Tokoh terkemuka dalam bidang sains bioperubatan, kesihatan awam dan dasar penyelidikan, Profesor Tan Chorh Chuan, akan bersara daripada Perkhidmatan Pentadbiran mulai 1 September ini.

Beliau akan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Tetap bagi Penyelidikan dan Pembangunan Negara (NRD), serta Setiausaha Tetap di Pejabat Dasar dan Perancangan Sains dan Teknologi Sektor Awam (S & TPPO), yang kedua-duanya berada di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata Profesor Tan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan besar kepada Perkhidmatan Awam sepanjang kerjayanya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Chorh Chuan atas sumbangannya yang luar biasa dan memberi impak kepada Perkhidmatan Awam. Beliau telah berkhidmat dengan penuh cemerlang dalam memperkukuh keupayaan Singapura dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi,” kata Encik Chan dalam kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Perkhidmatan Awam (PSD) pada 30 Julai.

Doktor pakar buah pinggang itu dilantik ke jawatan semasanya pada 2023 dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan sains, teknologi dan inovasi dalam Perkhidmatan Awam.

Menurut PSD, beliau mengetuai perancangan strategik 2030 Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) negara, selain membantu menyelaraskan pelaburan negara dalam penyelidikan dan inovasi dengan keutamaan strategik jangka panjang. Beliau juga menggalakkan kerjasama lebih erat antara agensi pemerintah, institusi akademik dan industri bagi menangani cabaran dasar serta operasi yang semakin kompleks.

Sepanjang kerjayanya, Profesor Tan telah memegang pelbagai jawatan penting dalam bidang perubatan, akademik dan sektor awam.

Ketika berkhidmat sebagai Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) dari 2000 hingga 2004, beliau memainkan peranan penting dalam mengetuai respons kesihatan awam Singapura ketika wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) pada 2003.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) dari 2004 hingga 2017, serta Presiden Universiti Nasional Singapura (NUS) dari 2008 hingga 2017.

Pada 2018, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Pejabat Transformasi Penjagaan Kesihatan MOH (MOHT), sambil memegang jawatan Ketua Saintis Kesihatan MOH sehingga 2023. Beliau dilantik sebagai Pengerusi MOHT pada 2023 dan turut mempengerusikan Pejabat Pelaksanaan Healthier SG dari 2022 hingga 2024.

Selain kerjayanya dalam bidang perubatan dan penyelidikan, Profesor Tan juga dikenali sebagai seorang pelukis amatur yang berbakat.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada Singapura dalam bidang penjagaan kesihatan, penyelidikan bioperubatan, pendidikan tinggi dan Perkhidmatan Awam, beliau dianugerahkan Pingat Bakti Cemerlang pada 2015, Darjah Bakti Cemerlang pada 2022 serta Bintang Bakti Masyarakat (Covid-19) pada 2023.

Walaupun bersara daripada Perkhidmatan Pentadbiran, Profesor Tan akan terus berkhidmat sebagai pengerusi bukan eksekutif A*Star dan Pengerusi MOHT.

Menggantikan beliau di PMO ialah Encik Ng Chad-Son, yang dilantik sebagai Setiausaha Tetap baharu.

Encik Ng, 51 tahun, menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1994 dan pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam SAF serta Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Antara 2010 hingga 2012, beliau dipinjamkan ke Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebagai Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perusahaan, dengan portfolio yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan negara serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Teknologi) di Mindef pada 2022 sebelum menjadi Ketua Eksekutif  Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) pada 2024.

Mulai 1 September, beliau turut akan memegang jawatan Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan) di Mindef, menggantikan Encik Melvyn Ong yang akan terus berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

Ketua baharu DSTA

Menggantikan Encik Ng sebagai Ketua Eksekutif DSTA ialah Encik Roy Chan Hsiung Wei, yang kini merupakan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) agensi itu sejak 15 Februari 2021.

Dalam kenyataannya, Mindef berkata Encik Chan, 52 tahun, telah menerajui pembangunan pelbagai keupayaan pertahanan yang kompleks sejak menyertai komuniti teknologi pertahanan pada 1998.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan daripada Universiti University Manchester Victoria dan Ijazah Sarjana Sains daripada Sekolah Siswazah Tentera Laut.

Beliau dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak) pada 2022 dan dikurniakan gelaran Knight of the National Order of Merit oleh pemerintah Perancis pada 2025.

Mindef turut merakamkan penghargaan mendalam kepada Encik Ng atas khidmat cemerlang serta sumbangan besarnya kepada kementerian itu, SAF, DSTA dan komuniti teknologi pertahanan.