SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

SM Lee: Dasar awam S’pura manfaat sifat semula jadi manusia, bukan menentangnya

SM Lee: Dasar awam S’pura manfaat sifat semula jadi manusia, bukan menentangnya

Mar 31, 2026 | 8:49 PM

SM Lee: Dasar awam S’pura manfaat sifat semula jadi manusia, bukan menentangnya

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong. - Foto fail

Tanggungjawab asas bagi mana-mana pemerintah adalah untuk membangunkan dan mengekalkan ekonomi yang berfungsi dengan baik, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Menurut satu catatan Facebook pada 31 Mac, Encik Lee berkata teori-teori tentang cara melaksanakannya telah dikaji dengan mendalam.

Beliau membuat catatan tersebut ketika berkongsi mengenai esei beliau yang berjudul, ‘Mikroekonomi dalam Dasar Awam: Pandangan Seorang Pengamal’, susulan ucapannya di Persatuan Ekonomi Singapura (ESS) pada 2025.

Menerusi esei itu, Encik Lee membincangkan bagaimana dan mengapa pemerintah Singapura telah menerapkan prinsip ekonomi dan insentif pasaran secara sistematik merentasi pelbagai dasar awam, termasuk program Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan skim Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Encik Lee menambah pendekatan itu berfungsi selaras dengan sifat semula jadi manusia dan bukan untuk menentangnya.

“Semakin kita memahami dan memanfaatkan kuasa ekonomi yang hebat ini, bukan sahaja kita dapat mencapai matlamat ekonomi dengan lebih berkesan, malah matlamat sosial dan politik juga,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Encik Lee menambah pemerintah mendapati tiga aspek praktikal yang amat berguna.

Antaranya, menggunakan prinsip ekonomi dan kuasa pasaran apabila merangka dan melaksanakan dasar termasuk perumahan awam, penjagaan kesihatan, dan ganjaran bagi sektor awam.

Selain itu, beliau menambah bagi menetapkan harga apabila memperuntukkan sumber yang terhad seperti penetapan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan harga air serta menegaskan pemberian bantuan, tunai atau yang menyerupai tunai adalah lebih baik, katanya.

Beliau berkata: “Keputusan yang dicapai – dari segi pertumbuhan ekonomi, ekuiti, perpaduan sosial, dan mutu perkhidmatan awam – menunjukkan kaedah bagi meningkatkan taraf hidup rakyat kita ini membuahkan hasil.”

Dalam esei beliau, Encik Lee berkongsi lanjut mengenai bagaimana pemberian bantuan, tunai atau menyerupai tunai adalah lebih baik dan memberi contoh bagaimana rebat U-Save dapat membantu isi rumah menangani kenaikan harga air.

“Penerima bantuan boleh menggunakan wang tunai atau baucar untuk membeli apa yang benar-benar mereka hargai dan ingin gunakan, dan bukannya membiarkan keperluan serta hak mereka ditentukan bagi pihak mereka.

“Dengan cara ini, kita mengelakkan gangguan terhadap insentif ekonomi serta menghormati pilihan dan autonomi para penerima,” katanya.

Membandingkan antara tunai dengan yang menyerupai tunai, Encik Lee berkata secara teorinya, wang tunai ialah pilihan yang lebih unggul kerana ia memberikan fleksibiliti penuh kepada penerima untuk berbelanja mengikut keperluan utama mereka, sementara kosnya kepada pemerintah tidak melebihi kos baucar.

Walau demikian, Encik Lee berkata secara praktikal, bantuan menyerupai tunai, seperti baucar, lebih berkesan kerana ia mengekalkan kaitan psikologi dengan tujuan bantuan, terutamanya apabila penerima perlu bertindak secara sedar – seperti klik dalam aplikasi – untuk menggunakannya.

Selain itu, bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula, Encik Lee berkata, apabila ia diperkenalkan pada 1994 dengan kadar cukai rata, ia kemudian diiringi dengan Baucar GST untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Asalnya sebagai langkah sementara, skim itu kini menjadi bantuan tetap setiap kali kadar GST dinaikkan.

“Pendekatan alternatif ialah dengan melaksanakan pelbagai kadar GST, dengan kadar yang lebih rendah atau sifar bagi barangan dan perkhidmatan asas.

“Banyak negara yang mempunyai GST atau cukai tambah nilai telah melakukan perkara ini kerana dari segi politik, ia lebih mudah diterima.

“Namun, pendekatan ini lebih mahal dan kurang berkesan. Kebanyakan hasil cukai yang diketepikan itu tidak memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan rendah, kerana isi rumah berpendapatan tinggi berbelanja lebih banyak untuk barangan dan perkhidmatan ‘asas’ seperti makanan dan pakaian, dan justeru itu, merekalah yang sebenarnya paling mendapat manfaat daripada pengurangan cukai barangan tersebut.

“Hanya satu kadar cukai GST, yang digabungkan dengan pindahan tunai dan yang menyerupai tunai, adalah cara yang jauh lebih cekap dan berkesan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah,” ujarnya.

Encik Lee turut menyentuh bagaimana baucar CDC menjadi bentuk sokongan pemerintah yang sangat terkenal apabila permintaan daripada individu dan perniagaan untuk meluaskan penggunaan Baucar CDC ke bidang lain semakin banyak diterima.

Malah, ada yang meminta untuk menggantikannya dengan geran tunai, namun Encik Lee menjelaskan Singapura tidak berbuat demikian.

“Skop penggunaan sedia ada sudah cukup luas untuk isi rumah membelanjakan baucar tersebut bagi barangan yang memang akan mereka beli, sambil kekal fokus kepada barangan runcit dan keperluan harian bagi mengekalkan kaitan yang jelas dengan kos sara hidup mereka.

“Jika pemerintah mengagihkan wang tunai sebagai ganti, kaitan ini akan hilang,” kongsinya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg