Topic followed successfully
Go to BHkuSekilas COS 2026: Kementerian Pendidikan
Sekilas COS 2026: Kementerian Pendidikan
Sekilas COS 2026: Kementerian Pendidikan
Latihan Kemasukan Posmenengah (PSE) baru akan bermula pada 2028
Pelajar Menengah Tiga pada 2026 akan menjadi kohort pertama untuk menjalani latihan permohonan lebih mudah untuk kemasukan ke institusi posmenengah mulai awal 2028.
Menggantikan proses permohonan berasingan yang dijalankan pada tarikh dan portal dalam talian yang berbeza, pelajar kini hanya perlu menggunakan satu wadah bersama untuk mengemukakan sehingga 12 pilihan di bawah PSE baru.
Ini termasuk kursus di Maktab Rendah (JC), Institut Millennia (MI), politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Keputusan penempatan pelajar akan diumumkan seawal Februari tahun tersebut.
Berbanding sistem hari ini di mana pelajar perlu mengemudi jadual peperiksaan dan kemasukan yang berlanjutan dari September hingga Januari tahun berikutnya, Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo berkata sistem baharu ini mengurangkan ketidakpastian dalam pilihan penempatan.
Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan pada 3 Mac, beliau menjelaskan dengan semua laluan dan kursus tersedia melalui satu wadah tunggal, pelajar boleh menyusun pilihan mereka mengikut keutamaan tanpa perlu memantau pelbagai latihan kemasukan.
Pemerintah akan serapkan kecelikan AI ke dalam program sekolah secara tersusun, berperingkat
Kementerian Pendidikan (MOE) akur tidak semua pelajar berkongsi tahap pendedahan digital yang setara di rumah.
Oleh itu, pembangunan kecelikan AI di sekolah harus dipastikan agar akses dan bimbingan tidak sekadar bergantung pada latar belakang keluarga.
Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MOE pada 3 Mac, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, berkata tiada pelajar seharusnya terpinggir dalam era baharu disebabkan keadaan atau latar belakang mereka.
Beliau menambah MOE akan memastikan penilaian kekal relevan dan sesuai, terutamanya dalam zaman di mana peralatan AI digunakan secara meluas.
Ini termasuk terus mengutamakan penilaian bersemuka, serta memperluas penggunaan penjelasan lisan dan demonstrasi proses.
Peralatan AI yang dibangunkan oleh MOE juga akan menjalani semakan ketat bagi menjamin piawaian perlindungan data, keselamatan dan keadilan dipenuhi.
“Teknologi akan terus berkembang, namun integriti mesti kekal dan tidak boleh diketepikan,” tambah Cik Lau.
Alat penilaian kendiri terbaru di bawah SkillsFuture
SkillsFuture Singapura (SSG) akan memperkenalkan ‘SME AI Skills Launchpad’ baharu secara berperingkat mulai Mac, untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam mengemudi dan menyesuaikan diri dengan kecerdasan buatan (AI).
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran pekerja SME tentang AI dan memudahkan penggunaan penyelesaian AI.
Inisiatif tersebut akan merangkumi dua bahagian.
Pertama, SSG dan rakan industri akan mewujudkan satu halaman menyeluruh mengandungi sumber AI di portal SkillsFuture untuk Perniagaan bagi memudahkan majikan mengenal pasti sumber untuk transformasi AI mereka.
Kedua, syarikat yang mencari tawaran lebih khusus dalam sektor mereka boleh mendapatkan sokongan yang ditawarkan oleh SkillsFuture Queen Bees.
Mereka ialah pemimpin industri yang dilantik oleh SSG untuk mempromosikan pembangunan kemahiran kepada perusahaan kecil.

