Pemerintah Singapura dan Indonesia sedang bekerjasama untuk meneliti dakwaan pemerdagangan bayi dari Indonesia ke Singapura bagi tujuan pengambilan bayi sebagai anak angkat.
Pihak berkuasa juga sedang berhubung dengan ibu bapa angkat yang terjejas untuk menerangkan keadaan tersebut kepada mereka, menurut satu kenyataan bersama oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 9 Januari.
Media berita Indonesia sebelum ini melaporkan pada September 2025 bahawa pihak polis negara itu sedang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Singapura untuk menyiasat satu sindiket yang didakwa membawa bayi keluar dari Jawa Barat.
Menurut kenyataan pada 9 Januari itu, pihak polis Singapura dan MSF telah meminta polis Indonesia serta Kementerian Sosial Republik Indonesia atau Kemensos RI untuk berkongsi hasil siasatan mereka dan mengesahkan keadaan yang melibatkan kanak-kanak yang telah dibawa masuk ke Singapura bagi tujuan pengambilan sebagai anak angkat.
Kenyataan itu turut menyatakan pihak Pasukan Polis Singapura (SPF) telah membantu rakan sejawat mereka di Indonesia dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Akibat siasatan yang masih berlangsung, terdapat beberapa kelewatan dalam penilaian permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang terjejas, dan MSF bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah berhubung dengan ibu bapa angkat berkenaan.
MHA dan MSF menjelaskan, mereka menyedari keresahan yang dialami ibu bapa angkat itu menyusuli keadaan ini, dan sedang berusaha memastikan kes berkenaan ditangani secepat mungkin, di samping melindungi kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit.
Keluarga yang memerlukan bantuan kewangan dalam tempoh sementara ini boleh mendapatkan bantuan daripada pejabat perkhidmatan masyarakat, tambah kedua-dua kementerian itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg