Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sewakan flat dek ikut suami ke Timur Tengah

Harga sewa untuk flat HDB kian meningkat, dengan sewa bagi kediaman sedemikian naik untuk bulan ke-24 berturut-turut pada bulan lalu. BERITA HARIAN menemu bual beberapa pemilik dan penyewa tentang bagaimana mereka menangani kenaikan harga sewa. Kami juga mendapatkan pandangan beberapa ejen hartanah untuk memahami sebab kenaikan itu dan menawarkan panduan kepada mereka yang berhasrat menyewa flat HDB
Jul 16, 2022 | 5:30 AM
SEWAKAN RUMAH KETIKA DI LUAR NEGERI: Cik Intan Nazrahayu (dua dari kanan) dan keluarganya (dari kiri) anaknya Safiyya Aishah Anwar, suaminya Encik Anwar Mohamed dan seorang lagi anaknya Azrachel Anwar telah bermastautin di UAE sejak 2008. - Foto ihsan INTAN NAZRAHAYU
SEWAKAN RUMAH KETIKA DI LUAR NEGERI: Cik Intan Nazrahayu (dua dari kanan) dan keluarganya (dari kiri) anaknya Safiyya Aishah Anwar, suaminya Encik Anwar Mohamed dan seorang lagi anaknya Azrachel Anwar telah bermastautin di UAE sejak 2008. - Foto ihsan INTAN NAZRAHAYU -

MENYEWAKAN flatnya telah membantu beliau untuk membiayai kos ansuran rumahnya sedang beliau dan keluarga tinggal di luar negara.

Bagi Cik Intan Nazrahayu Mohd Nasir, 46 tahun, beliau mula menyewakan flat HDB lima biliknya di Anchorvale Lane sejak 2008 apabila beliau dan keluarga berpindah mengikut suaminya di luar negara.

Kini, beliau tinggal di Amiriah Arab Bersatu (UAE) bersama dua anak remajanya dan suaminya yang memiliki sebuah syarikat perundingan di sana.

Menurut Cik Intan, peluang menyewakan flatnya telah membantu beliau dan keluarganya untuk terus membiayai kos ansuran flat mereka serta mendapat pendapatan tambahan terutama sekali kerana beliau tidak bekerja sepenuh masa di UAE dan hanya melakukan pekerjaan bebas bila beliau berpeluang melakukannya.

Kini, ekoran harga sewa yang kian meningkat kebelakangan ini, Cik Intan berkata bahawa mereka mungkin akan menaikkan sedikit harga sewa flat tersebut sejajar dengan harga pasaran setelah kontrak dengan penyewa mereka tamat Februari tahun hadapan.

"Pada mulanya, kami sewakan flat kami pada harga $2,300 sebulan tetapi sejak dua tahun yang lalu, kami turunkan harga kepada harga $1,900 sahaja kerana ingin penyewa kami kekal," ujar beliau yang mempunyai penyewa kekal sejak lima tahun yang lalu.

Namun demikian, urusan menyewakan rumahnya semasa di luar negara bukanlah satu perkara yang mudah.

Justeru Cik Intan menasihatkan sesiapa yang ingin melakukan perkara itu supaya mendapatkan perkhidmatan ejen hartanah yang boleh membantu menjaga dan pemeriksaan flat itu dari masa ke masa. Ejen hartanah juga boleh mengekalkan hubungan baik antara pemilik dan penyewa.

"Kami pernah ada penyewa yang memusnahkan dapur dan peralatan kami sepenuhnya dan kerosakan itu berharga lebih daripada wang deposit yang mereka berikan.

"Selain daripada itu, saya amat gembira kerana program pemilikan flat HDB telah membolehkan kami menjana pendapatan sementara kami berada di luar negara dan juga menjaminkan kami mempunyai kediaman apabila kami kembali ke Singapura di masa hadapan," kata beliau.

Bagi seorang lagi pemilik rumah flat tiga bilik di Clementi yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Rahim, 45 tahun, pula serik mahu menyewakan flat beliau ekoran penyewanya yang tidak bertanggungjawab.

"Pada mulanya, saya fikirkan bahawa flat saya boleh memberikan pendapatan tambahan namun ia juga memberikan banyak masalah jika dapat penyewa yang tidak bertanggungjawab dan saya seringkali perlu berurusan dengan pelbagai aduan.

"Ia juga sangat menyakitkan hati apabila saya melihat rumah saya yang telah diubah suai dengan cantik musnah dalam masa beberapa bulan sahaja," kata beliau yang tinggal bersama ibunya yang sudah tua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg