Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua pusat urut bakal dikenakan pelesenan wajib
Semua pusat urut bakal dikenakan pelesenan wajib
Semua pusat urut bakal dikenakan pelesenan wajib
Pelesenan wajib akan dikenakan ke atas semua pusat urut, dengan pihak polis menamatkan penggunaan bilik, pemisah dan ruang khusus di pusat terbuka yang sepatutnya beroperasi dalam pandangan penuh orang awam.
Perubahan ini dibuat susulan ketidakpuasan hati orang ramai, dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) mencatat peningkatan kegiatan tidak bermoral serta pelanggaran syarat di pusat urut berkonsep terbuka.
Pusat urut berkonsep terbuka dikecualikan daripada pelesenan sejak 2018 tetapi perlu berdaftar dengan polis.
Namun, mulai separuh kedua 2026, semua pusat urut akan tertakluk kepada keperluan sama, menurut kenyataan polis.
Ini bermakna pusat urut berkonsep terbuka tidak lagi dikecualikan daripada pelesenan.
Semua pusat urut perlu mematuhi syarat lebih ketat serta mendapatkan kelulusan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebelum beroperasi.
Pusat urat berkonsep terbuka juga mesti mematuhi syarat termasuk keperluan untuk tidak mempunyai bilik, pemisah dan ruang khusus dalam kedai.
“Sejak pengecualian ini berkuat kuasa pada 2018, polis memerhatikan peningkatan berterusan ketidakpuasan awam akibat pertambahan pusat urut berkonsep terbuka serta gangguan sosial yang ditimbulkannya,” ujar SPF dalam satu kenyataan pada 21 April.
“Polis turut memerhatikan peningkatan kegiatan tidak bermoral serta pelanggaran syarat pengecualian di pusat urut konsep terbuka”.
Premis urut kini dikategorikan kepada tiga jenis lesen di bawah peraturan baru.
Kategori 1 merangkumi pusat berlesen di rumah kedai HDB, pusat beli-belah dan hotel, manakala Kategori 2 melibatkan pusat urut yang jauh dari kawasan kediaman, sekolah dan tempat ibadat.
Pusat urut berkonsep terbuka memerlukan lesen kategori 3.
SPF akan turut memperkenalkan tiga perubahan utama kepada Akta Pertubuhan Urut.
Pertama, pusat urut perlu memaparkan nombor lesen dan URL aduan di poster di hadapan kedai.
Kedua, tempoh lesen dilanjutkan dari tiga sehingga lima tahun bagi mengurangkan beban pentadbiran.
Pemegang lesen baru Kategori 1 dan 2 diberi lesen sementara selama setahun sebelum diberikan lesen lebih panjang berdasarkan rekod pematuhan.
Pusat Kategori 3 boleh menerima lesen tiga atau lima tahun, tertakluk kelulusan SPF.
Ketiga, piawaian pakaian seragam wajib diperkenalkan tanpa perlu kelulusan khas.
Tindakan akan diambil terhadap pusat yang melanggar peraturan ini.
Perubahan ini akan dilaksanakan selepas rundingan SPF dengan persatuan dan pengendali pusat urut.
Pengendali sedia ada diberi tempoh ihsan untuk memohon Lesen Kategori 3.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 21 April bahawa HDB akan bekerjasama dengan SPF untuk membanteras pusat urut yang ingkar.
Beliau berkata HDB berkuasa menamatkan kontrak penyewa ingkar di kedai sewanya dan akan mengkaji pengukuhan kawal selia serta tindakan terhadap kedai swasta.
“Pengendali ingkar tidak akan dibenarkan meneruskan aktiviti haram di kawasan kejiranan, sama ada di kedai sewaan atau milik sendiri; kami akan menyingkirkan mereka dan tidak membenarkan aktiviti ini merebak atau menjejaskan persekitaran hidup penduduk,” kata Encik Chee.
Seruan untuk semakan timbul selepas kebimbangan terhadap industri ini.
