Topik diikuti
Pergi ke BHkuSee Leng: Pilihan ambil pekerja tempatan, asing tidak ubah meski di tengah krisis tenaga sejagat
See Leng: Pilihan ambil pekerja tempatan, asing tidak ubah meski di tengah krisis tenaga sejagat
Pertumbuhan kerja kekal positif meski bilangan firma mahu ambil pekerja merosot pada Mac
See Leng: Pilihan ambil pekerja tempatan, asing tidak ubah meski di tengah krisis tenaga sejagat
Firma di Singapura tidak mengubah pilihan pengambilan pekerja mereka pada masa ini, walaupun kebimbangan mengenai pasaran kerja semakin meningkat di tengah-tengah perang Timur Tengah, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Beliau berucap di Parlimen bagi menjawab soalan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) tentang sama ada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) melihat sebarang perubahan dalam pilihan pengambilan antara pekerja tempatan dengan pekerja asing.
“Bilangan pekerjaan dalam kalangan penduduk kita terus meningkat pada suku pertama 2026... dan pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding suku pertama 2025.
“Dasar pas kerja kita juga memastikan rakyat Singapura diberi peluang sama rata berbanding pekerja asing, dan kita berusaha sedaya upaya untuk memastikan pekerja asing kita dan pekerja tempatan kita saling melengkapi,” kata Dr Tan.
Berdasarkan tinjauan MOM yang dikeluarkan pada akhir April, kadar firma yang berhasrat mengambil pekerja dalam tempoh tiga bulan akan datang susut daripada 54.6 peratus pada Februari kepada 44.6 peratus pada Mac.
Dr Tan berkata walaupun jangkaan kekal di bawah paras Februari, terdapat tanda awal penstabilan pada April.
“Ini disokong data daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Jabatan Perangkaan, yang menunjukkan sentimen pengambilan pekerja berkemungkinan akan kekal stabil dan bertambah baik dalam jangka masa panjang,” kata Dr Tan.
Jumlah pekerjaan Singapura meningkat sebanyak 5,000 pada suku pertama 2026, melanjutkan rentetan pertumbuhan pekerjaan selama 18 suku berturut-turut.
Ia lebih tinggi daripada 2,300 pekerjaan yang ditambah pada suku pertama 2025, tetapi penurunan mendadak daripada 17,700 yang dicatat pada suku terakhir 2025.
Dr Tan menambah, laporan Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) Singapura akan dikeluarkan tidak lama lagi, sebagai respons kepada soalan Dr Choo Pei Ling (GRC Chua Chu Kang) tentang sama ada pendekatan perancangan tenaga kerja Singapura sedang melalui penyesuaian lanjut.
“Saya berpeluang membaca draf laporan ESR.
“Saya fikir ia akan dikeluarkan tidak lama lagi, dan banyak perkara yang diutarakan (oleh Dr Choo) akan dibentangkan dalam laporan itu juga,” jelas Dr Tan.
