Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saingan sekandung dorong kembar harungi NS

Feb 20, 2025 | 9:43 PM
Adik-beradik kembar Sarjan Ketiga (3SG) (NS) Iryan Hidayat Nor Mohammad dan 3SG (NS) Irfan Hidayat Nor Mohammad menyokong satu sama lain dalam perjalanan Perkhidmatan Negara (NS) mereka.
Adik-beradik kembar Sarjan Ketiga (3SG) (NS) Iryan Hidayat Nor Mohammad dan 3SG (NS) Irfan Hidayat Nor Mohammad menyokong satu sama lain dalam perjalanan Perkhidmatan Negara (NS) mereka. - Foto ZAOBAO

Kebanyakan anak muda lelaki Singapura mengharungi Perkhidmatan Negara (NS) tanpa ditemani adik-beradik.

Tidak demikian bagi adik-beradik kembar Sarjan Ketiga (3SG) (NS) Iryan Hidayat Nor Mohammad dan 3SG (NS) Irfan Hidayat Nor Mohammad. Mereka mendaftar bagi NS, berlatih semasa Latihan Asas Tentera (BMT) dan kemudian menyertai Sekolah Kadet Pakar bersama.

“Oleh kerana kami melalui pengalaman ini berdua, kami rasa lebih yakin. Daripada sekolah rendah ke politeknik dan kini NS, kami sentiasa melalui perjalanan hidup bersama.

“Ia juga memudahkan ibu bapa kami kerana kami berada di kompeni yang sama semasa BMT. Perkara seperti menghantar kami ke kem atau menyediakan makanan lebih senang bagi mereka,” ujar 3SG Irfan.

Mereka ditemui di Perbarisan Tamat Kursus Kadet Spesialis (SCGP) ke-62 di Kem Pasir Laba pada 20 Februari.

Perbarisan itu dihadiri Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary, selaku Pegawai Pemeriksa.

Walaupun berkongsi laluan yang sama, kembar berumur 21 tahun itu menegaskan mereka mempunyai matlamat masing-masing yang menjadi dorongan.

Menyifatkannya sebagai satu “persaingan adik-beradik yang sihat”, sambil ketawa 3SG Iryan berkata: “Jika salah seorang daripada kami mencapai sesuatu, seperti meraih emas dalam Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT), yang seorang lagi pasti mahu bersaing untuk mencapainya juga. Ini merupakan dorongan berterusan bagi kami.

“Walaupun kadangkala meletihkan, ia juga menjadikan perjalanan (NS kami) lebih menyeronokkan. Misalnya, apabila Irfan dapat emas untuk IPPT sementara saya hanya meraih perak, satu-satunya cara untuk saya bersaing dengannya ialah dengan melayakkan diri ke vokasi Pakar Peninjauan.”

Kembar itu mengakui perjalanan NS mereka setakat ini mencabar dari segi fizikal dan menguji ketahanan mental mereka. Ini terutamanya apabila mereka menggalas tanggungjawab lebih berat selepas tamat SCS. Namun, sokongan keluarga, khususnya ibu bapa, membantu memudahkan perjalanan itu, ujar mereka.

“Mereka sangat bangga kerana dapat lihat kedua-dua anak mereka berjaya memasuki SCS, menjadi sarjan. Ayah kami juga seorang sarjan (NS) dulu. Jadi, mereka gembira melihat kami mengikut laluan yang sama seperti yang dilalui ayah kami,” kata 3SG Irfan.

Bapa dan ibu mereka – Encik Nor Mohammad Isa, 50 tahun, dan Cik Idayu Saad, 49 tahun – adalah penjawat awam.

3SG Iryan berkata: “Ibu kami sentiasa menekankan betapa beliau mahu kami menyertai tentera dan merasai pengalaman sebenar masuk dalam hutan. Beliau mahu melihat anak-anaknya menjadi lebih dewasa dan lebih matang, dan saya suka melihat ibu bapa saya bangga.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg