Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: S’pura nilai keberkesanan Australia sekat media sosial di bawah 16 tahun

Jan 13, 2026 | 8:30 PM
rahayu mahzam, social media, larangan bagi kanak-kanak bawah 16 tahun
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata Singapura telah memperkenal langkah secara progresif bagi melindungi anak-anak dengan lebih baik apabila mereka melayari Internet. - Foto MDDI

Singapura sedang menilai keberkesanan Australia untuk mengharamkan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP), Encik Vikram Nair (GRC Sembawang), di Parlimen pada 13 Januari.

Encik Nair bertanya sama ada pemerintah telah selesai membuat semakan terhadap langkah Australia mengharamkan akses media sosial bagi individu bawah umur 16 tahun melalui undang-undang.

Beliau turut bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbang memperkenalkan undang-undang serupa.

Dalam jawapannya, Cik Rahayu berkata: “Peraturan umur minimum media sosial Australia berkuat kuasa pada 10 Disember 2025.

“MDDI (Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital) sedang giat melibatkan rakan sejawat kami di Australia dan menilai keberkesanan langkah tersebut di Australia.”

Pada 10 Disember, Australia menjadi negara pertama di dunia mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak bawah umur 16 tahun, menyekat mereka daripada wadah dalam talian seperti TikTok, YouTube, Instagram dan Facebook.

Beberapa wadah media sosial telah diperintah agar menyekat kanak-kanak atau didenda sehingga A$49.5 juta ($42.7 juta) di bawah undang-undang baru itu.

Langkah tersebut telah dikritik oleh syarikat teknologi utama dan aktivis kebebasan bersuara, tetapi dipuji oleh ibu bapa.

Semasa berucap di Parlimen, Cik Rahayu berkata Singapura telah memperkenal langkah secara progresif bagi melindungi anak-anak dengan lebih baik apabila mereka melayari Internet.

Ia termasuk mengenakan syarat jaminan umur ke atas beberapa gedung aplikasi (app stores) bagi mengurangkan kemungkinan pengguna bawah 18 tahun mengakses dan memuat turun aplikasi yang tidak sesuai dengan umur, melangkaui sekadar aplikasi media sosial.

Gedung aplikasi yang ditetapkan juga dijangka melaksana langkah jaminan umur menjelang 31 Mac 2026, tambahnya.

Walaupun Singapura tidak mengorak langkah seperti Australia, Cik Rahayu berkata Singapura merancang untuk melanjutkan keperluan jaminan umur kepada perkhidmatan media sosial yang ditetapkan.

Ini bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sesuai dengan umur di wadah media sosial.

Langkah jaminan umur, kata Cik Rahayu, akan menjadi tambahan kepada langkah perlindungan sedia ada untuk kanak-kanak di bawah Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian semasa – Perkhidmatan Media Sosial.

Beliau turut menyatakan rundingan dengan perkhidmatan media sosial yang ditetapkan sedang dijalankan.

Akur dengan kebimbangan ibu bapa tentang kesan media sosial terhadap anak-anak mereka serta potensi cabaran pelaksanaan keperluan jaminan umur, Cik Rahayu berkata “tiada penyelesaian yang tepat”.

“Seorang kanak-kanak masih boleh mengelak langkah-langkah ini, seperti melalui penggunaan akaun orang dewasa untuk mengakses kandungan yang tidak sesuai dengan usia.

“Maka itu, MDDI akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi daripada sektor awam, swasta dan rakyat, untuk mewujudkan bersama sumber dan program yang mudah, dan mudah diakses oleh ibu bapa.

“(Ini) bagi membantu mereka membimbing anak-anak mereka memupuk tabiat digital yang sihat sejak kecil,” tambah Cik Rahayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg