.

Ini selepas Rang Undang-Undang Majlis Sukan Singapura (Pindaan) diluluskan di Parlimen pada 14 Januari selepas dua hari perbahasan.

Seramai 15 Anggota Parlimen (AP) berucap mengenai pindaan itu yang bertujuan meningkat taraf industri sukan dan memperkukuh sukan orang kurang upaya dan keterangkuman.

Ia juga meningkatkan saiz maksimum lembaga Majlis Sukan Singapura (SportSG) daripada 15 kepada 25 ahli, dan mengiktiraf secara rasmi sukan minda dan sukan elektronik atau e-sukan sebagai sukan.

Berucap di Parlimen pada 14 Januari, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, berkata pemerintah telah mencapai banyak kemajuan dalam membangunkan budaya sukan yang meriah di Singapura sejak lima dekad lalu.

“Kami telah meningkatkan penyertaan sukan buat rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat dengan ketara – daripada satu dalam dua hanya sedekad lalu, kepada tiga dalam empat pada hari ini.

“Kami berada pada landasan yang betul untuk mara ke peringkat selanjutnya dalam sukan di Singapura,” kata Encik Neo semasa menggulung ucapannya di Parlimen.

Beberapa AP termasuk Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee); Cik Gho Sze Kee (Mountbatten); Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang); dan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) bertanya tentang sokongan bagi peralihan atlet kepada kehidupan selepas bersukan.

Dalam responsnya, Encik Neo berkata SportSG menyediakan sokongan melalui pendidikan, peralihan kerjaya dan kewangan.

Ini termasuk sokongan melalui Biasiswa Sarjana Muda spexEducation yang dilancarkan pada 2025, inisiatif spexBusiness dan peningkatan elaun bulanan untuk spexScholars.

Encik Neo juga menjawab soalan daripada AP Parti Pekerja (WP) Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) yang bertanya tentang sokongan kepada bekas atlet negara.

“Kami menyokong peralihan atlet kami ke arah persaraan daripada kerjaya sukan kompetitif mereka dengan membantu mereka mencari pekerjaan yang baik.

“Atlet aktif dan bersara juga boleh memanfaatkan pelbagai program termasuk spexBusiness dan spexEducation yang telah kami tingkatkan baru-baru ini,” ujar Encik Neo.

Selain itu, beliau menambah bahawa pemerintah “akan melakukan lebih banyak lagi” untuk menyokong atlet secara menyeluruh untuk keperluan sukan dan luar sukan mereka.

Ini termasuk usaha pemerintah untuk memperluas keupayaan dalam sains sukan dan perubatan sukan, serta pengurusan kehidupan atlet.

“Itulah juga sebabnya kami meminda Rang Undang-Undang ini untuk membolehkan kami mengatur diri kami.

“Bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada atlet, kami menyatukan dan memperkemas kepakaran melalui penyatuan Institut Sukan Berprestasi Tinggi (HPSI) dan Sekolah Sukan Singapura (SSP) yang menjadi satu entiti.

“Melalui entiti ini, kami akan memperkukuhkan perkongsian kami dengan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem Sukan Berprestasi Tinggi (HPS),” jelas Encik Neo.

Semasa di Parlimen, beberapa AP turut berhujah tentang kepentingan mempunyai akses yang baik kepada kemudahan sukan dan cabaran yang dihadapi sesetengah penduduk dalam menempah gelanggang awam.

Dalam responsnya, Encik Neo berkata melalui Pelan Induk Kemudahan Sukan, rakyat Singapura boleh mengakses kemudahan sukan awam berhampiran tempat tinggal mereka.

Namun, beliau berkata pemerintah akan terus memperbaiki pelan induk itu.

“Peningkatan kira-kira 50 peratus dalam bilangan rakyat yang menyertai kegiatan sukan dan kecergasan setiap minggu sepanjang dekad lalu juga bermakna penduduk akan lebih sukar menempah gelanggang pada masa dan tempat yang mereka inginkan.

“Kami memahami perkara ini dan merancang meningkatkan penyediaan gelanggang. Kami akan berkongsi butiran lanjut pada masa hadapan,” kata Encik Neo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg