Pesta pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM), Pesta Pecah Panggung, yang berlangsung selama sembilan hari dari 25 April hingga 3 Mei, telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Penyertaan bagi kesemua program tersebut begitu memberangsangkan, dengan setiap acara penuh, malah ada yang kebanjiran peserta atau pengunjung.

Tiket bagi kesemua persembahan untuk kedua-dua penerbitan khas TWM, Wajah & Bayang: Nusantara Arts Showcase, iaitu sebanyak 160 tiket, dan Kota Impian: Modern Women, sebanyak 320 tiket, laris dijual.

Demikian kongsi Pengurus (Program) TWM, Cik Liyana Nasyita Shukarman, ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 26 Mei.

“Kami berasa amat rendah hati atas sambutan yang sangat menggalakkan, dengan ramai yang menghubungi kami melalui media sosial dan e-mel untuk mengetahui lebih lanjut tentang kalendar program...

“Program-program besar seperti Irama Warisan: Ethnic Showcase, Pentas Pusaka: Silat Fiesta, persembahan kilat (’flashmob’) di Kawasan Kampong Gelam, serta rangkaian persembahan di Sultan Gate Park telah dihadiri ramai orang, meskipun program ini berlangsung dalam keadaan cuaca yang panas!” kongsi Cik Liyana.

Bagi mengekalkan rentak positif itu, TWM akan terus bekerjasama dengan rakan program untuk pengaturcaraan TWM, serta merancang program secara bersama.

“Kami telah menerima pelbagai tawaran kerjasama daripada pelbagai kumpulan kemasyarakatan, pertubuhan dan pihak lain pasca pembukaan semula TWM.

“Kami melihat perkara ini sebagai satu petanda baik dan amat bersyukur atas tawaran yang diberikan,” kata Cik Liyana.

Justeru, melalui kerjasama itu, TWM dapat membina keupayaan rakan kerjasama dalam mencipta program dan memperkasa mereka agar dapat menyumbang lebih banyak lagi dalam usaha mengekal dan memupuk rasa cinta serta kesedaran terhadap warisan Melayu pada masa hadapan.

Di samping itu, TWM juga bakal memulakan semula lawatan berpandu yang dikendalikan oleh jurupandu (’docent’) sukarelawan TWM, pada 2 Jun.

Khidmat lawatan berpandu itu sebelum ini telah dihentikan ekoran penutupan TWM bagi kerja pembinaan dan pemulihan semula kemudahan serta bangunannya.

Lawatan berpandu itu berlangsung setiap Selasa, Rabu dan Khamis selama sejam dari 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Ia juga bakal dikendalikan pada setiap Sabtu dan Ahad mulai 20 Jun selama sejam, dari 11 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 3 petang.

Pengurus (Jangkauan & Pendidikan) TWM, Cik Ilya Katrinnada Zubaidi, menambah bahawa kadar pendaftaran bagi lawatan berpandu tersebut, setakat 26 Mei, adalah stabil.

Menurutnya, setiap jurupandu akan membawa sentuhan peribadi tersendiri dalam lawatan mereka, sekali gus menjanjikan pengalaman unik kepada pengunjung pada setiap lawatan, bergantung pada panduan yang diberikan.

“Para pengunjung boleh menjangkakan satu perjalanan yang memperkayakan minda menerusi sejarah dan budaya masyarakat Melayu, yang akan dihidupkan lagi oleh jurupandu kami yang berpengetahuan luas,” kata Cik Ilya.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran pengunjung yang berminat dengan warisan dan budaya Melayu agar menyertai lawatan berpandu di TWM.

Di samping itu, mereka yang berminat untuk menjadi jurupandu sukarelawan juga boleh mendaftar bersama Pertubuhan Rakan Muzium (Singapura) atau Lembaga Warisan Negara (NHB).

Beberapa program lain akan turut diadakan di TWM pada Jun.

Ini termasuk program, Peta Rahsia: Kampong Gelam Treasure Hunt, dari 1 hingga 28 Jun.

Program itu merupakan kembara berpandu sendiri sambil menelusuri jalan-jalan bersejarah di Kampong Gelam, yang melibatkan kegiatan interaktif mencari harta karun untuk golongan keluarga.

Selain itu, terdapat program membuat minyak wangi dan berjalan sekeliling Kampong Gelam bersama jurupandu pada 24 Jun, yang bertajuk, The World of Attar: A Scent-Making Workshop and Scent Tour of Kampong Gelam.

Pada 27 Jun pula, pengunjung boleh menyertai program budaya dan bercerita interaktif, Tales from the Nusantara: Atan, the Island Boy!, dan Cerita-Cerita Nusantara: Pak Belang dan Gong Ajaib.