Topic followed successfully
Go to BHkuSemangat Ramadan: Sukarelawan Muhammadiyah ceriakan golongan memerlukan
Semangat Ramadan: Sukarelawan Muhammadiyah ceriakan golongan memerlukan
Semangat Ramadan: Sukarelawan Muhammadiyah ceriakan golongan memerlukan
Bersepakat memberi sinar kepada golongan memerlukan, seramai 80 sukarelawan turun padang untuk menyediakan hamper pra-Syawal buat penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah.
Sukarelawan tersebut berkumpul pada 7 Mac lalu di Tadika Muhammadiyah di 66 Jalan Lapang bagi membantu membungkus sebanyak 650 hamper pra-Syawal yang merangkumi kuih Hari Raya dan barangan makanan lain.
Hamper tersebut bakal diberikan kepada penerima bantuan Muhammadiyah dalam acara agihan zakat, di mana mereka bakal menerima wang zakat dan hamper pra-Syawal pada 14 Mac ini.
Sukarelawan ini yang terdiri daripada sayap belia Muhammadiyah, Pemuda dan Beliawanis; masyarakat awam; dan buat julung-julung kalinya, sekumpulan guru dan pelajar Kelas Asas Bimbingan Agama (Kaba), madrasah hujung minggu kendalian Muhammadiyah, akan sama-sama menyinsing lengan untuk kerja murni ini.
Penglibatan guru dan pelajar Kaba merupakan satu usaha menanam semangat beramal dalam diri mereka, menyumbang kepada masyarakat dan membantu golongan memerlukan pada Ramadan yang mulia ini.
Dedikasi sukarelawan dalam menyumbang masa dan tenaga untuk membungkus hamper pra-Syawal itu amat dihargai pihak Muhammadiyah.
Selepas mereka selesai membungkus hamper, Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, menghampiri mereka dan mengucapkan terima kasih lalu mengingatkan mereka tentang tentang sikap kedermawanan Nabi Muhammad saw sebagai kata-kata semangat supaya mereka terus berbuat baik pada bulan Ramadan.
Kata Ustaz Muhammad Azri:
“Antara sikap mulia yang dimiliki baginda Nabi Muhammad saw ialah dermawan dan kedermawanan Rasulullah saw semakin meningkat pada bulan Ramadhan sebagaimana dijelaskan dalam hadis Imam Bukhari dan Muslim.”
Di samping itu, satu lagi kumpulan pelajar Kaba telah membantu membersihkan sebuah rumah penerima bantuan Muhammadiyah yang tinggal di sebuah flat sewa dua bilik.
Penerima tersebut, Cik Samsiah (bukan nama sebenar), 65 tahun, merupakan penjaga utama suaminya, Encik Zainal (juga bukan nama sebenar), 64 tahun, yang tidak boleh bekerja akibat masalah kesihatan.
Sejak 2024, Cik Samsiah dan Encik Zainal menerima bantuan daripada Muhammadiyah, yang banyak membantu mereka dalam menguruskan perbelanjaan bulanan. Mereka amat bersyukur atas sokongan yang diberikan yang meringankan beban kewangan mereka.
Kini, dengan rumah mereka kembali bersih dan berseri, sambutan Lebaran pastinya lebih ceria.
Kata Encik Zainal dengan air mata berlinangan:
“Saya sangat terharu melihat anak-anak muda ini membantu kemaskan rumah. Terima kasih kerana kami memang tak larat.”
Zakat Muhammadiyah teruskan dakwah dan kebajikan selepas Ramadan
Pada tahun ini (2026), sejumlah 650 keluarga akan menerima hamper pra-Syawal, dengan melebihi 100 penerima manfaat akan mengumpul hamper dan wang zakat mereka secara langsung di acara agihan zakat itu.
Penerima yang selebihnya termasuk 50 keluarga berpendapatan rendah dari Bukit Batok boleh menantikan wang zakat dan hamper pra-Syawal mereka dihantar ke rumah oleh para sukarelawan.
Penerima manfaat tersebut termasuk keluarga Islam yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terjejas oleh penyakit, ibu bapa tunggal, dan warga emas - di mana sebahagian daripada mereka juga menerima hidangan berbuka puasa mingguan daripada Muhammadiyah semasa Ramadan.
Selain Ramadan, pada setiap bulan, Muhammadiyah menyediakan bantuan kepada sekurang-kurangnya 100 penerima manfaat yang memerlukan – menyediakan mereka dengan bekalan penting untuk membantu meringankan beban mereka.
Muhammadiyah juga menganjurkan pelbagai program dakwah, pendidikan dan kebajikan sepanjang tahun bagi memupuk ilmu, memperteguh iman, dan membantu keluarga bergerak ke arah kestabilan serta berdikari.
Antara program dakwah, pendidikan dan kebajikan utama persatuan itu sepanjang tahun adalah:
1. Ibadah korban yang dilakukan di Singapura dan luar negara di negara terpilih. Pada 2024, persatuan itu memulakan Kembara Qurban, di mana mereka membawa jemaah menjalankan ibadah korban mereka di luar negara seperti di Medan, Indonesia.
2. Program kembali ke sekolah (back to school) diadakan pada setiap hujung tahun, di mana Muhammadiyah memberikan sebanyak 300 kit sekolah termasuk bekalan keperluan sekolah kepada penerima manfaat mereka.
3. Acara Walk and Wheelaton Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang untuk Warga Tua (MHCC) merupakan satu inisiatif untuk mendekati masyarakat dan dianjurkan untuk mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran tentang penuaan aktif dan sihat.
4. Kelas pengajian agama percuma diadakan pada setiap minggu, sekurang-kurangnya empat kali seminggu secara fizikal atau melalui laman video Zoom. Ia termasuk bengkel belia yang meliputi topik seperti Perkhidmatan Negara untuk kaum lelaki; bengkel akil baligh dan kedewasaan; dan bengkel sebelum dan selepas perkahwinan.
5. Acara CharityFest, satu karnival mengumpul dana tahunan, anjuran Rumah Kebajikan Muhammadiyah (MWH) bagi menyokong penjagaan penghuni bagi kanak-kanak dan belia berisiko.
6. Mengendalikan tiga institusi pendidikan termasuk sekolah tadika, program madrasah mingguan dan sepenuh masa menerusi Kelas Asas Bimbingan Agama (Kaba) dan Kolej Islam Muhammadiyah dengan sekurang-kurangnya 1,000 pelajar setahun.
Projek Wahdah
Pada masa yang sama, Muhammadiyah juga sedang menaiktaraf ibu pejabat Pusat Muhammadiyah yang dinamakan Projek Wehdah di 14 Jalan Selamat.
Pusat ini menyokong lebih 15,000 pelajar serta menyediakan sokongan penting kepada ramai penerima bantuan. Kerja naik taraf ini akan menyediakan sebuah fasiliti yang lebih baik dan kondusif dan memperkukuh kemampuan Muhammadiyah untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada generasi akan datang.
Muhammadiyah menyeru sokongan masyarakat bagi inisiatif naik taraf bangunan ini yang masih memerlukan dana sebanyak $5 juta lagi.
Dengan menyokong Projek Wahdah, ia membolehkan anda menyumbang kepada sadaqah jariyah, di mana anda meninggalkan legasi kebaikan yang berkekalan untuk generasi akan datang.
Lantaran itu, Muhammadiyah merayu kepada masyarakat atas sokongan berterusan mereka untuk memberi infaq dan zakat yang membantu persatuan itu menjalankan program pendidikan, dakwah dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
Setiap infaq dan zakat anda membawa senyuman dan harapan kepada yang memerlukan.
Cara menderma atau membayar zakat:
PayNow: Imbas kod QR dengan aplikasi bank anda atau hantarkan ke UEN S58SS0020C. Ref: BH Zakat<jarak>Nombor telefon bimbit
Khidmat kutipan dari rumah: Mudah untuk penderma. Hubungi talian 6242-7388.
Dalam talian: Layari muhammadiyah.org.sg/zakat untuk menderma.
Bazar Ramadan: Menderma secara bersemuka – Geylang Serai, Admiralty, Woodlands MRT, Tampines MRT, Bukit Gombak dan Our Tampines Hub (OTH).

