SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Shanmugam: Kes Amos Yee singkap ‘hipokrasi besar’ media Barat

Shanmugam: Kes Amos Yee singkap ‘hipokrasi besar’ media Barat

S’pura miliki undang-undang jelas terhadap ucapan hina kaum, agama
Apr 6, 2026 | 6:09 PM

Shanmugam: Kes Amos Yee singkap ‘hipokrasi besar’ media Barat

Amos Yee, kebebasan bersuara, media Barat
Pelaku seks kanak-kanak Amos Yee dibebaskan selepas membayar jaminan pada 26 Mac. - Foto fail

Kes Amos Yee menyingkap “hipokrasi besar” di kalangan sebahagian media Barat dan segelintir rakyat Singapura yang menganggap diri mereka cendekiawan, ujar Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Ketika penulis blog remaja itu didakwa pada 2015 dan 2016 atas ucapan kebencian dan penerbitan imej lucah, media seperti The New Yorker serta aktivis hak asasi manusia menjulang beliau sebagai pemuda pintar yang teraniaya kerana berani bersuara.

Yee kemudian melarikan diri ke Amerika Syarikat dan mendapat suaka pada 2018.

Beberapa tahun kemudian, dia didakwa juri pendakwa raya kerana meminta dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, sebelum dihantar pulang ke Singapura.

“Saya ingin tahu apa yang The New Yorker akan katakan sekarang, dan adakah mereka merasa bertanggungjawab untuk mengakui kekhilafan,” kata Encik Shanmugam dalam podcast The Rishi Report yang disiarkan pada 6 April.

Ditanya oleh pengacara, Rishi Budhrani, tentang reaksinya, beliau menjawab: “Sejujurnya, saya harap Amerika menyimpannya.”

Beliau menambah, Amerika yang begitu lantang memperjuangkan kebebasan bersuara sepatutnya memelihara Yee setelah memberinya suaka.

Yee, kini berusia 27 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Changi pada 20 Mac dan menghadapi tiga pertuduhan, termasuk meninggalkan negara tanpa permit keluar yang sah.

Dia kini dibebaskan dengan jaminan, menanti perbicaraan bagi kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Negara.

Kes ini menyerlahkan bahawa Singapura memiliki undang-undang jelas terhadap ucapan menghina kaum atau agama, dan ia dikuatkuasakan secara adil.

“Mereka cuba memberi tafsiran subjektif dan menggambarkan tindakan pemerintah sebagai menindas dan merenggut kebebasan bersuara,” katanya.

“Kebebasan bersuara apa jika ia digunakan untuk melontarkan kata-kata kesat terhadap penganut Kristian dan Muslim?”

Singapura mengambil pendirian tegas terhadap ucapan kebencian demi mengelakkan perpecahan antara majoriti dan minoriti, yang boleh menjurus kepada hilangnya nilai kemanusiaan dan keganasan.

Beliau merujuk kes pensyarah politeknik yang dipenjara lima minggu dan didenda $6,000 pada 2022 kerana kenyataan bersifat perkauman.

Menurutnya, keputusan sedemikian mencerminkan nilai yang dipegang oleh masyarakat.

Rakyat Singapura menerima undang-undang yang tegas, termasuk penahanan tanpa bicara, selagi ia tidak disalahgunakan.

Dalam sedekad lalu, beliau telah mengeluarkan 62 waran tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk terhadap remaja seawal 14 tahun.

Tanpa tindakan, sebahagian mereka mungkin terjerumus dalam keganasan atau terbunuh di luar negara.

Melalui penahanan dan pemulihan, mereka dapat kembali bekerja dan menjalani kehidupan normal. “Kami sebenarnya menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Namun, beliau memberi amaran agar sikap leka dijauhi.

Walaupun Singapura selamat, sebagai hab pelancongan dan ekonomi terbuka, ancaman tetap berlingkar.

“Jangan sesekali leka. Soalnya bukan jika, tetapi bila,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg