Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SCDF ambil pendekatan pragmatik dalam usaha lindungi dari kebakaran

NCMP Andre Low saran langkah tutup jurang keselamatan perlindungan kebakaran di flat
Jan 12, 2026 | 10:28 PM
Goh Pei Ming
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming. - Foto MDDI

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengambil pendekatan pragmatik dalam usaha melindungi dari kebakaran, bermula dengan reka bentuk keselamatan yang baik dan disokong penguatkuasaan serta kesediaan orang awam.

Demikian kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, dalam responsnya kepada saranan yang dikemukakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low.

Dalam usul penangguhan berkaitan pencegahan kebakaran di rumah yang dibentangkannya di Parlimen pada 12 Januari, Encik Low menyarankan beberapa langkah baru bagi menutup jurang keselamatan di flat-flat.

Antara isu yang dibentangkan Encik Low adalah kebakaran yang disebabkan bateri alat mobiliti aktif (AMD).

Antara saranan yang dikemukakan termasuk memasang pintu pagar besi, mewujudkan port pengecasan AMD awam yang dilengkapi dengan pemadam api, dan pemantauan haba.

“Penduduk berkongsi kebimbangan mereka tentang AMD jiran yang dicas di depan rumah.

“Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk meredakan kebimbangan mereka kerana hari ini, amalan pengecasan sedemikian dibenarkan,” kata Encik Low.

Beliau menyarankan agar hab pengecasan AMD awam dibina, misalnya berdekatan tempat mengecas kenderaan elektrik (EV) di tempat letak kereta.

“Lengkapkan tempat pengecasan sedemikian dengan pemadam api, pemantauan haba dan pengecasan yang lebih pantas dan murah daripada di rumah. Wujudkan insentif untuk penduduk mengecas AMD di luar rumah,” kata beliau.

Encik Low turut menyentuh tentang bateri AMD yang tidak mematuhi piawaian atau AMD yang diubah suai.

Dalam responsnya, Encik Goh akur kebakaran dek AMD merupakan satu kerisauan.

“Walaupun AMD menyumbang kurang daripada 5 peratus kebakaran kediaman sejak lima tahun lalu, ia telah menyumbang lebih daripada 10 peratus kecederaan berkaitan kebakaran dan 25 peratus kematian.

“Kesan yang tidak seimbang ini adalah sesuatu yang membimbangkan. Risikonya lebih tinggi dengan peranti yang tidak mematuhi piawaian keselamatan yang berkaitan.

“Itulah sebabnya pemerintah mengambil pendekatan penguatkuasaan yang ketat terhadap import, penjualan dan penggunaan AMD yang tidak mematuhi piawaian,” katanya.

Dalam usul penangguhannya, Encik Low turut menyentuh tentang standard keselamatan berbeza di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

“Blok lama kadangkala mempunyai reka bentuk yang hanya ada satu tangga dan koridor tertutup yang memerangkap asap serta flat yang padat,” katanya.

Beliau mencadangkan untuk mengutamakan blok-blok sedemikian untuk pembangunan semula di bawah Skim Pembangunan Semula Awal Sukarela.

“Keselamatan tidak sepatutnya bergantung pada bila blok anda dibina, sama ada anda mampu menaik taraf atau estet mana yang anda panggil rumah,” katanya.

“Semua bangunan kediaman di Singapura direka bentuk dan dibina mengikut Kod Kebakaran yang sedia ada,” kata Encik Goh.

Punca utama kebakaran kediaman ialah tingkah laku manusia seperti membiarkan masakan tanpa pengawasan, yang bermakna kebanyakan insiden boleh dicegah, tambahnya.

Katanya: “Kita memerlukan semua lapisan berbeza untuk bekerjasama bagi mengurangkan risiko kebakaran secara berkesan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg