RLAF, UNHCR lancar usaha kumpul dana bantu mangsa krisis Sudan
RLAF, UNHCR lancar usaha kumpul dana bantu mangsa krisis Sudan
Badan amal Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sedang menganjurkan satu kempen mengumpul dana bagi menyokong krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Sudan.
Kempen tersebut, iaitu Usaha Pengumpulan Dana Kecemasan Sudan 2025, akan dijalankan dari 19 November hingga 3 Disember melalui wadah dalam talian dan saluran media sosial badan amal tersebut bagi memenuhi keperluan mendesak.
Menurut satu kenyataan RLAF pada 19 November, pertempuran di sekitar pusat penduduk Darfur Utara baru-baru ini, telah mencetuskan gelombang pemindahan besar-besaran, dan telah menyebabkan ribuan penduduk terperangkap tanpa akses kemanusiaan yang selamat.
Pertempuran itu memburukkan lagi keadaan di Sudan, dengan lebih 14 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka disebabkan pertempuran ganas di negara Afrika itu sejak April 2023.
“Keluarga, terutamanya wanita dan kanak-kanak, menghadapi kekurangan makanan, air bersih, ubat-ubatan pada tahap teruk, yang mengakibatkan pemakanan tidak seimbang dan penularan penyakit dengan cepat.
“Wanita dan kanak-kanak juga berdepan dengan risiko tinggi dieksploitasi serta mengalami akses terhad kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan,” kata RLAF.
Semua dana yang dikumpul akan disalurkan menerusi UNHCR untuk menyokong pemberian bantuan segera, termasuk tempat perlindungan, air bersih, makanan, sokongan kesihatan dan perubatan kecemasan.
Ini di samping penjagaan psikososial kepada individu dan keluarga yang terjejas di seluruh Sudan dan negara jiran.
Menurut RLAF, lebih 7 juta penduduk kekal dipindahkan secara paksa di dalam negeri, sementara 4.2 juta pelarian telah mencari perlindungan di negara jiran seperti Chad, Sudan Selatan, Mesir, Libya, dan Habsyah.
Mengulas tentang krisis kemanusiaan di Sudan itu, Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata:
“Skala penderitaan di Sudan hari ini memerlukan perhatian segera. Keganasan yang semakin teruk, kebuluran, dan pemindahan besar-besaran telah mencetuskan krisis kemanusiaan.
“Kami menyeru kepada masyarakat agar mengambil tindakan segera bagi memberikan bantuan kecemasan.”
Dana yang dikumpulkan melalui kempen RLAF-UNHCR itu akan menyokong tiga bidang kritikal dalam usaha menyelamatkan nyawa.
Pertama, bantuan dan perlindungan kemanusiaan termasuk penyediaan tempat perlindungan selamat, bantuan dan sokongan psikososial kepada mangsa keganasan berasaskan jantina.
Kedua, pengagihan barangan bantuan asas seperti kit bantuan asas yang mengandungi selimut, peralatan memasak, dan pakaian untuk keluarga yang baru dipindahkan secara paksa.
Ketiga, pelaksanaan perkhidmatan Air, Sanitasi dan Kebersihan (Wash), yang bertujuan mencegah penularan penyakit berjangkit seperti taun melalui pembinaan tandas kecemasan dan pengagihan kit kebersihan.
Orang ramai boleh membuat sumbangan dalam talian menerusi beberapa cara, termasuk PayNow, laman web, giving.sg tinyurl.com/sudaneappeal2025, dan laman web, RLAF tinyurl.com/sudaneappeal25.
RLAF juga akan mengumpulkan dana di masjid-masjid yang mengambil bahagian di seluruh Singapura, mulai 21 hingga 27 November.
Kotak derma akan ditandakan dengan logo RLAF di samping tertera tujuan kempen berkenaan.

